TINTA MINDA

MALAYSIA MAIN PERANAN PENERAJU GLOBAL DALAM PENGELUARAN MINYAK SAWIT MAMPAN

14/11/2022 09:37 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir

Malaysia, sebagai pengeluar minyak sawit yang bertanggungjawab telah lama mengambil peranan kepimpinan global dalam melaksanakan inovasi berterusan dalam penanaman sawit dan pemprosesan minyak sawit bertujuan menjadikan pengeluaran minyak sawit lebih mampan dan mesra alam.

Melaksanakan pensijilan UNSDG dan MSPO

Malaysia berpegang kepada Agenda Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs) 2030 dan baru-baru ini menegaskan komitmennya untuk melaksanakan agenda ini sebagai rangka kerja utama untuk memacu dan mencapai komitmen kemampanan yang lebih padu dalam industri sawit, seperti yang dinyatakan dalam pelan tindakan pembangunan negara iaitu Rancangan Malaysia ke-12.

Selaras dengan UNSDG, Malaysia memperkenalkan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) pada 2015, pemangkin untuk mengubah industri minyak sawit, termasuk pekebun kecil ke arah kemampanan.

Diwajibkan mulai 1 Januari 2020, skim pensijilan tersebut adalah skim kemampanan nasional untuk industri sawit Malaysia, yang memerlukan syarikat perladangan, pekebun kecil persendirian dan tersusun, serta kemudahan pemprosesan minyak sawit untuk diperakui mampan. Ia menangani isu kritikal mengenai penebangan hutan, kehilangan biodiversiti dan pemeliharaan kawasan bernilai kepelbagaian biologi tinggi, isu berkaitan perubahan iklim, penanaman di tanah gambut, kebakaran, jerebu, gas rumah hijau, pekerjaan & persekitaran kerja, buruh kanak-kanak & buruh paksa, tanah komunal (Hak Adat Bumiputera - NCR) & hak pemilikan serta isu kesihatan.

Malaysia adalah negara pertama dan satu-satunya di dunia yang menjadikan pensijilan kemampanan dengan mandat kerajaan sebagai keperluan untuk industri sawitnya. Piawaian MSPO yang telah disemak pada tahun 2022, mengandungi lima prinsip yang membentuk keperluan umum rangka kerja sistem pengurusan, berdasarkan tiga tonggak kemampanan, iaitu berdaya maju dari segi ekonomi, boleh diterima dari segi sosial dan mesra alam. Lima prinsip MSPO itu adalah komitmen dan tanggungjawab pengurusan; ketelusan; pematuhan dengan keperluan undang-undang dan keperluan lain; tanggungjawab terhadap keadaan sosial, kesihatan, keselamatan dan pekerjaan; dan alam sekitar, sumber asli, biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem.

Menurut data MPOB dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), sehingga 30 September 2022, Pensijilan MSPO telah mencapai 98.28% yang menunjukkan bahawa 5,638,995.83 hektar daripada keseluruhan 5,737,731.36 hektar kawasan tanaman sawit di Malaysia telah disijilkan dengan MSPO. Selain itu, kira-kira 98.93 % atau 461 daripada 466 buah kilang sawit di negara ini telah diperakui dengan MSPO.

Selain itu, industri sawit Malaysia juga akur kepada skim pensijilan sukarela seperti Skim Pensijilan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO). Untuk rekod, 1,245,483 hektar ladang sawit Malaysia sudah pun mendapat Pensijilan RSPO. Pengeksport biobahan api berasaskan minyak sawit Malaysia juga memenuhi piawaian kemampanan yang ketat yang diperlukan oleh pengguna Eropah termasuk diperakui oleh German International Sustainability & Carbon Certification (ISCC).

Melindungi hutan dan tanah gambut

Malaysia telah mempergiat langkah untuk melindungi hutan dan tanah gambutnya dengan menambah baik lagi penguatkuasaan undang-undang hutan seperti pindaan kepada Akta Perhutanan Negara 1984 dalam mencegah pembalakan haram hasil hutan serta menambah baik dan mengukuhkan pengurusan kawasan hutan simpanan kekal.

Malaysia juga mewujudkan dasar ke arah penanaman sawit mampan, yang merangkumi antara lain, menetapkan had seluas 6.5 juta hektar kawasan dengan penanaman sawit. Dasar itu juga merangkumi larangan penanaman ladang sawit baharu di kawasan tanah gambut dan pengukuhan peraturan berkenaan dengan penanaman sawit sedia ada di atas tanah gambut. Selain itu, dasar tersebut juga melarang penukaran kawasan hutan simpan untuk penanaman sawit.

Mengekalkan 50% kawasan tanah di bawah litupan hutan

Sebanyak 55.6% atau kira-kira 18.3 juta hektar kawasan tanah Malaysia adalah tanah berhutan dan daripada itu, 18.7%, atau 3.8 juta hektar diklasifikasikan sebagai hutan primer, jenis hutan yang paling banyak biodiversiti dan padat karbon.

Industri sawit Malaysia dikawal selia rapi dan ditadbir oleh lebih daripada 60 undang-undang dan peraturan termasuk Akta Pengambilan Tanah 1960, Kanun Tanah Negara 1965, Akta Pemuliharaan Tanah Alam Sekitar 1960 yang disemak pada 1989, Akta Kualiti 1974, Kaedah-Kaedah Racun Perosak 1988 dan Keselamatan Pekerjaan. Akta Kesihatan 1977, Undang-undang Buruh dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Malaysia mengambil bahagian dalam Deklarasi Pemimpin Mengenai Hutan dan Penggunaan Tanah dan Ikrar Metana Global pada Persidangan Ke-26 Parti-parti Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC COP-26) yang diadakan di Glasgow, United Kingdom pada November 2021. Ini adalah selaras dengan komitmennya untuk terus mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah negara di bawah litupan hutan dan mengukuhkan komitmen terhadap pemuliharaan dan pengurusan mampan hutan dan ekosistem lain dan guna tanah termasuk pertanian.

Malaysia juga akan terus menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas metana antropogenik global dalam semua sektor. Sektor minyak sawit boleh menyumbang dalam pengurangan pelepasan metana negara dengan mempergiatkan inisiatif untuk memerangkap biogas daripada efluen kilang minyak sawit.

Pada Sidang Kemuncak Bumi Rio 1992, Malaysia berikrar untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada kawasan tanahnya untuk hutan dan litupan pokok, yang mana jauh lebih tinggi daripada litupan hutan di kebanyakan negara Eropah yang besar termasuk Perancis, Jerman, Itali dan United Kingdom. Ini membuktikan komitmen padu Malaysia untuk memulihara dan mengurus hutannya secara mampan serta melindungi flora dan faunanya.

Sepanjang dekad yang lalu, kadar penebangan hutan Malaysia telah menurun. Bagi tempoh 1991 hingga 2000, kadar penebangan hutan adalah pada 0.27%, iaitu menurun kepada 0.09% bagi tempoh 2001 hingga 2010. Dari tahun 2010 hingga 2015, kawasan hutan sebenarnya meningkat sebanyak 2% kepada 18.25 juta hektar. Lebih khusus lagi, dalam tempoh 2008 hingga 2018, kecuali 2016 dan 2018, semua tahun lain mencatatkan peningkatan bersih dalam kawasan hutan. Faktor utama peningkatan tersebut adalah pelaksanaan MSPO yang bertujuan mengurangkan kesan sosial dan alam sekitar.

Malaysia juga telah menyatakan komitmennya ketika Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP21) berlangsung di Paris pada tahun 2015 mengenai perubahan iklim di mana ia secara sukarela bersetuju untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45% menjelang 2030 berbanding dengan intensiti pelepasan KDNK pada tahun 2005. Setakat ini, Malaysia telah berjaya mengurangkannya sebanyak 33% dan pada 2014, penyingkiran karbon dioksida bersih Malaysia masing-masing adalah 1.7 kali dan 3.5 kali lebih tinggi daripada Perancis dan Jerman.

Memulihara hidupan liar dan biodiversiti

Dalam memulihara hidupan liar dan biodiversiti, Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) telah ditubuhkan untuk mencerminkan komitmen negara dalam memulihara alam sekitar. Ia merupakan inisiatif proaktif yang menyaksikan industri sawit Malaysia bekerjasama dengan organisasi seperti Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk menyokong usaha menyelamat dan pemuliharaan hidupan liar.

Inisiatif MPOGCF termasuk tinjauan ke atas populasi terkini orang-utan Borneo dan gajah pgymy di Sabah dan untuk mengenal pasti cabaran dan peluang pemuliharaan untuk spesies hidupan liar ini.

Initiatif penubuhan Santuari Hidupan Liar Gajah Borneo adalah bertujuan untuk menangani konflik manusia-gajah dan mewujudkan kawasan perlindungan akses awam terkawal untuk pemahaman dan penjagaan haiwan ini. Penanaman spesies rumput gajah menggalakkan gajah menggunakan koridor hidupan liar dan membantu mengurangkan konflik manusia-gajah di Sabah dan akhirnya membolehkan kehidupan bersama antara hidupan liar dan ladang sawit.

Malaysia bersama-sama Indonesia dan Brunei juga aktif dalam Inisiatif “Heart of Borneo” untuk memulihara kira-kira 20 juta hektar hutan hujan yang saling berkaitan secara ekologi, yang mana kira-kira 30% daripada kawasan itu berada di Malaysia.

Menyokong pemuliharaan Orang utan

Terdapat tiga spesies orang utan - orang utan Borneo (Pongo pygmaeus), orang utan Sumatera (Pongo abelii) dan orang utan Tapanuli (Pongo tapanuliensis). Walau bagaimanapun, hanya orang utan Borneo boleh ditemui di Borneo Malaysia iaitu subspesies P. p. pygmaeus di Sarawak dan subspesies P. p. morio atau Orang Utan Borneo Timur Laut di Sabah. Populasi subspesies ini telah stabil pada kira-kira 11,000 individu selama 15 tahun yang lalu.

