TINTA MINDA

SINDROM VIP: PENGALAMAN PAKAR PERUBATAN

09/12/2022 08:59 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Khoo Ching Soong

Pada suatu petang Ahad, saya menerima satu panggilan telefon daripada bekas rakan sekerja, seorang pakar dermatologi. Panggilan tersebut mengenai ayahnya, yang baru sahaja dimasukkan ke Unit Kardiologi kerana masalah sinkop yang berulang. Pakar jantung menasihatinya untuk memasang alat perentak jantung buatan (pacemaker). Maka, semasa membantu ayahnya membuat keputusan yang besar ini, beliau bertanyakan satu soalan penting: Adakah masalah sinkop ini berpunca daripada jantung atau bersifat neurogenik?

“Sudah tentu, saya akan melakukan satu sesi konsultasi dengan ayah anda esok, di klinik neurologi saya,” jawapan spontan saya yang positif dan bersemangat sedikit sebanyak mampu mengurangkan kegusaran hatinya. Beliau segera mendapatkan discaj atas risiko sendiri untuk ayahnya daripada Unit Kardiologi.

Keesokannya, beliau datang ke klinik bersama ayahnya yang berusia lewat 50-an dan memiliki susuk badan sederhana. Ayahnya tidak pernah menghisap rokok atau mengambil alkohol. Serangan sinkop yang pertama berlaku pada tahun lepas apabila dia muntah-muntah dan sakit di bahagian epigastrik. Dia sedar daripada pitam apabila berada di Unit Kecemasan. Pemeriksaan menyeluruh telah dilakukan termasuk imbasan tomografi berkomputer (CT) di bahagian otak dan hasil pemeriksaan menunjukkan bahawa denyutan jantungnya perlahan iaitu antara 40-50 denyutan seminit.

Hasil elektrokardiogram menunjukkan bradikardia sinus tanpa perubahan iskemia. Ujian enzim jantung yang dilakukan secara berkala juga berada pada tahap normal. Ayahnya tidak mengalami sebarang gejala angina. Dia juga tidak mempunyai sejarah masalah perubatan yang lain atau ahli keluarga yang mempunyai masalah jantung. Pemantauan Holter selama dua puluh empat jam juga tidak menunjukkan aritmia berbahaya. Ekokardiogram juga menunjukkan struktur jantung yang normal dengan ejection fraction sebanyak 60 peratus.

Ayahnya sihat sehingga beberapa hari sebelum berjumpa dengan saya di klinik. Dia berasa pening, seakan berputar-putar dan juga berasa hendak pitam (presyncopal attack). Keterangan daripada ayahnya membuatkan saya terfikir bahawa dia mengalami masalah vertigo. Disebabkan ayahnya pernah mengalami bradikardia, dia dirujuk kembali ke Unit Kardiologi untuk pemeriksaan lanjut dan mendapat pandangan daripada pakar kardiologi. Hasilnya menunjukkan keputusan yang normal selain bradikardia sinus di antara 40-50 denyutan seminit. Dia dinasihatkan agar memasang alat perentak jantung buatan disebabkan oleh bradikardia sinus dan juga masalah sinkop yang berulang-ulang.

Saya kemudiannya melakukan pemeriksaan fizikal terhadap ayahnya setelah mendapat sejarah masalah perubatan yang lengkap dan pengesahan daripada rakan sejawat saya. Pemeriksaan fizikal tidak menunjukkan tanda-tanda masalah serebelar atau masalah neurologi yang lain. Otoskopi juga tidak menunjukkan sebarang penemuan yang abnormal. Pemeriksaan fizikal terhadap sistem lain seperti kardiovaskular, respiratori dan gastrologi adalah normal. Elektrokardiogram menunjukkan bradikardia sinus pada kadar 50 denyutan seminit.

Sebelum memaklumkan rumusan hasil pemeriksaan yang telah dijalankan mengenai dianogsis yang sesuai, beliau mencadangkan pelbagai pelan rawatan seterusnya seperti mengulang semula imbasan tomografi berkomputer otak, pengimejan resonans magnetik, imbasan tomografi berkomputer saluran arteri koronari, merujuk ayahnya ke Jabatan Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), mendapat pandangan kedua daripada pakar jantung dan sebagainya. Bagaimanapun, saya menasihatkan beliau agar bertenang walaupun tertinggal sebarang penemuan abnormal terhadap ayahnya, kerana kebimbangan dan kegelisahan yang melampau akan memberi impak negatif kepada proses gerak kerja dan penjagaan kesihatan ayahnya.

Seperti yang dipersetujui bersama, jelas bahawa ayahnya mengalami masalah vertigo, kali ini mungkin disebabkan vestibular neuritis. Sinkop pertama yang berlaku sebelum ini mungkin disebabkan serangan vasovagus selepas muntah-muntah. Denyutan jantung ayahnya berada di antara 40-50 denyutan seminit dan pemantauan berulang juga tidak menunjukkan aritmia berbahaya. Buat masa ini saya mencadangkan agar ayahnya dirujuk ke Jabatan Telinga, Hidung dan Tekak (ENT). Pada masa sama ayahnya perlu mengambil ubat anti-vertigo untuk membantu menghilangkan gejala vertigo yang hampir pulih ini.

Penjelasan yang diberikan berjaya menghilangkan kegelisahan beliau. Tindak balas emosinya telah mengaburkan pandangannya terhadap risiko dan faedah rancangan pengurusan pesakit yang dicadangkan sebelum ini. Beliau turut mengakui telah memberi maklum balas berlebihan dan membelakangkan peranan saya sebagai doktor yang mengurus dan merawat ayahnya. Sebulan kemudian, saya menerima pesanan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada bekas rakan sekerja saya yang menyatakan penghargaan atas pertimbangan klinikal yang tidak berat sebelah. Ayahnya juga pulih sepenuhnya tanpa memerlukan implantasi alat perentak jantung buatan.

Sindrom VIP

Istilah sindrom VIP (very important person) atau orang yang paling penting diperkenalkan oleh Dr Walter Weintraub pada tahun 1964. Pengurusan golongan VIP merupakan cabaran yang besar bagi setiap pengamal perubatan. VIP ialah individu yang diberi hak istimewa berdasarkan status atau kekayaan yang dimiliki. Contohnya, kerabat diraja, ahli politik, selebriti, pemimpin korporat dan orang kaya. Saya juga merasakan bahawa kakitangan perubatan atau saudara mereka semakin kerap menjadi VIP untuk rawatan khas.

Penjagaan kesihatan VIP berbeza disebabkan dilema daripada segi etika. Perbezaan faedah yang difahami oleh VIP dan kepelbagaian latar belakang doktor perubatan serta VIP itu sendiri. Layanan istimewa terhadap VIP seperti rawatan terbaik, lebih pantas; fasiliti lebih selesa, lengkap, dan layanan istimewa daripada pakar perubatan disebabkan oleh status unik mereka hanya akan mengundang kemudaratan.

Kemasukan VIP ke hospital menyebabkan kakitangan hospital berasa tidak selesa, terutamanya hospital yang tidak bersedia untuk menerima kemasukan mereka. Selain mendapat tumpuan media massa, VIP menuntut kawasan penjagaan yang asing, ia boleh mengganggu rawatan untuk kumpulan pesakit bukan VIP yang lebih memerlukan rawatan. Pemberita yang mengejar berita juga mengganggu keharmonian dan etika di hospital.

Satu tinjauan mengenai pesakit dalam wad menunjukkan bahawa majoriti pakar perubatan berasa tertekan apabila pesakit VIP atau ahli keluarga meminta untuk melakukan pelbagai ujian atau rawatan tambahan yang dikira tidak perlu daripada segi perubatan. Tinjauan mendapati bahawa 36 peratus daripada pakar perubatan ini menerima tekanan daripada pihak hospital untuk memenuhi tuntutan-tuntutan VIP. Banyak ujian kesihatan yang tidak perlu dianggap lebih baik oleh mereka daripada melakukan hanya satu ujian kesihatan. Bertentangan dengan pegangan konvensional, keadaan ini sebenarnya boleh mendatangkan lebih banyak kemudaratan kepada pesakit.

Contohnya, individu yang tidak mempunyai sebarang tanda masalah kesihatan akan terdedah kepada kecederaan radiasi dengan melakukan imbasan CT. Tekanan emosi dan perasaan takut wujud selepas pengesanan tahap darah yang sedikit tinggi, positif palsu, atau pesakit asimptomatik yang mempunyai sedikit peningkatan pada penanda kanser; atau kekebalan antibiotik yang berlaku apabila ubat antibiotik ditukar kepada kelas antibiotik spektrum luas walaupun tiada keperluan untuk berbuat demikian. Amalan tidak sama rata dalam penjagaan kesihatan sebegini boleh menghalang pesakit bukan VIP daripada mendapatkan penjagaan kesihatan yang standard di klinik yang kekurangan sumber, belanjawan kesihatan, dan fasiliti perubatan.

Sembilan prinsip mengendalikan pesakit VIP

Guzman et al mencadangkan sembilan prinsip dalam mengendalikan pesakit VIP iaitu:

  1. Jangan melanggar sebarang peraturan. Apabila menjaga pesakit VIP, piawaian dalam penjagaan kesihatan tidak akan tercapai sekiranya terpesong daripada amalan klinikal biasa.
  2. Bekerja secara berpasukan dan bukannya secara individu. Kerjasama berpasukan sangat penting untuk memastikan hasil rawatan yang lebih baik dan berkesan kepada pesakit.
  3. Kemahiran komunikasi yang efektif harus diamalkan antara anggota kesihatan dengan pesakit, keluarga, atau anggota kakitangan kesihatan lain semasa merawat pesakit.
  4. Berhati-hati semasa berkomunikasi dengan pihak media. Konsep kerahsiaan dalam hubungan pakar perubatan-pesakit mesti dipelihara.
  5. Menolak “chairperson’s syndrome”. Chairperson’s syndrome merupakan tekanan daripada pesakit, ahli keluarga atau pihak hospital yang dititikberatkan oleh ketua jabatan.
  6. Rawatan perlu diberi dengan kesesuaian. Keputusan untuk menentukan tempat penjagaan pesakit VIP adalah dibuat dengan mengambil kira tempat dan penjagaan dapat diberikan secara optimum.
  7. Melindungi keselamatan pesakit. Dalam menangani sindrom VIP, perkara paling penting yang perlu diambil kira adalah dengan memastikan keselamatan pesakit terjamin.
  8. Berhati-hati semasa menerima atau menolak pemberian pesakit. Pakar perubatan adalah dicadangkan untuk menolak pemberian pesakit dengan sopan bagi mengelakkan perselisihan faham atau ketidakpuasan hati pesakit. Situasi ini juga akan dapat menjamin bahawa penjagaan pesakit dilakukan tanpa mengharapkan balasan.
  9. Bekerjasama dengan doktor peribadi pesakit. Interaksi efektif dengan penjaga peribadi VIP boleh merangsangkan komunikasi dan proses membuat keputusan bagi pesakit.

Daripada sembilan prinsip ini, komunikasi secara efektif sangat penting untuk dipraktikkan oleh pengamal perubatan. Komunikasi yang berkesan termasuklah kontak mata yang berpanjangan dan fokus kepada pesakit. Untuk mendapatkan diagnosis yang paling tepat, kita perlu mendengar sendiri luahan pesakit tentang masalah kesihatan yang dihadapi dan sejarah perubatan beliau serta tidak bergantung harap sepenuhnya kepada maklumat yang diberi oleh ahli keluarga.

Dalam kes pemasangan alat perentak jantung, anak pesakit yang merupakan pakar perunding perubatan memberikan senarai kemungkinan untuk dijadikan diagnosis situasi ini secara tidak sengaja boleh mengaburi pandangan saya. Pakar perubatan yang memberikan konsultasi dan rawatan perubatan kepada pakar perubatan lain atau ahli keluarganya akan berhadapan dengan konflik dalam memai nkan peranannya sebagai rakan sekerja dan juga pengamal perubatan.

Oleh itu, langkah penting yang perlu diambil adalah menjaga hubungan profesional dengan pakar perubatan tersebut, menghormati pandangan profesional serta ideanya, mencadangkan pelan penjagaan pesakit yang tidak berat sebelah. Selain itu, mengingatkannya tentang potensi adanya risiko ketika melakukan ujian kesihatan yang tidak perlu dan menawarkan jaminan bahawa penjagaan yang betul akan diberikan kepada pesakit. Saya ingin menekankan bahawa jaminan dan penjagaan rawatan kesihatan yang standard untuk pesakit VIP, adalah kunci seterusnya dalam menangani isu VIP selepas mengambil kira komunikasi yang berkesan.

Sindrom VIP merupakan isu kritikal dan perlu diuruskan dengan sewajarnya. Pengamal perubatan harus mahir menangani isu ini agar kita tidak menidakkan penjagaan kesihatan pesakit dengan hanya memenuhi tuntutan golongan VIP. Ingatlah bahawa Primum non nocere- yang pertama, jangan membahayakan diri pesakit. Oleh itu, kita perlu sentiasa berpegang kepada prinsip asas seorang pengamal perubatan ini dalam amalan klinikal harian kita.

--BERNAMA

Dr. Khoo Ching Soong merupakan Pakar Perubatan Dalaman dan Neurologi di Jabatan Perubatan, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)