TINTA MINDA

WASPADA  JEREBU, STROKE HABA  DAN IMPLIKASI KESIHATAN

27/04/2023 08:56 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Profesor Dr Juliana Jalaludin

Pembakaran terbuka merupakan antara penyumbang utama terhadap kemerosotan kualiti udara yang boleh memudaratkan kesihatan awam dan menjejaskan ekonomi. Cuaca panas dan kering ketika ini menyebabkan risiko tinggi berlakunya kebakaran di kawasan-kawasan yang mudah terbakar seperti kawasan pertanian tanah gambut dan tapak pelupusan sampah. Pembakaran hasil sisa perladangan dan juga sampah secara terbuka dapat melepaskan pelbagai pencemar ke udara dan menyumbang kepada masalah Jerebu.

Jerebu merupakan satu fenomena pengurangan jarak penglihatan di udara yang disebabkan oleh serakan cahaya boleh nampak oleh zarahan terampai, molekul gas atau wap air di atmosfera. Pengurangan cahaya boleh nampak ini menyebabkan keadaan kabur yang menyukarkan pandangan penglihatan daripada jarak tertentu. Fenomena jerebu di rantau Asia Tenggara termasuk di Malaysia sering dikaitkan dengan pengurangan jarak penglihatan disebabkan kepekatan zarahan terampai yang amat tinggi di atmosfera yang terhasil daripada pembakaran biojisim. Fenomena ini sering berlaku pada waktu panas dan kering di mana pembakaran biojisim oleh faktor semulajadi dan antropogenik sukar dikawal seterusnya menyebabkan kehadiran zarahan terampai halus yang tinggi di udara. Pada musim panas dan arah angin bergerak daripada barat daya, zarahan terampai hasil daripada pembakaran biojisim telah menyebabkan suasana berjerebu yang teruk di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia serta beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak. Hal ini adalah disebabkan oleh pergerakan angin rentas sempadan yang membawa zarahan daripada kawasan pembakaran di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.

Cuaca yang panas ini juga menyebabkan proses pembakaran lebih mudah berlaku khususnya di beberapa Kawasan kering di Malaysia yang meningkatkan lagi jumlah zarahan terampai di udara. Fenomena jerebu telah menyebabkan penghasilan bahan zarahan terampai halus yang tinggi. di atmosfera dan udara persekitaran di Malaysia. Hasil rekod pemonitoran PM2.5 menunjukkan kepekatan zarahan halus semasa monsun barat daya dan episod jerebu berlaku berada pada kepekatan yang tinggi berbanding pada musim-musim lain. Secara keseluruhannya, zarahan yang tinggi ini telah menyebabkan bacaan IPU yang tidak sihat dicatatkan di kawasan-kawasan tertentu di Malaysia.

Kesan jerebu ini telah menyebabkan masalah kesihatan yang serius terutamanya kepada kanak-kanak dan orang tua dewasa yang mempunyai masalah pernafasan dan co-morbiditi. Kajian Epidemiologi mendapati pendedahan dalam jangka masa pendek, boleh menyebabkan irritasi kepada mata, hidung dan tekak Risiko penyakit jantung dan paru-paru juga akan meningkat apabila terdedah kepada jerebu. Pendedahan dalam jangka masa panjang, boleh menjejaskan saluran darah yang boleh menjurus kepada penyakit vaskular. Jerebu juga menyebabkan peningkatan risiko kematian kerana penyakit kardiovaskular dan mampu mengurangkan jangka hayat seseorang.

Golongan sensitif seperti bayi dan warga emas berisiko tinggi, Contohnya, sistem pernafasan bayi, terutamanya yang baru lahir, sensitif terhadap pencemar udara Bayi boleh menghidap penyakit asma atau bronkitis jika saluran pernafasan mereka terganggu. Jerebu juga boleh merengsakan hidung, tekak, kulit dan mata bayi yang boleh mengakibatkan ruam kulit.

Golongan warga emas pula mempunyai jantung yang lebih lemah. Oleh sebab itu, mereka lebih senang untuk terjejas apabila berhadapan dengan jerebu. Lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai penyakit kronik dan masalah jantung akan lebih sensitif dan mudah terjejas daripada fenomena ini, terutamanya bila ia mencapai tahap kritikal.

Indeks Pencemaran Udara (IPU)

Indeks Pencemaran Udara (IPU) digunakan untuk menyampai maklumat yang jitu, tepat pada masanya serta senang di fahami oleh masyarakat umum tentang keadaan pencemaran udara harian. Nilai-nilai indeks tersebut membolehkan kita untuk menentukan sama ada paras pencemaran udara di sesuatu tempat itu berada dalam keadaan baik, sederhana, tidak sihat atau lebih buruk lagi. IPU menukarkan kepekatan bahan pencemar udara yang telah diukur kepada satu nombor bulat pada skala 0 hingga 500 (atau lebih). Nombor yang penting sekali pada skala ini adalah 100, kerana nombor tersebut adalah bersamaan dengan garispanduan atau standard kualiti udara yang telah ditetapkan. Nilai IPU yang melebihi 100 adalah dalam kategori yang tidak sihat. IPU mengukur enam (6) bahan pencemar udara kriteria atau utama dimanagarispanduan atau standard kualiti udara mereka telah ditetapkan. Bahan pencemar udara tersebut adalah:

a) Partikel terampai berukuran 2.5 mikron ke bawah (PM­2.5 )

b) Partikel terampai berukuran 10 mikron ke bawah (PM10 )

c) Sulfur dioksida (SO2)

d) Karbon monoksida (CO)

e) Nitrogen dioksida (NO2)

f) Ozon (O3)

