Beberapa tahun yang dulu, buku peta digunakan untuk mencari arah destinasi. Kini, tanpa mengetahui tanda tempat arah tuju, seseorang sudah boleh sampai dengan mudah melalui bantuan Google Maps atau Waze.
Dahulu, surat menjadi penghubung khabar sesama sendiri. Salam perantauan dikirim melalui akhbar harian. Kini media sosial menjadi pengganti diri.
Bahkan Facebook, Instagram, Twitter dan seumpamanya memberi lebih daripada itu. Pelbagai variasi maklumat, kandungan video atau barang yang dalam kecenderungan semasa dengan mudahnya disampaikan kepada pengguna.
Kesan AI
ChatGPT kini telah menjadi aplikasi percuma terbaru yang popular dalam menyelesaikan tugasan penulisan dan pencarian maklumat melalui jalan pintas. Teknologi di sebalik semua kemudahan ini adalah aplikasi artificial intelligence (AI) atau kecerdasan buatan.
Tahukah anda, AI sudah lama wujud, namun mengalami lonjakan hasil pembangunan pesat teknologi cip, kemajuan teknik pengaturcaraan komputer, pengolahan data dan pemodelan statistik?
AI merupakan teknologi yang meniru kepintaran otak manusia dengan kemampuan untuk belajar memperbaiki mutu kerjanya dari semasa ke semasa hingga dapat berfungsi lebih cekap dan sempurna bagi melaksanakan suatu tugasan.
Kini AI sudah tidak asing lagi dalam kehidupan manusia, bahkan penggunaannya sudah tersebar luas ke pelbagai sektor industri seperti automotif, kesihatan dan kewangan.
Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang berasaskan sistem digital kini berjalan rancak di serata dunia didorong oleh kemampuan AI sebagai satu daripada kunci pemacu utama.
Ancaman pekerjaan
AI telah membuatkan manusia kagum dengan hasil kerjanya. Namun demikian, teknologi ini turut mengundang rasa gusar melibatkan ancaman pekerjaan yang sedia ada dan etika penggunaannya.
Menurut Laporan Masa Depan Pekerjaan Forum Dunia 2023, AI akan memberi impak besar terhadap hampir semua pekerjaan. Laporan ini melibatkan kajian yang dilakukan terhadap 803 syarikat dengan jumlah pekerja lebih 11.3 juta orang dalam 27 kluster industri dan 45 sektor ekonomi di serata pelosok dunia. Dapatan kajian menunjukkan lebih 75 peratus syarikat bersiap sedia untuk menggunakan teknologi AI dalam tempoh lima tahun akan datang.
Suka atau tidak, masyarakat dunia hari ini harus sesuaikan cara hidup dengan kehadiran AI, yang akan memansuhkan beberapa pekerjaan tetapi turut mencipta pekerjaan baharu. Sepertimana cara kerja kini yang telah banyak berubah dari manual kepada auto, AI akan perlahan-lahan mengukuhkan pasaknya dalam dunia yang sedang didominasi oleh era digitalisasi.
Sekiranya dahulu ramai yang gusar dengan ledakan teknologi Internet, namun lama-kelamaan masyarakat seluruh dunia sedikit demi sedikit beradaptasi dengan penggunaannya. Pandemik COVID-19 juga telah memaksa semua orang untuk memanfaatkan dunia digitalisasi hingga hampir meninggalkan orang-orang yang tidak dapat turut serta bersamanya.
Cabaran AI
Sekiranya manusia tidak mahu memanfaatkan perkembangan semasa, kelak mereka akan diubah oleh teknologi tersebut. Waima secanggih atau sebaik mana pun sesuatu teknologi, pengurusan dan penggunaanya harus dilakukan secara beretika dan berhati-hati.
Di sebalik tabir AI, ada manusia yang mengawal kemasukan data dan pengaturacaraannya. Maka penyalahgunaannya boleh menimbulkan masalah etika, kebocoran maklumat sulit, penggunaan data peribadi secara tidak sah atau pengambilan keputusan yang bersifat diskriminasi.
Kebergantungan kepada teknologi AI juga boleh membuatkan manusia mengabaikan kemampuan dan keterampilan manusia yang diperlukan dalam pelbagai bidang. Ia semudah kalkulator menggantikan kemampuan manusia untuk mengira formula matematik mudah.
Justeru itu, penting untuk memastikan AI digunakan dengan cara yang bertanggungjawab dan beretika di bawah kawalan manusia agar tidak menjadi ancaman.
AI adalah teknologi yang menjanjikan potensi besar untuk mengubah dunia, namun ia harus digunakan hanya untuk menyempurnakan kelangsungan kehidupan makhluk dan alam.
--BERNAMA
Basmin Maarof ialah Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media Pertubuhan IKRAM Malaysia