Sejak revolusi industri, manusia telah membakar sejumlah besar arang batu, petroleum, dan bahan bakar fosil lain untuk menghasilkan haba dan elektrik. Aktiviti ini membebaskan karbon dioksida (C02), gas rumah hijau yang paling banyak dihasilkan manusia ke atmosfera. Akibatnya, lebih banyak haba yang sepatutnya terbebas ke angkasa terperangkap dalam atmosfera, seterusnya meningkatkan suhu global. Natijahnya, masalah pelepasan gas hijau yang disebabkan oleh jejak karbon hasil perbuatan manusia sekian lama dikenal pasti menjadi punca utama kepada terjadinya fenomena pemanasan global, satu isu yang kian menjadi perhatian masyarakat dunia.
Saintis tidak henti memberi amaran, pemanasan global yang melebihi nilai ambang berisiko menjadikan bumi tidak boleh lagi didiami. Bumi ketika ini masih berada di luar landasan daripada hasrat yang ditetapkan oleh perjanjian iklim Paris pada 2015 untuk mengehadkan pemanasan kepada 1.5 darjah celcius di atas paras praperindustrian untuk mengelakkan kesan terburuk perubahan iklim. Rentetan itu, kita akan mengalami lebih banyak banjir, kemarau, gelombang panas, ribut melampau serta kebakaran hutan dan ia akan menjadi lebih teruk, memecah rekod dengan kekerapan yang membimbangkan jika kita tidak mengehadkan pelepasan karbon yang dibebaskan melalui pelbagai aktiviti.
2022 saksi cuaca ekstrem, beri kesan kepada komuniti dunia
Tahun 2022 telah menyaksikan keadaan cuaca ekstrem yang diburukkan lagi oleh perubahan iklim yang membawa pelbagai impak kepada komuniti di seluruh dunia. Cuaca panas terik dan kemarau di seluruh Eropah menyebabkan tanaman layu, kebakaran hutan dan sungai-sungai utama mengering. Perubahan iklim juga mendedahkan Eropah kepada penyakit berjangkit seperti malaria dan demam denggi yang disebarkan melalui gigitan nyamuk, manakala air laut yang semakin panas menjadi semakin sesuai untuk bakteria yang menyebabkan taun, khususnya di sepanjang garis pantai Laut Baltik.
Menurut Agensi Alam Sekitar Eropah (EEA), jika tiada sebarang usaha dilakukan untuk menangani gelombang haba, ia mungkin akan mengakibatkan 90,000 penduduk benua itu terkorban setiap tahun menjelang akhir abad ini. Dianggarkan 129,000 penduduk Eropah meninggal dunia akibat haba melampau dalam tempoh antara 1980 hingga 2020. Gelombang haba yang lebih kerap dikaitkan dengan perubahan iklim, populasi yang semakin tua dan peningkatan urbanisasi menjadikan angka itu berkemungkinan meningkat beberapa tahun akan datang.
Selain itu, gelombang haba berturut-turut antara Jun dan Julai menyaksikan suhu mencecah 40 darjah celcius di Britain buat kali pertama menyebabkan kira-kira 24,000 lebihan kematian di Eropah. Di England misalnya, gelombang haba telah memecahkan rekod iaitu memuncak pada 40.3 darjah celcius di Coningsby di tengah England, dengan keadaan kering luar biasa merentasi selatan dan timur serta kebakaran hutan merentasi sebahagian besar negara. kemarau dan panas yang berpanjangan. Kebakaran hutan berlaku di beberapa tempat juga menyebabkan kolam dan sungai menjadi kering. Malahan, banyak tempat mengalami 'musim luruh palsu' dengan pokok menggugurkan daunnya lebih awal kerana kemarau. Secara keseluruhan, suhu bulanan adalah sekitar 0.8 darjah celcius melebihi purata jangka panjang dari tahun 1991 ke 2020.
Perubahan iklim jejaskan ekonomi global
Pada tahun 2023, Indonesia dijangka menghadapi cuaca paling kering sejak 2019. Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) memberi amaran bahawa, hujan yang berkurangan boleh meningkatkan risiko kebakaran hutan, manakala trend tiga tahun lalu juga mencadangkan peningkatan risiko gempa bumi dan tsunami. Musim kemarau tahun depan mungkin sama seperti pada 2019 yang mencatatkan lebih 1.65 juta hektar hutan terbakar. Menurut anggaran Bank Dunia, kebakaran tersebut menyebabkan negara itu menanggung kerosakan dan kerugian ekonomi sekurang-kurangnya AS$5.2 bilion (RM23 bilion).
