Mendapat pengiktirafan biarpun bukan dalam bentuk material pastinya dilihat sebagai satu pencapaian yang membanggakan. Pengiktirafan boleh jadi kepada individu atau sesuatu bidang yang diceburi. Ia pastinya memberi satu anjakan baharu dalam mendefinisikan dan memperhalusi hala tuju sesuatu yang diusahakan sama ada dalam bentuk motivasi, visi atau misi.
Besar harapan agar sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 pada 27 hingga 29 Mei ini menjadi satu anjakan kepada kerjaya kewartawanan dan tidak semata-mata menjadi satu titik tolak atas kertas sahaja. Maksudnya, apabila bidang kewartawanan diiktiraf sebegini rupa di peringkat nasional, seharusnya ia membawa erti yang mendalam kepada semua pihak yang terlibat dalam bidang ini terutama para journalist iaitu wartawan (penyedia maklumat) dan masyarakat (penerima maklumat).
Hasrat besar Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil untuk mengeratkan silaturrahim dan semangat muhibah sesama negara di rantau ASEAN dalam konteks kerjasama antara wartawan memang wajar disokong. Namun, kita juga harus memperhalusi isu-isu berkaitan kewartawanan Malaysia dan memperkukuh amalan serta etika kewartawanan negara sebelum melangkah lebih yakin dalam arena kewartawanan di peringkat ASEAN.
Bidang kewartawanan dan dunia tanpa sempadan
Selain itu, keberdayaan kita dalam konteks teknologi kewartawanan serta kemahiran berkaitannya juga harus ditingkatkan. Kita mempunyai ramai journalist yang berpengalaman dan gembelingan tenaga antara generasi senior (lama) dan junior (baharu) dalam bidang ini akan menjadi sinergi luar biasa yang mampu bertindak balas serta menampung perubahan-perubahan yang berlaku.
Kerjasama erat antara universiti awam dan swasta dalam memperhalusi silibus pengajian kewartawanan, meminta kita semua bersatu dan mengambil kekuatan setiap sektor yang ada dapat melahirkan wartawan muda yang berkemahiran dan memahami fungsi, etika dalam dunia demokrasi serta peranannya dalam era teknologi tanpa sempadan hari ini.
Maka Rang Undang-Undang Majlis Media yang telah lama dicadangkan seharusnya menjadi satu batu loncatan awal untuk mendepani cabaran dalam bidang kewartawanan tempatan. Rang undang-undang itu sedang diteliti sebelum ia dapat dibawa dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri. Kekuatan Majlis Media pastinya adalah daripada aspek kawalan kendiri pengamal media yang akan meningkatkan integriti dan kredibiliti mereka dilapangan. Selain itu, meningkatkan kuasa kendiri terhadap bidang yang diceburi. Ini sekaligus mengurangkan impak kuasa-kuasa luar yang sebelum ini banyak mempengaruhi amalan media tempatan.
Pengalaman di negara jiran iaitu Indonesia memperlihatkan kekuatan Majlis Media mereka (dikenali sebagai Dewan Pers) sehingga mempunyai kuasa memberhentikan siaran iklan yang membawa kekeliruan kepada penonton hasil perbincangan dan desakan. Sekiranya ini dapat diteladani, pastinya akan membawa satu ruang baharu untuk media tempatan berkembang dengan kelajuan dan integritinya sendiri, tanpa ada maruah yang dipertaruhkan.
Penarafan
Maka apabila Malaysia naik enam anak tangga kepada kedudukan 113 dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2022 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RWB) dan rekod terbaik Malaysia setakat ini, kita harus meraikannya. Konteks meraikan ini juga sebenarnya menarik untuk dibincangkan kerana ada yang melihat penarafan ini hanya semata-mata penarafan tanpa makna yang signifikan.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ramai yang tidak peduli sekiranya Malaysia di tempat pertama atau di tangga 180 dalam penarafan. Ini kerana yang lebih penting adalah kelangsungan hidup mereka sendiri dalam dunia hari ini yang semakin mencabar dan kompleks. Lalu, konsep meraikan kejayaan kita dalam penarafan kebebasan media ini mungkin hanya relevan kepada golongan wartawan yang cakna dengan perkembangan dan kelestarian bidangnya.
Oleh yang demikian, sekiranya peranan kewartawanan benar-benar memberi kesan di hati masyarakat, tidak hairan sekiranya suatu hari nanti sambutan hari wartawan atau kedudukan Malaysia dalam penarafan yang berkaitan akan menjadi kebanggaan semua pihak tanpa mengira pangkat dan usia. Kepercayaan rakyat terhadap media perlu ditingkatkan dan kita sedar kita masih lesu dalam hal ini. Andai dapat kita tingkatkan ia akan membawa kepada satu tingkat kredibiliti media yang benar-benar diharapkan oleh semua.
Dengan perkembangan terkini, tidak dinafikan kita dapat melihat kemajuan dalam bidang kewartawanan negara. Namun, pastinya ruang tambah baik masih luas, ini memerlukan sinergi semua pihak untuk memastikan media dapat berfungsi sebagai satu daripada alat yang mendukung demokrasi, dalam masa sama kebajikan wartawan terbela, serta rakyat jelata mendapat hak mereka sewajarnya.
--BERNAMA
Dr Siti Suriani Othman ialah Pensyarah Kanan di Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)