TINTA MINDA

KOMITMEN INDUSTRI PEMBINAAN UNTUK MEMASTIKAN KEJAYAAN PROGRAM MENYEDIAKAN RUMAH MAMPU MILIK UNTUK MALAYSIA

28/10/2022 11:17 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Construction Research Institute of Malaysia (CREAM)

Perumahan mampu milik sentiasa menjadi salah satu penyampaian utama dalam pembangunan program perumahan berpendapatan rendah dan sederhana negara. Bersama-sama dengan Dasar Perumahan Negara (DPN) 2018-2025 dan Rancangan Malaysia Ke-11, kerajaan meneruskan komitmennya untuk meningkatkan kualiti rumah mampu milik, pada masa yang sama mengurangkan kos pembinaan supaya ia dapat dicapai oleh lebih ramai pengguna.

DPN akan menjadi dokumen dasar utama untuk membimbing dan memacu sektor perumahan negara ke arah perancangan, pembangunan dan pengurusan perumahan yang tersusun, sistematik dan berkesan. Produk akhir dijangka lebih mampan, boleh didiami, berkualiti tinggi dan yang paling baik sekali, dapat ditawarkan pada kos yang berpatutan kepada rakyat.

Pada 2019, visi Kerajaan melalui Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 adalah untuk menyediakan, menjelang 2030, taraf hidup yang baik untuk semua rakyat Malaysia. Sebagai memastikan faedah Wawasan diterima, inisiatif rumah mampu milik akan terus dipertingkatkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025). Kerajaan telah memberi keutamaan kepada peningkatan bekalan perumahan berkualiti dan boleh didiami yang mampu dimiliki oleh golongan sasar. Kini, membekalkan rumah mampu milik berkualiti menjadi salah satu bidang keutamaan.

Perumahan mampu milik adalah agenda nasional dan ia juga diperluaskan kepada anggota tentera. Keperluan untuk menyediakan unit rumah mampu milik yang berkualiti untuk anggota angkatan tentera telah diakui di seluruh dunia. Oleh itu, tidak hairanlah, sejak ia ditubuhkan pada Ogos 1957, membina rumah mampu milik warga tentera telah menjadi salah satu tugas Kementerian Pertahanan (MINDEF) yang paling penting. Sasaran SASaR atau Satu Anggota Satu Rumah, sebuah rumah untuk setiap keluarga, sentiasa menjadi objektif utamanya.

Pada 2017, rancangan untuk menempatkan anggota tentera diberi nafas baru dan secara rasminya distrukturkan ke dalam apa yang dikenali sebagai Blueprint Perumahan 1.0 (BP 1.0). BP 1.0 dipertingkatkan lagi dengan skop dan bajet yang lebih besar pada 2019, di bawah BP 2.0.

Setelah mempelajari pengajaran dan memperolehi pengalaman berharga daripada pelaksanaan BP1.0 dan 2.0, MINDEF, yang telah bekerjasama dengan semua pihak yang berkepentingan, telah merekayasa semula pelan tindakan perumahan menjadi BP 3.0. BP 3.0 bercita-cita untuk menjadi dan kekal sebagai satu-satunya agenda komprehensif untuk meningkatkan kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk veteran dan orang awam yang menyokong aspirasi ‘Keluarga Malaysia’. BP 3.0 telah dirancang untuk dilaksanakan dalam lima fasa dari 2022 hingga 2030.

Di peringkat nasional dan dalam konteks Malaysia, rumah mampu milik secara amnya disasarkan kepada kumpulan terbawah 40% (B40) dan sederhana 40% (M40). Ini, bersama-sama dengan 20% Teratas (T20), adalah klasifikasi ekonomi warganegara Malaysia, di mana rakyat Malaysia diklasifikasikan ke dalam kumpulan pendapatan masing-masing mengikut median pendapatan bulanan setiap isi rumah.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pada 2019, median pendapatan bulanan bagi kumpulan T20 ialah RM15,201 (13,148 pada 2016). Angka ini adalah RM7,093 (RM6,275 pada 2016) untuk kumpulan M40 dan RM3,166 (RM3,000 pada 2016) untuk kumpulan B40. Dari segi pertumbuhan, pendapatan median meningkat sebanyak 3.9 peratus setahun pada 2019 berbanding 6.6 peratus pada 2016.