Ekonomi global turut mengalami kerugian bernilai trilion dolar dengan negara miskin paling teruk terjejas dalam tempoh 30 tahun lalu, susulan gelombang haba akibat perubahan iklim. Perubahan iklim berperanan serta memperluas landskap ketidaksamaan ekonomi, yang mana kerugian kira-kira AS$16 trilion (RM75.56 trilion) telah dikenal pasti susulan tempoh haba melampau antara 1992 hingga 2013. Kos daripada gelombang haba berpunca akibat beberapa faktor, iaitu kesan terhadap pertanian, tekanan kepada sistem kesihatan, produktiviti tenaga kerja dan kerosakan fizikal infrastruktur. Musim kemarau tahun depan mungkin sama seperti pada 2019, apabila lebih 1.65 juta hektar hutan terbakar. Menurut anggaran Bank Dunia, kebakaran itu menyebabkan negara menanggung kerosakan dan kerugian ekonomi sekurang-kurangnya AS$5.2 bilion (RM23 bilion).
Hidupan liar turut terkesan dengan jumlah spesies haiwan liar yang dipantau menjunam 69 peratus dalam tempoh 50 tahun yang lalu. Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) menunjukkan daripada data membabitkan 32,000 spesies hidupan liar, lebih 5,000 spesies mamalia, burung, amfibia, reptilia dan ikan, semakin pantas berkurangan di seluruh dunia. Di kawasan yang kaya dengan biodiversiti seperti Amerika Latin dan Caribbean, angka kehilangan spesies haiwan adalah setinggi 94 peratus. Di Afrika pula, di mana 70 peratus mata pencarian penduduknya bergantung kepada alam semula jadi, menunjukkan pengurangan dua pertiga dalam taburan spesies hidupan liar sejak 1970.
Punca utama kehilangan hidupan liar ini antara lain disebabkan oleh kemerosotan habitat dan pencemaran rentetan perubahan iklim. Dianggarkan pada masa ini terdapat kira-kira 150 hingga 200 bilion tan CO2 di hutan Amazon. Penemuan itu adalah bersamaan dengan 550 hingga 740 bilion tan CO2, atau 10 hingga 15 kali lebih banyak daripada pelepasan gas rumah hijau tahunan pada kadar semasa. Kepekatan CO2 yang terlalu tinggi dalam sesetengah tumbuhan turut menyebabkan fotosintesis menjadi perlahan dan malah melemahkan mekanisme pertahanan perosak seperti dalam soya. Terdapat juga bukti bahawa dari segi sejarah banyak spesies tumbuhan menderita akibat peningkatan mendadak dalam kepekatan CO2 di udara.
Maka, adalah sangat penting untuk mengawal selia iklim. Lantaran itu, usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau untuk mencapai keneutralan karbon tidak boleh dibiarkan terjejas. Seluruh dunia perlu kembali kepada landasan menuju pembangunan lestari rendah karbon, di samping mengimbangi mitigasi dan penyesuaian iklim.
Namun, usaha ini bukanlah mudah, menurut laporan disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Negara membangun dan sedang membangun tidak termasuk China memerlukan pelaburan lebih AS$2 trilion (RM9.48 trilion) setiap tahun menjelang 2030, jika dunia mahu menghentikan ancaman pemanasan global yang kian serius serta menangani kesannya. Objektifnya adalah bagi menghijaukan ekonomi global secara pantas ke arah memenuhi matlamat Perjanjian Iklim Paris yang mengehadkan kenaikan suhu global kepada bawah 2.0 darjah celcius dan sebolehnya pada 1.5 darjah celcius. Justeru, semua kerajaan dituntut berusaha untuk memperkenalkan dasar dan polisi yang berkesan bagi mengawal pengeluaran gas rumah hijau di peringkat industri dan dalam masa yang sama turut menggalakkan amalan gaya hidup lestari, khususnya dengan membudayakan amalan gaya hidup rendah karbon.
--BERNAMA
Prof. Madya Dr Haliza Abdul Rahman Institut Pengajian Sains Sosial/ Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia