Tarikh 5 Jun merupakan Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut dan diraikan setiap tahun sejak 1972. Berdasar kepada kajian UNICEF Malaysia pada 2020, peratusan golongan muda yang cakna tentang isu alam sekitar adalah tinggi, mereka sedar bahawa perubahan iklim adalah sebuah krisis.
Namun, usaha melindungi bumi dilihat seperti tidak setanding dengan kecemasan isu alam sekitar yang kian meruncing. Ia umpama peribahasa ‘lain yang bengkak, maka yang bernanah lain, yang untut lain, yang mengisut lain’, bermaksud lain yang bersalah, lain yang kena hukum.
Gelombang haba, kesan terhadap kesihatan
Insiden tular di Beaufort, Sabah baru-baru ini membawa perhatian kepada gelombang haba yang sedang melanda negara. Dalam video itu, seorang wanita dilaporkan cuba memasak telur di bawah terik matahari tanpa dapur dalam tempoh dua jam. Keadaan cuaca panas terik sehingga suhu harian direkodkan antara 36 hingga 38 darjah celsius, menjadi peringatan jelas bahawa Malaysia tidak terlepas daripada kesan perubahan iklim.
Gelombang haba boleh memberi kesan yang serius terhadap kesihatan manusia misalnya masalah dehidrasi, masalah kulit, gangguan pernafasan malah strok haba yang boleh menyebabkan kematian.
Menurut UNICEF, menjelang 2050, hampir 2.2 bilion kanak-kanak akan mengalami kesan teruk akibat frekuensi gelombang haba yang tinggi. Sudah terang lagi bersuluh, keadaan cuaca ekstrem seperti tiada kesudahan ini adalah peringatan bahawa perubahan iklim bukan isu yang boleh dipandang enteng.
Perjanjian Paris 2015, dipersetujui oleh negara-negara ahli termasuk Malaysia, bertujuan memastikan suhu bumi berada di bawah 1.5 darjah celsius. Kenaikan suhu melebihi tahap ini berisiko mencetuskan kesan perubahan iklim yang lebih teruk terhadap manusia, hidupan liar dan ekosistem.
Langkah perangi perubahan iklim
Terdapat banyak cara praktikal yang boleh disumbangkan untuk memerangi isu perubahan iklim. Pertama, setiap individu perlu menjadi lebih peka terhadap amalan gaya hidup seperti tabiat penggunaan harian. Menurut beberapa laporan media, Malaysia didapati membuang lebih 30,000 tan sisa plastik ke laut setiap tahun dan berada di tangga ketiga sebagai penyumbang kepada pencemaran plastik di lautan, selepas Filipina dan India.
Sisa plastik memberi pelbagai kesan negatif terhadap alam sekitar, termasuk menyumbang kepada pelepasan gas hijau dan pemanasan global khususnya semasa penghasilan, pengangkutan dan pelupusan produk plastik. Selain itu, sisa plastik yang berakhir di tapak pelupusan mengambil masa ratusan tahun untuk terurai akan membebaskan gas metana iaitu sejenis gas rumah hijau. Ia mampu menyerap haba radiasi inframerah daripada matahari dan mengekalkan haba dalam atmosfera bumi, menyebabkan peningkatan suhu global, peningkatan paras laut, kejadian cuaca ekstrem, dan pengurangan ketersediaan bekalan air.
Pencemaran laut akibat sisa plastik juga bahaya kepada hidupan marin dan menyumbang kepada pemanasan global dengan membebaskan gas rumah hijau dan bahan kimia toksik ke dalam air. Selain itu, pengeluaran plastik juga memerlukan jumlah tenaga yang tinggi, kebanyakannya datang daripada bahan api fosil, yang juga menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau dan pemanasan global. Antara usaha yang boleh diambil adalah dengan mengurangkan pengeluaran dan penggunaan produk plastik, meningkatkan usaha pengurusan sisa, dan mempromosikan bahan alternatif.
Mulakan dengan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna. Caranya adalah dengan membawa beg guna semula, botol air dan penyedut minuman bersama ke mana sahaja kita pergi. Selain itu, plastik bungkusan juga adalah antara penyumbang kepada sisa plastik. Sesuatu yang menyedihkan apabila kecenderungan pembungkusan sayuran dan buah-buahan di kebanyakan pasar raya dijual secara individu dan dibungkus menggunakan plastik berasingan dengan alasan memudahkan pengguna. Perubahan mudah yang kita boleh lakukan adalah memilih produk dengan pembungkusan yang minimum. Mengurangkan sisa plastik, bukan sahaja dapat membantu melindungi alam sekitar, tetapi secara tidak langsung memberi mesej kepada industri pembuatan plastik bahawa pilihan dan permintaan masyarakat sedang berubah ke arah yang lebih mampan.
Langkah lain yang boleh diambil oleh rakyat Malaysia adalah dengan mengamalkan penggunaan pengangkutan awam, berkongsi kereta, berbasikal dan berjalan kaki. Selain membantu mengurangkan pelepasan karbon, ia boleh menjimatkan wang untuk bahan api dan bayaran tempat letak kereta. Perkara ini berkait rapat dengan penggunaan tenaga harian.
Kenanga Research mengunjurkan permintaan penggunaan elektrik meningkat bagi 2023, berbanding jangkaan pertumbuhan di bawah Tempoh Kawal Selia (RP3) dalam rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR). Oleh itu, biasakan tabiat mematikan lampu dan peralatan apabila tidak menggunakannya dan gunakan peralatan elektrik yang cekap tenaga untuk membantu mengurangkan penggunaan tenaga. Cara ini boleh membantu dalam mengurangkan jejak karbon.
Jejak karbon merujuk kepada jumlah gas rumah hijau yang dikeluarkan semasa proses pembuatan, pengangkutan, penggunaan produk dan perkhidmatan. Tabiat pemakanan seseorang juga dapat mempengaruhi jejak karbon mereka melalui pilihan makanan dan cara penyediaannya. Makanan yang dihasilkan melalui industri haiwan biasanya mempunyai jejak karbon lebih tinggi berbanding dengan sumber protein tumbuhan. Penggunaan bahan mentah yang berlebihan, pembungkusan makanan plastik, dan pembaziran makanan juga berpotensi meningkatkan jejak karbon manusia. Oleh itu, amalkan pemakanan makanan berasaskan tumbuhan dan kurangkan penggunaan daging selain memilih makanan daripada sumber tempatan dan dihasilkan secara organik.
Berganding bahu lakukan perubahan
Tidak cukup jika hanya individu sahaja yang melakukan perubahan. Tindakan pihak kerajaan dan sektor swasta juga perlu untuk mencapai kemajuan lebih berkesan dalam usaha mengatasi isu perubahan iklim. Usaha kerajaan menyasarkan untuk mengharamkan penggunaan beg plastik bagi tujuan runcit menjelang 2025 adalah langkah terpuji. Namun, jika hanya tekanan untuk mengurangkan sisa plastik datang daripada kerajaan, ia mungkin tidak mencukupi untuk menghasilkan perubahan yang berkekalan.
Perlu disedari bahawa kesedaran dan pendidikan awam sangat penting dalam menjayakan dasar ini. Pihak kerajaan khususnya Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim wajar bekerjasama dengan pelbagai pihak terutama sektor swasta dalam menyediakan alternatif bagi penggunaan beg plastik misalnya dengan mempromosikan penggunaan beg biodegradasi.
Penekanan juga diberikan kepada punca lain yang menyumbang kepada krisis iklim seperti pembakaran bahan bakar fosil dan penebangan hutan. Kerajaan harus mengambil tindakan lebih agresif dan efisien dengan menggiatkan usaha meningkatkan kesedaran awam tentang aktiviti pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar. Diharap kerajaan dapat meluluskan Akta Perubahan Iklim, khusus untuk menghalang pihak tidak bertanggungjawab membinasakan khazanah alam yang dikurniakan demi kebaikan semua.
Kita juga perlu menilai dengan kritis amalan kitar semula yang diajar sejak zaman persekolahan. Walaupun ia amalan yang lebih baik daripada membuang, harus dipertimbangkan sekiranya ia masih pilihan terbaik. Tidak semua barang pelupusan boleh dikitar semula, khususnya jika barang itu tercemar dan menyukarkan proses kitar semula yang selalunya memerlukan jumlah tenaga yang banyak serta memberi kesan kepada alam sekitar. Paling penting adalah mengurangkan jumlah sisa yang dihasilkan sekaligus meminimumkan keperluan untuk kitar semula.
Sehubungan itu, ayuh jadikan Hari Alam Sekitar Sedunia sebagai seruan untuk bertindak, mengajak semua, terutamanya golongan muda, berganding bahu menyumbang kepada usaha perlindungan alam sekitar serta menyemai pendekatan kolaboratif ke arah membina masa depan yang lebih hijau demi kelangsungan hidup kita dan generasi akan datang.
Sebagai penduduk bumi, kita bertanggungjawab mengambil tindakan yang bermakna dengan menjadi pemangkin kepada perubahan dan menyokong transformasi yang sistemik serta mengutamakan kelestarian dan pembangunan mampan. Bersama kita perjuangkan perlindungan alam sekitar, memupuk hubungan yang harmonis antara manusia dengan alam semula jadi.
-- BERNAMA
Mogesh Sababathy ialah Aktivis Belia Alam Sekitar dan Pengasas Bersama Projek Ocean Hope Youth Climate Champions Consultant, UNICEF Malaysia.