Oleh: Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh
Bencana gempa bumi yang melanda Turkiye Februari lepas telah menggemparkan masyarakat dunia ekoran angka korban yang begitu tinggi. Kewujudan media sosial telah memacu penyebaran berita dan informasi berkenaan tragedi itu dengan lebih pantas tanpa halangan batasan geografi. Dalam erti kata lain, pengguna media sosial di Malaysia boleh dengan mudah dan pantas mendapat maklumat terkini mengenai bencana gempa bumi di Turkiye melalui perkongsian dalam media sosial mereka.
Malah, berlaku lambakan perkongsian video dalam media sosial mengenai situasi semasa dan selepas kejadian yang boleh diakses oleh pengguna platform berkenaan. Keadaan ini jelas berbeza dengan keadaan bencana sebelum wujudnya media sosial yang mana pergantungan maklumat adalah lebih kepada media tradisional seperti televisyen, akhbar dan radio.
Justeru tidak hairanlah, media tradisional masa kini juga sudah mula beralih ke platform dalam talian bagi memastikan akses penerima mesej lebih pantas dan di hujung jari sahaja.
Fenomena tular
Jelas sekali bahawa fenomena “tular” setidak-tidaknya membantu masyarakat untuk mendapatkan maklumat tentang bencana di sesuatu tempat dengan cepat dengan syarat mereka mempunyai akses kepada internet dan media sosial tanpa sebarang sekatan.
Perkara ini sebenarnya adalah baik bagi kelancaran komunikasi bencana yang bukan sahaja memfokuskan kepada perkongsian maklumat sebelum, semasa dan selepas bencana tetapi juga aspek pendidikan berkenaan bencana kepada masyarakat khususnya untuk lebih berwaspada dan bersedia pada masa akan datang.
Di sinilah sebenarnya ramai yang tersalah anggap akan peranan penting komunikasi yang lazimnya disempitkan kepada penyampaian maklumat semata sebaliknya komunikasi dengan skop yang lebih meluas sewajarnya menjadi alat yang penting khususnya sebagai alat pendidikan tidak formal mengenai bencana seperti gempa bumi.
Melalui komunikasi mengenai bencana seperti gempa bumi dalam media sosial, masyarakat boleh mendapat banyak maklumat dan pengetahuan khususnya perkara yang tidak pernah diketahui oleh mereka seperti bagaimana bencana gempa bumi tersebut boleh berlaku dan apa tindakan semasa dan selepas bencana yang boleh diambil.
Peranan pakar kongsi informasi tepat
Justeru, peranan penting golongan pakar berkaitan bencana untuk aktif berkongsi maklumat dalam media sosial yang menjadi platform pilihan golongan muda adalah amat penting bagi memastikan maklumat yang diterima adalah sahih dan jelas kerana kesahihan maklumat adalah teras utama kepada keberkesanan dalam komunikasi bencana.
Malah, golongan pakar seperti penyelidik dan ahli akademik yang berpengaruh dalam media sosial sewajarnya memainkan peranan sebagai “pemimpin pendapat” yang dapat memanfaatkan kelebihan yang ada untuk menyampaikan maklumat kesedaran dan pendidikan mengenai bencana seperti gempa bumi ini kepada pengikut-pengikut mereka.
Hal ini kerana ketiadaan pengampang yang menapis maklumat berkaitan bencana seperti gempa bumi sebegini dalam media sosial boleh menyuburkan penularan berita palsu mengenainya seperti pemalsuan imej mangsa dan jumlahnya bagi mewujudkan panik dan mendapatkan perhatian orang lain dalam media sosial.
Penyebaran berita palsu dan literasi digital
Sikap tergopoh-gapah berkongsikan maklumat tanpa membuat semakan tentang kesahihannya ekoran ingin menjadi individu terawal berkongsikannya di media sosial juga menjadikan berita palsu tular dengan lebih pantas dalam masyarakat.
Sebagai contoh, bencana seperti gempa bumi di Turkiye juga tidak terlepas dari teori konspirasi yang cuba menyalahkan pihak tertentu dan mengelirukan masyarakat dunia.
Malangnya, ramai pengguna dalam media sosial pula secara tidak sengaja terjebak dengan penyebaran berita palsu kerana menggunakan kemudahan butang kongsi yang tersedia sehingga kadang-kala menyebabkan penularan berita palsu sebegini sukar dibendung.
Justeru, dalam era media sosial kini, komunikasi bencana seperti mengenai gempa bumi perlu dikaitkan dengan jelas mengenai aspek literasi digital iaitu keupayaan pengguna media sosial dalam mencari, menggunakan, menganalisis dan menapis maklumat mengenai bencana dalam media sosial.
Tahap literasi digital yang rendah dalam kalangan pengguna media sosial boleh mendedahkan mereka kepada masalah berita palsu yang membawa keburukan kepada masyarakat.
Peranan media arus perdana
Selain itu, sungguhpun kewujudan media sosial memberikan manfaat kepada komunikasi bencana, namun peranan penting media tradisional seperti akhbar, televisyen, dan radio masih signifikan kerana ianya masih menjadi sumber maklumat yang menjadi pilihan sesetengah masyarakat khususnya mereka yang meragui kesahihan lambakan dan kebanjiran maklumat berkenaan bencana dalam media sosial.
Kewujudan radio komuniti dalam sesetengah masyarakat khususnya mereka yang tinggal di luar bandar misalnya masih lagi penting dalam menjadi medium penyampaian informasi bencana kepada masyarakat setempat untuk lebih bersedia.
Malah, komunikasi bencana secara antara personal atau berkumpulan secara bersemuka juga masih penting dan relevan terutamanya bagi komuniti yang terkesan dengan bencana.
Harus diingat, tidak semua informasi berkaitan bencana khususnya yang melibatkan keselamatan dan sensitiviti mangsa bencana sesuai dikongsikan dalam media sosial sebaliknya memerlukan komunikasi bencana antara personal bagi membincangkannya.
Malah, dalam situasi getir yang berdepan dengan bencana, adalah sukar untuk mereka yang terlibat menggunakan media sosial ekoran kemungkinan berdepan dengan masalah terputus internet dan bekalan elektrik.
-- BERNAMA
Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh ialah Pensyarah Kanan (Komunikasi Kelestarian & Komunikasi Alam Sekitar) Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia