TINTA MINDA

PRU15: PANDUAN MENGUNDI DARI SUDUT FIQH IMPLIKASI

18/11/2022 08:46 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Hamidah Mat

Pernahkah anda mendengar tentang hadis ini?

إِنْ قامَتِ السَّاعَةُ وَفِي يَدِ أَحَدِكُمْ فَسِيلَةٌ، فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَنْ لَا تَقُومَ حَتَّى يَغْرِسَهَا فَلْيَغْرِسْهَا

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang daripada kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah.” (HR Bukhari, Al-Adab al-Mufrad, No. 479). Sebagaimana yang dihuraikan oleh Imam al-Aini, hadis ini secara suratannya menerangkan tentang kepentingan untuk berusaha mencari rezeki dengan usaha sendiri.

Selain itu, hadis ini turut mementingkan aspek pertanian yang menjadi sumber utama kepada makanan manusia demi kelangsungan hidup yang sejahtera. Secara tersiratnya, hadis ini membawa mesej yang sangat penting sebagai panduan bagi seorang Muslim menjalani kehidupannya, iaitu kepentingan berfikir dan merancang untuk masa hadapan.

Sebagai makhluk sosial, manusia tidak dapat hidup sendirian. Dalam suasana yang lebih kompleks, kehidupan manusia hari ini telah diatur oleh sistem-sistem pemerintahan di sempadan-sempadan geografi negara berdaulat. Apa jua sistem pemerintahan yang dijalankan dalam sesebuah negara, kehidupan manusia yang bertamadun tidak akan terlepas daripada kerangka kepimpinan pemimpin dan keterpimpinan rakyat.

Hal-hal ini dihuraikan secara terperinci dalam fiqh siasah atau siasah syar’iyyah. Uniknya, siasah syar’iyyah adalah salah satu bidang ilmu yang sangat luas dan terbuka. Berdasarkan kepada dalil-dalil yang menjelaskan tentang prinsip-prinsip umum yang sejagat seperti keadilan, syura dan amanah, siasah syar’iyyah menyediakan panduan-panduan umum kepada tadbir urus negara yang baik. Apa yang penting, siasah syar’iyyah bertujuan memelihara kepentingan manusia dan menyebarkan rahmat kebaikan yang sejagat.

Memilih Pemimpin Tanggungjawab Semua

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tiba juga, kempen oleh calon pelbagai parti semakin hangat. PRU15 ibarat pesta demokrasi yang mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat terutamanya pasca-pandemik COVID-19 dan keadaan politik negara yang tidak stabil. Sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab, memilih atau mengundi adalah satu kewajipan.

Hal ini disokong kukuh oleh ajaran Islam. Manakan tidak, setelah kewafatan Rasulullah SAW, perkara pertama yang menjadi persoalan umat Islam ialah siapakah yang akan dipilih untuk mengetuai umat Islam ketika itu.

Sejarah yang panjang, pelbagai fakta telah tercatat, pelbagai cerita telah diriwayat. Itulah bukti kukuh bahawa pemilihan pemimpin adalah tanggungjawab penting bagi seseorang yang faham akan agama dan kehidupannya. Maka, jika ada lagi yang memutuskan untuk tidak mengundi, atas alasan boikot atau putus asa dengan keadaan politik negara, maka anda telah membuat keputusan yang paling tidak wajar.

Orang yang tidak mahu memilih pemimpin bukan sahaja tidak membantu membina negara, tetapi pada masa yang sama meletakkan masa depan sendiri dalam keadaan yang bahaya.

Fikir Sebelum Bertindak

Bapa kepada maqasid al-syariah iaitu al-Imam al-Syatibi dalam bukunya al-Muwafaqat telah mengetengahkan satu konsep yang penting berkaitan pembinaan hukum Islam dan aspek masa hadapan. Di dalam buku tersebut, al-Syatibi menekankan tentang satu aspek yang penting dalam pembinaan hukum, selain dalil yang sahih dan hujah yang adil; iaitu al-nazar ila al-maal.

Konsep yang berkembang menjadi fiqh al-maalat (fiqh implikasi) ini bermaksud melihat kepada kesudahan dan natijah sesuatu perbuatan, sama ada baik atau buruk dan sama ada diniatkan oleh orang yang melakukan perbuatan atau tidak. Konsep ini bukanlah perkara baharu dalam dunia fiqh, malah telah dipraktikkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Sepanjang usaha dakwah mengajak orang kepada Islam, Rasulullah SAW sentiasa memikirkan kesan atau implikasi yang bakal terhasil daripada sesuatu pendekatan dakwah yang digunakan.

Diriwayatkan daripada Umar bin Al-Khattab r.a. bahawa terdapat seorang lelaki pada zaman Nabi Muhammad SAW yang bernama Abdullah yang diberi gelaran himar (keldai). Beliau pernah membuat Rasulullah SAW tertawa.

Pada suatu hari, beliau dibawa kepada Nabi Muhammad SAW kerana meminum arak lalu baginda memerintahkan agar disebat. Semasa beliau disebat, seorang lelaki berkata, “Ya Allah, laknatilah dia. Sudah sering dia dibawa kepada Nabi Muhammad SAW untuk disebat.” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah melaknatinya. Demi Allah, tidaklah saya mengetahui (mengenainya) melainkan beliau mencintai Allah dan Rasul-Nya.” (kerana beliau pernah membuatkan baginda tertawa). (HR Bukhari, No. 6780).

Dalam hadis tersebut, Rasulullah SAW melarang daripada mengucapkan kata-kata laknat meskipun kepada seseorang yang bersalah melakukan dosa besar kerana minum arak. Bahkan, tindakan Rasulullah SAW menyebut kebaikan lelaki tersebut bertujuan membantu dan memberikan harapan kepada Abdullah untuk meninggalkan dosa meminum arak. Situasi ini menjelaskan kepada kita tentang peri pentingnya untuk memikirkan tentang kesan dan implikasi kepada sesebuah tindakan yang diambil dalam kehidupan kita.

Pengundi Berhikmah

Seorang ahli politik Amerika, wartawan, pengarang dan juga penyokong keamanan dunia, Norman Cousins pernah menyebut, “Wisdom consists of the anticipation of consequences.” (Kebijaksanaan terdiri daripada jangkaan akibat-akibat (sesuatu perkara). Kita sering berbincang tentang pemimpin perlu berhikmah dalam kepimpinan mereka. Hakikatnya, rakyat dan yang dipimpin juga perlu berhikmah dalam memilih pemimpin mereka.

Justeru, konsep fiqh implikasi boleh dijadikan panduan. Setiap daripada kita perlu memikirkan tentang apakah kesan terhadap pilihan dan undian yang diberikan. Adakah kepimpinan pemimpin yang dipilih itu akan memberikan kebaikan kepada diri, keluarga dan masyarakat? Adakah pemimpin yang dipilih itu mampu mentadbir urus negara dan negeri dengan baik?

Adakah pemimpin yang dipilih itu mampu bersuara dan membawa suara kita di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri? Adakah calon yang dipilih itu benar-benar mahu menguruskan kawasan atau hanya bertenggek demi kepentingan sendiri?

Agama Calon Bukan Isu

Ulama tersohor, Dr Yusuf al-Qaradawi pernah mengemukakan pandangan yang relevan dalam isu memilih calon bukan Islam sebagai wakil rakyat. Menurut beliau:

“Sesungguhnya al-niyabah (perwakilan) merupakan wakil kepada sebahagian orang ramai dalam kawasan tertentu, ia tidak dianggap dalam bab al-imarah (kepimpinan) dan al-wilayah (kekuasaan) yang dilarang dalam hadis daripada

memintanya. Seorang wakil (rakyat) bukannya ketua, menteri atau gabenor, tetapi dia sekadar mewakili kawasannya dalam dewan yang berfungsi untuk menegur kepimpinan, penguasa dan para menteri. Oleh itu, dia menegur bukannya yang ditegur.”

Ini bermakna mengundi calon bukan Muslim dalam pilihan raya dan melantik mereka sebagai pemimpin (kecuali pemimpin tertinggi) adalah harus kerana kuasa seorang wakil rakyat di Malaysia adalah terhad dan terbatas. Mereka dikawal dan terikat dengan undang-undang serta Perlembagaan negara. Sebagai contoh, jika suatu perkara itu menyentuh sebarang urusan yang berkaitan dengan agama Islam, ia perlu melepasi dan mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Undi Yang Boleh Bekerja

Hakikatnya, memilih pemimpin dalam PRU ibarat memilih seseorang yang boleh bekerja untuk kita. Wakil rakyat yang dipilih sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri berperanan untuk mendengar masalah rakyat, membantu menyelesaikan dan mentadbir negeri atau negara bersama wakil-wakil rakyat yang lain. Maka, bagaimanakah kita memilih pekerja yang baik? Sudah pasti dengan melihat kepada kualiti dan kelayakan yang ada. Justeru, pengundi perlu mengenali calonnya sebaik mungkin.

Pilihlah yang boleh bekerja dengan kompetensi yang perlu, bukan hanya ikutan melulu. Sifat-sifat seperti amanah, adil dan bersungguh-sungguh sangat penting supaya negara dapat dikelola dengan baik agar bertambah maju. Bebas rasuah dan integriti adalah sifat yang penting, supaya kelak harta negara dapat diurus dengan saksama, jauh daripada kepentingan diri dan keluarga. Pilihlah calon yang faham akan keperluan rakyat dan mengutamakannya.

Jika setiap pengundi mampu berbuat demikian, maka akan terbentuklah barisan pemimpin yang berkelayakan dan mampu menyelamatkan keadaan negara yang sudah tenat. Ini konsisten dengan ungkapan: سيد القوم خادمهم

Maksud: Pemimpin sebuah kaum adalah pelayan bagi kaumnya.

Joran buluh bertali tangsi,

Bakul rotan berbingkai seroja,

Sebelum undi fikirlah implikasi,

Moga terpilih yang boleh bekerja.

--BERNAMA

Dr Hamidah Mat merupakan Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open University Malaysia (OUM) dan Penasihat ILMAN

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)