Oleh: Dr Sofia Hayati Yusoff
Tarikh 16 Julai 2019 telah mencatat sejarah baharu buat negara Malaysia apabila Rang Undang-Undang (RUU) meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur mengundi daripada 21 ke 18 tahun telah disambut positif oleh semua wakil rakyat sehingga diluluskan dalam bacaan kedua di Dewan Rakyat. Usul yang disokong oleh semua perwakilan yang hadir, dan tiada ahli parlimen yang berkecuali itu telah memberi indikasi bahawa generasi muda hari ini berjaya membuktikan mereka sudah mencapai tahap pengetahuan lebih tinggi berbanding dulu.
Jika kita soroti kembali Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memperuntukkan bahawa tiap-tiap warganegara yang berumur 21 tahun yang bermastautin di dalam mana-mana bahagian pilihan raya dan berdaftar sebagai pengundi adalah berhak untuk mengundi dalam pilihan raya ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri. Sementara itu, Perkara 21 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 pula menyatakan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam pemerintahan negaranya sama ada secara langsung atau melalui wakil yang dipilih olehnya secara bebas (Terjemahan daripada: Everyone has the right to take part in the government of his/her country, directly or through freely chosen representatives.).
Daripada apa yang dijelaskan di sini, saya dapat rangkumkan bahawa kewajipan mengundi itu bukan hanya sekadar hak tetapi merupakan satu proses pelaksanaan perlembagaan dan undang-undang negara melalui pemilihan pemimpin secara demokrasi. Maka hak pengundian itu sewajarnya diberikan kepada semua rakyat Malaysia yang sudah berada pada tahap pemikiran yang matang dan bersedia beraksi untuk menjalankan kewajipan sebagai rakyat.
Perbandingan dengan beberapa negara Asean berkaitan had umur mengundi menunjukkan hanya Malaysia dan Singapura yang telah menghadkan umur 21 tahun manakala negara-negara Asean yang lain meletakkan had umur mengundi pada 18 tahun dan 17 tahun untuk Indonesia. Sekiranya kita pergi jauh sedikit, membuat perbandingan dengan negara-negara maju di Eropah seperti United Kingdom, Jerman, Perancis dan Finland, kesemua negara ini meletakkan umur 18 tahun sebagai had umur mengundi. Kerana apa? Kerana golongan belia adalah golongan majoriti rakyat dan definisi belia itu harus dilihat kepada tahap pemikiran dan kematangan bukan lagi kepada nombor. Dalam konteks hari ini, 18 tahun adalah usia yang matang berdasarkan pencapaian pendidikan negara dewasa ini beserta pendedahan maklumat tanpa batasan yang diterima melalui teknologi komunikasi.
Faktor-faktor sokongan menurunkan had umur mengundi
Justifikasi kepada persetujuan atau sokongan bagi menurunkan had umur mengundi ini kepada 18 tahun adalah berdasarkan faktor-faktor berikut:
Dengan hadirnya golongan pengundi berusia 18 tahun pada PRU 15 kali ini, kita tidak dapat menafikan pengaruh besar media sosial ke atas golongan Undi 18 kerana mereka merupakan pengguna media sosial paling ramai di Malaysia. Semua jentera parti politik yang bertanding pada PRU 15 dikerah menggunakan platform media sosial bagi memancing undi golongan ini kerana mereka bakal mengundi buat pertama kali dalam hidup mereka. Sudah pasti perang siber melalui media sosial sedang giat berlaku dan diantara platform-platform media sosial yang ada pada hari ini, saya melihat TikTok, Twitter dan YouTube mempunyai peranan paling signifikan dalam kempen PRU 15.
Pengundi muda dan pengundi kali pertama untuk PRU 15 tidak perlu untuk hadir ke sesi ceramah terbuka mana-mana parti politik bagi mencari jawapan kepada “siapa harus aku pilih?”, kehidupan boleh diteruskan seperti biasa, mereka masih boleh membuat analisa parti politik pilihan selepas melayari media sosial yang menyajikan sejumlah posting atau hantaran mengandungi pelbagai maklumat mengenai parti-parti politik yang bertanding termasuk manifesto PRU 15. Justeru, jelas bahawa media sosial memberi impak yang sangat besar di dalam PRU 15 kepada golongan Undi 18 kerana mereka bakal merasai nikmat sebagai seorang rakyat yang diberi kuasa untuk memilih pemimpin.
--BERNAMA
Dr Sofia Hayati Yusoff merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Kepimpinan & Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)