TINTA MINDA

BAIK BURUK PENGGUNAAN TEKNOLOGI DIGITAL, AWASI ANAK ANDA!

07/12/2022 09:59 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Norfaradilla Wahid

Pandemik COVID-19 banyak memberi impak kepada dunia termasuklah masyarakat Malaysia. Antara peningkatan yang dapat diperhatikan adalah kesan pandemik daripada segi capaian Internet dan penggunaan teknologi digital dalam kalangan pengguna. Masyarakat dilihat menjadi semakin dekat dengan penggunaan teknologi digital terutama apabila ia menjadi keperluan wajib bagi setiap keluarga menyediakan kemudahan pembelajaran dalam talian untuk anak-anak.

Kesannya, lebih ramai kanak-kanak pasca-pandemik yang mempunyai akses yang amat mudah terhadap capaian Internet. Malah, semakin ramai juga ibu bapa yang membenarkan anak-anak memiliki peranti elektronik peribadi seawal usia yang sangat muda berikutan keperluan pembelajaran semasa tempoh pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Memetik artikel yang dikeluarkan oleh Statista Research Department, secara keseluruhannya, wabak COVID-19 telah mencetuskan peningkatan dalam penggunaan peranti elektronik dalam kalangan kanak-kanak dan remaja Amerika Syarikat di bawah 13 tahun. Masa yang diperuntukkan remaja untuk skrin peranti dua kali ganda daripada masa yang digunakan secara purata oleh semua kumpulan umur. Kajian tersebut juga mendapati 32 peratus ibu bapa memberi maklum balas bahawa anak-anak mereka menggunakan peranti elektronik lebih daripada empat jam sehari, namun jumlah ini telah meningkat kepada 62 peratus sejak pandemik bermula.

Kesan negatif

Perkembangan ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap perkembangan kanak-kanak. Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa cakna dengan impak penggunaan teknologi digital terhadap anak mereka. Ini kerana atas alasan apa sekalipun, penggunaan peranti elektronik yang berlebihan kepada kanak-kanak boleh memberikan kesan kurang baik terhadap perkembangan mereka.

Antara kesan penggunaan peranti elektronik secara berlebihan ialah masalah psikologi dan kesihatan mental, kesihatan mata, kesukaran kanak-kanak untuk fokus, serta masalah interaksi sosial yang perlu diambil perhatian. Berdasarkan pemerhatian juga, mereka masih gemar berhubung dengan rakan-rakan sekolah melalui medium dalam talian di luar waktu sekolah dengan menghabiskan masa berjam-jam lamanya.

Selain itu, dikhuatiri kanak-kanak akan lebih terdedah kepada penggunaan aplikasi media sosial yang secara umumnya turut memberi kesan yang membimbangkan. Ini kerana, kanak-kanak bawah umur mudah terpengaruh dengan kandungan kurang sihat yang dipaparkan di platform media sosial.

Kesan Positif

Dari sudut positif pula, pada era pasca-pandemik ini, kanak-kanak akan terus mendapat akses yang lebih luas bagi pengalaman pembelajaran luar bilik darjah. Anak-anak tidak lagi bergantung kepada pengajaran guru semata-mata malah boleh merujuk kepada laman sesawang pendidikan atau YouTube bagi memperolehi lebih maklumat berkaitan topik yang diajar di sekolah. Selain itu, dilihat ibu bapa lebih terbuka dalam mendedahkan anak-anak kepada aktiviti berkualiti yang dijalankan secara dalam talian contohnya seperti mengikuti kelas pengaturcaraan atau menyertai e-sukan. Anak-anak masa kini juga lebih terkedepan dalam pelbagai sudut. Malah, kajian daripada American Cornell University Tomoe Kanaya menunjukkan bahawa skor IQ kanak-kanak di zaman ini menjadi lebih tinggi berbanding generasi terdahulu.

Diharapkan ibu bapa pasca pandemik akan memperhalusi keperluan teknologi dalam kalangan anak-anak di rumah. Keperluan untuk celik teknologi maklumat (IT) adalah sesuatu yang tidak dapat disangkal. Namun, mengawal penggunaan peranti elektronik juga masih menjadi sesuatu yang penting untuk kebaikan bersama. Jika kawalan yang sewajarnya tidak diambil perhatian, ia berpotensi mengganggu perkembangan anak-anak yang bakal menjadi pelapis negara. Tanggungjawab ibu-bapa tidak seharusnya dilihat daripada penyediaan keperluan fizikal semata-mata, malah keperluan mental dan sahsiah juga haruslah turut sama menjadi perhatian bagi menjamin kelestarian masyarakat.

--BERNAMA

Dr Norfaradilla Wahid ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)