IPU diukur berdasarkan konsentrasi tertinggi pencemar udara PM10 PM2.5 sulfur dioksida, nitrogen dioksida, karbon monoksida dan ozon IPU 100 bersamaan dengan Garispanduan Kualiti Udara Ambien Malaysia oleh JAS

Cuaca panas kering dan jangkaan jerebu berlaku lagi

Negara harus bersiap sedia untuk menghadapi hari yang lebih berjerebu di hadapan kerana cuaca akan menjadi lebih panas dan kering dalam beberapa bulan akan datang, Kita akan melihat lebih banyak episod jerebu terutamanya semasa tempoh peralihan monsun semasa yang akan berlarutan sehingga Ogos. Keadaan dalam tempoh peralihan ini biasanya panas dan lebih kering, yang boleh mengakibatkan lebih banyak titik panas Terdapat beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia pada masa ini mengalami kualiti udara yang tidak baik Ini tidak termasuk bebarapa kawasan lain di mana kualiti udara mereka semakin tidak sihat.

Selain cuaca panas dan kering semasa tempoh peralihan monsun, aktiviti ekonomi yang semakin aktif semula selepas pandemik COVID-19 turut menyumbang kepada jerebu. Kita terhindar daripada jerebu sejak dua atau tiga tahun lepas kerana terdapat kelembapan dalam aktiviti ekonomi akibat wabak itu. Lanjutan dari aktiviti ekonomi kini dibuka semula sepenuhnya jangkaan kemungkinan jerebu kembali Malaysia di tambah dengan Fenomena El Nino yang melanda negara. Negara kita bukan satu-satunya negara yang mengalami cuaca panas dan kering kerana negara di bahagian utara seperti jiran Thailand menghadapi suhu tinggi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Beberapa negara lain di rantau ini turut mengalaminya. Negara seperti Laos, Vietnam dan Cambodia juga telah mengalami cuaca panas kering hingga mengakibatkan kebakaran.

Kerajaan Malaysia juga telah menjangkakan keadaan ini dan beberapa kementerian yang diketuai oleh pasukan petugas khas akan bekerjasama untuk menangani isu itu bagi menilai kesannya terhadap Malaysia pada bulan-bulan akan datang. Amaran perlu di berikan kepada kepada orang ramai, terutamanya mereka yang sering bekerja di luar rumah, supaya berhati-hati dan mengamalkan langkah kawalan kesihatan. Risiko akibat suhu atau gelombang haba yang terlalu tinggi termasuk dehidrasi, kekejangan haba, keletihan haba dan strok haba, yang boleh membahayakan kesihatan seseorang

Panduan mencegah penyakit pada musim panas, kering dan berjerebu

1. Sentiasa pantau status kualiti udara di kawasan anda berada

2. Mereka yang mengalami penyakit seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, sakit jantung atau berkaitan paru-paru kronik hendaklah mendapatkan rawatan segera jika penyakit bertambah buruk

3. Mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi hendaklah sentiasa meningkatkan langkah penjagaan kesihatan dan elakkan berada dari kawasan yang tinggi paras API dan pendedahan pencemar udara

4. Penutup hidung hendaklah digunakan oleh semua ketika berada di luar atau di tempat tercemar terutamanya jenis N95 jika API melebihi 200

5. Perokok yang mempunyai anak kecil, ibu bapa tua dan saudara yang berpenyakit, jangan merokok dalam rumah

6. Dinasihatkan supaya tinggal di dalam bangunan atau kediaman yang selamat, Kurangkan aktiviti rekreasi di luar rumah.

7. Sentiasa basuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada pencemaran dengan air bersih atau mandi dengan kerap

8. Gunakan pendingin hawa dingin atau kipas ketika berada dalam rumah, kereta dan tukar penapis udara yang kotor dan tercemar.

9. Gunakan topi atau payung untuk melindungi pancaran haba sampai terus ke badan

10. Minum air dengan banyak amalkan diet yang sihat dengan sayuran dan buah- buahan kurangkan minuman berkafein beralkohol dan bergula.

11. Amalkan pemakaian yang ringan, berwarna terang dan longgar.

Amalan mengurangkan pendedahan kepada pencemar udara

1. Kurangkan aktiviti fizikal di luar rumah atau bangunan

2. Guna ventilasi ekzos bila memasak.

3. Jangan guna lingkaran ubat nyamuk dalam rumah dan jangan merokok dalam rumah

4. Bagi yang berpenyakit seperti asma, rhinitis, respiratori kronik, lemah jantung, dll, pastikan bekalan ubat anda mencukupi.

5. Ketika dalam kereta, guna pendingin hawa dalam mode “recirculating.”

6. Jika perlu, boleh guna “air purifier “ dengan penapis HEPA filter (bukan jenis ionizer).

--BERNAMA

Profesor Dr Juliana Jalaludin ialah Pakar Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Universiti Putra Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)