DOSM dalam laporan 2019 juga menyatakan bahawa, klasifikasi pendapatan telah disemak semula untuk mencerminkan inflasi, peningkatan kos sara hidup dan saiz isi rumah. Ambang pendapatan bagi setiap isi rumah bagi kumpulan M40, yang terdiri daripada 2.91 juta isi rumah, adalah antara RM4,850 hingga RM10,959 manakala bagi B40, dengan 2.91 juta isi rumah juga, ia berjulat antara kurang daripada RM2,500 hingga RM4,849. Berdasarkan klasifikasi sebelumnya dan semakan semula ini, ambang pendapatan bagi sebahagian besar anggota tentera berada antara B40 dan M40.

Sementara itu, laporan pada suku keempat Buletin Suku Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2017 mengesahkan bahawa, Malaysia akan terus menghadapi kesukaran dan cabaran dalam memenuhi sasaran untuk menyediakan rumah mampu milik untuk rakyatnya.

Menurut BNM, pada 2017, harga rumah mampu milik maksimum di Malaysia dianggarkan RM282,000, berdasarkan median isi rumah negara sebanyak RM5,228. Bagaimanapun, harga median rumah sebenar ialah RM313,000. Keadaan ini diburukkan lagi dengan ketidakpadanan bekalan-permintaan dalam industri perumahan dan pembinaan.


Apabila Dasar Perumahan Mampu Milik (DRMM) diterbitkan pada 2019 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), harga rumah mampu milik maksimum telah disemak semula ke tahap RM300,000. Harga jualan bagaimanapun tertakluk kepada pendapatan purata isi rumah di setiap negeri dan kos pembinaan di kawasan dan wilayah masing-masing. DRMM ialah sub-polisi kepada DPN. Ia menyediakan garis panduan terperinci untuk pemaju perumahan, termasuk Kerajaan dan agensi berkaitan untuk pembangunan rumah mampu milik di negara ini. Ia adalah satu set dokumen yang komprehensif yang mengandungi piawaian bangunan yang berkenaan, spesifikasi utama, harga dan garis panduan yang berkaitan. Salah satu piawaian yang dibangunkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang paling penting, Piawaian Industri Pembinaan, CIS 26: 2019 ‘Standard Perumahan Kebangsaan’ telah diterima pakai dan menjadi sebahagian daripada reka bentuk rumah mampu milik dalam DRMM.

Dari segi penawaran, faktor struktur dan kitaran telah menyumbang kepada kegagalan pasaran untuk menyediakan bekalan rumah mampu milik yang mencukupi untuk orang ramai. Sementara itu, dari segi permintaan, pertumbuhan pendapatan isi rumah tidak selaras dengan kenaikan harga rumah. Keinginan untuk memiliki rumah mampu milik akan terus menjadi ilusif bagi kebanyakan golongan yang disarankan.

Apa yang berlaku di peringkat nasional akan memberi impak yang sama terhadap rancangan menyediakan rumah mampu milik yang mencukupi untuk anggota tentera. Walau bagaimanapun, di sebalik cabaran yang dihadapi di peringkat kebangsaan, BP 1.0 dan BP 2.0 masih berjaya menyiapkan 4,200 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT). BP3.0 akan mengambil baki 12,733 unit RKAT ini (kini, di lencana semula sebagai RMKAT, Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera). Cabarannya memang besar.

Dengan latar belakang ini, MINDEF dan pihak-pihak lain yang berkaitan akan menghadapi tugas yang sukar untuk menjayakan rancangan perumahan ini. Kerajaan dan MINDEF menyedari sepenuhnya hakikat ini dan telah merayu agar semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan pelan, memberi komitmen untuk menyokong dan memberi kerjasama sepenuhnya serta memainkan peranan yang aktif dan inklusif dalam memastikan kejayaan Rancangan ini. Industri mesti berusaha untuk mengecilkan jurang bekalan-permintaan. Usaha ini boleh diterajui oleh CIDB.

CIDB, ​​sebagai pemangkin industri pembinaan, telah ditugaskan untuk mengawal selia, membangun dan memudah cara industri pembinaan negara ke arah pencapaian daya saing global. Prestasi domestik industri ini amat mengkagumkan, dan negara telah mendapat manfaat yang besar daripada inisiatif kerajaan untuk menubuhkan CIDB kurang daripada tiga dekad yang lalu. Didorong oleh keinginan yang kuat untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat, CIDB telah bekerjasama dan bekerja rapat dengan industri dan pihak berkepentingan lain untuk membangunkan kapasiti dan keupayaan, dengan memberi penekanan kepada profesionalisme, inovasi dan pengetahuan. Melalui cabang penyelidikannya, Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM), perkongsian strategik telah diwujudkan dengan organisasi penyelidikan bertaraf dunia di dalam dan di luar negara untuk mengenal pasti teknologi terkemuka yang boleh diterima pakai untuk pembangunan negara. Tidak dinafikan bahawa MINDEF boleh memperoleh manfaat besar daripada kekayaan pengetahuan, pengalaman dan teknologi yang ditawarkan oleh CIDB dan industri.

Sebagai sebahagian daripada misinya, inisiatif CIDB mengenai perumahan telah bermula sejak lebih dua puluh tahun lalu. Seawal 1998, CIDB telah pun menerbitkan Standard Perumahan Kebangsaan untuk unit rumah kos rendah dan kos sederhana untuk kedua-dua binaan tunggal dan juga multi-unit bertingkat tinggi. Standard ini bertujuan untuk menyeragamkan perancangan dan reka bentuk pembangunan jenis perumahan yang sangat diperlukan ini. Piawaian Reka Bentuk Perumahan Mampu Milik CIDB untuk Malaysia, yang diterbitkan pada 2020, merupakan sumbangan utama CIDB ke arah menyediakan rumah mampu milik untuk orang ramai. Ia selaras dan memenuhi keperluan DRRM sepenuhnya.

Konsep yang diterima pakai adalah untuk membina rumah berfungsi, penghasilan penyelesaian yang mampan, memanusiakan kualiti hidup dan menggunakan teknologi yang sesuai, mampu menjadikannya, salah satu dokumen terbaik yang pernah dihasilkan untuk membawa manfaat maksimum daripada langkah negara menempatkan warganya di rumah mampu milik.

Industri pembinaan juga berpengalaman dan telah melatih tenaga kerja yang mencukupi dalam pembinaan rumah mampu milik. Teknologi sudah tersedia, sebahagianya ada yang sudah matang, untuk melaksanakan projek dan kemudahan yang mampan dengan selamat, dalam jangka masa yang diperlukan, dengan kualiti yang sesuai untuk tujuan yang dimaksudkan. Sebahagian besar bahan yang diluluskan CIDB untuk kegunaan rumah mampu milik tersedia ada dan boleh diperolehi dengan secukupnya di dalam negara. Penggunaan komponen bangunan perindustrian untuk projek berskala ekonomi seperti ini akan mengekalkan harga dalam had yang berpatutan dan menjana masa penyiapan yang lebih cepat. Kelebihan terbaiknya ialah teknologi dan sistem sedia ada, dapat mengurangkan dengan ketara, keperluan penyelenggaraan unit perumahan yang telah siap, sesuatu yang telah melanda MINDEF selama beberapa dekad.

Bukan rahsia lagi, salah satu masalah terbesar MINDEF sekarang, adalah untuk memenuhi keperluan penyelenggaraan bagi unit perumahannya. Mengenai ini, bajet yang tidak mencukupi adalah salah satu daripadanya.

Laporan Audit Kerajaan 2018 telah mengesahkan perkara ini. Laporan tersebut telah mengisytiharkan bahawa lebih satu perlima daripada rumah RKAT didapati tidak sesuai untuk diduduki kerana kecacatan, kerosakan dan kebimbangan keselamatan yang sebahagianya disebabkan oleh kekurangan penyelenggaraan. Memang benar bahawa kecacatan akan wujud dalam setiap projek. Kuncinya adalah untuk meminimumkan kecacatan tersebut melalui reka bentuk, pembinaan projek dan pengoperasian fasiliti yang betul. Projek perumahan tidak berbeza. CIDB dan industri telah menyediakan sistem yang mencukupi dan terbukti untuk memastikan unit perumahan disiapkan dengan kecacatan minimum dan penyelenggaraan berkala dan pembaikan minimum sekali gus memudahkan pematuhan, dan penerimaan kepada Dasar Pengurusan Aset Kerajaan (GAMP), Manual Pengurusan Total untuk Aset (TAMM) dan Garis Panduan mengenai Prosedur Pengurusan Aset Tak Alih (IAMP). Ringkasnya, unit rumah mampu milik sebenarnya boleh dibina dan disiapkan dengan keperluan penyelenggaraan yang minimum.

Di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan hari ini telah berjanji kepada rakyatnya, bahawa ia akan memberikan kepada mereka rumah mampu milik yang mencukupi, selamat dan berkualiti. Di bawah Blueprint Perumahan, MINDEF telah berjanji untuk menyediakan perkara yang sama kepada Anggota Tentera kita.

CIDB dan industri pembinaan dan perumahan akan membantu menunaikan janji-janji tersebut.

-- BERNAMA

Artikel ini disediakan oleh Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM)

www.cream.my

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)