Mengekalkan nilai konservasi tinggi (HCV), kawasan stok karbon tinggi (HCS) dan zon penampan riparian, yang merupakan sebahagian daripada keperluan skim pensijilan (seperti MSPO, RSPO, ISCC) memberikan peluang kepada syarikat perladangan sawit untuk menyumbang secara aktif ke arah pemuliharaan orang utan.

Malaysia telah lama melaksanakan usaha bersepadu untuk memastikan pemuliharaan biodiversiti dan sumber semulajadinya dengan mewujudkan dan menyokong projek di pedalaman dan di laut seperti Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Rizab Pulau Penyu, Rizab Pulau Sipadan dan Lembah Danum. Sepilok, yang terkenal dengan projek pemulihan orang utan telah memperluaskan objektifnya untuk memasukkan program kesedaran awam mengenai pemuliharaan dan penyelidikan mengenai spesies terancam lain.


Sementara itu, beberapa syarikat berkaitan minyak sawit Malaysia juga terlibat secara aktif dalam pembiayaan projek pemuliharaan hidupan liar di Malaysia. Sumbangan ini bukan sahaja terhad kepada orang utan tetapi juga membiayai program pemuliharaan untuk spesies terancam lain seperti badak sumbu Sumatera, burung enggang, harimau dan beruang kecil.

Program Biodiesel Kebangsaan

Program Biodiesel Kebangsaan Malaysia bagi sektor pengangkutan yang melibatkan pengadunan 20 peratus metil ester sawit dengan 80 peratus diesel, dijangka menyebabkan anggaran pengelakan pelepasan GHG (bersamaan karbon dioksida) sebanyak 3,202,000 tan/tahun. Anggaran pengelakan pelepasan GHG adalah berdasarkan anggaran penggunaan biodiesel sebanyak 1,067,178 tan/tahun.

Kelebihan berbanding tanaman minyak lain

Ladang sawit mempunyai kelebihan yang ketara berbanding tanaman minyak pesaing. Tidak seperti tanaman minyak lain, pokok sawit menyerap karbon dioksida dan boleh dianggap sebagai penyerap karbon yang penting. Oleh itu, ladang sawit menyumbang kepada penyerap karbon yang cekap dan mempunyai peranan penting dalam keseimbangan karbon global.

Berbanding dengan tanaman minyak lain, sawit juga memerlukan kurang penggunaan baja, racun perosak dan racun herba, membolehkan amalan pertanian yang lebih mesra alam.

Namun, sawit masih dapat menghasilkan empat hingga sembilan kali lebih banyak minyak sehektar berbanding tanaman minyak lain. Dalam erti kata lain, kacang soya, bunga matahari dan biji sesawi memerlukan empat hingga sembilan kali lebih banyak tanah berbanding sawit untuk menghasilkan satu tan metrik minyak “seumpamanya”. Secara ringkas, tanaman minyak selain sawit memerlukan lebih banyak tanah untuk hasil yang sama, serta lebih banyak baja dan racun perosak. Fakta ini tidak boleh diabaikan kerana ia memainkan peranan semasa menentukan kesan tanaman minyak terhadap pelepasan GHG.

Komitmen kerajaan terhadap hak pekerja dan keperluan buruh

Malaysia telah berikrar untuk menghapuskan buruh paksa dan buruh kanak-kanak melalui ratifikasi Konvensyen Asas ILO no. 29 (Buruh Paksa) dan Konvensyen no.182 (Bentuk Buruh Kanak-Kanak Terburuk). Selain itu, Malaysia telah meratifikasi Konvensyen no.98 (Perundingan Bersama), Konvensyen no.100 (Imbuhan Sama Rata) dan Konvensyen no.138 (Umur Minimum) dan Konvensyen no.131 (Gaji Minimum).

Konvensyen ini menyediakan panduan berguna dalam menentukan kewajipan Malaysia berkenaan dengan perlindungan hak pekerja asing. Pada masa ini, Malaysia juga memulakan Projek BRIDGE dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), bertujuan untuk menyokong usaha Kerajaan dalam memerangi buruh paksa di bawah Protokol 29 (Protokol tambahan kepada Konvensyen 29) sebagai panduan tentang langkah-langkah untuk menghapuskan semua bidang buruh paksa (pencegahan, perlindungan terhadap mangsa dan akses kepada keadilan).

Malaysia telah menjalankan kajian menyeluruh mengenai “The Labour Situation in Palm Oil Plantation Sector in Malaysia” pada tahun 2018. Hasil kajian telah dihantar ke Jabatan Buruh Amerika Syarikat (US DOL) dan dikeluarkan sebagai dokumen awam.

Kajian tersebut telah mengenal pasti cadangan dan syor untuk menangani isu dan masalah berkaitan situasi buruh dalam sektor perladangan sawit.

Pada 19 November 2021, Kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk meratifikasi Protokol ILO 29 yang merupakan Protokol 2014 kepada Konvensyen Buruh Paksa, 1930, serta penyertaan Malaysia sebagai negara “Pathfinder” di bawah Perikatan SDG 8.7 sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk membasmi buruh paksa di Malaysia.

--BERNAMA

Datuk Dr Ahmad Parveez Hj Ghulam Kadir merupakan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)