TINTA MINDA

PENDEKATAN MADANI SANTUNI MISKIN KOTA

14/06/2023 10:34 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Mohd Azmi Abdul Hamid

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menampilkan wawasan Madani sebagai agenda nasional untuk membawa anjakan menangani golongan miskin kota. Beliau tidak mahu bandar terutama dalam kawasan DBKL hanya megah dengan gedung pencakar langit, akan tetapi golongan ekonomi kecil tidak disantuni.

Dari ruang peniaga kecil yang tidak diatur dengan baik sehingga menampilkan kawasan setinggan dan mereka yang mencari rezeki dalam keadaan tidak tersusun dan serba daif terhimpit di tengah-tengah gedung mewah pencakar langit.

Fenomena miskin kota

Kemiskinan kota adalah realiti yang tidak dapat dinafikan. Mengikut model pembangunan berasaskan proses perbandaran yang pesat, ketempangan berlaku bila migrasi desa ke kota bergerak deras. Dalam memacu pembangunan yang biasanya berpusat di kota inilah penghuni kota yang berpendapatan rendah menjadi kelompok yang rentan berdepan dengan kesempitan hidup di bandar yang sangat materialistik dan individualistik. Persekitaran yang demikian telah merombak kehidupan pendatang dari desa ke kota kepada hidup bersaing dan saling merebut ruang. Ditambah lagi persaingan perniagaan, tempat tinggal, peluang pekerjaan, kemudahan asas di tengah-tengah pendatang luar yang memenuhi pasaran buruh, tertumpu di kota.

Mengikut statistik tahun 2022 populasi kota di Malaysia adalah 22 juta daripada 33 juta penduduk di seluruh negara. Dianggarkan pada 2021, 77.7 peratus populasi Malaysia berada di kota. Sebanyak 19 kawasan yang dikategorikan sebagai kotaraya (cities). Pertambahan populasi kota dianggar 1 ke 1.5 peratus setahun.

Migrasi ke kota adalah didorong oleh kemudahan yang dianggap lebih baik berbanding desa dan juga faktor tarikan ekonomi di kota. Akan tetapi, realitinya hakikat hidup di kota bagi penduduk berpendapatan rendah dan miskin amat perit. Hidup di kota kadang kala menepati kata-kata lebih khabar dari rupa. Kegemerlapan kota menjadi sirna bila hidup golongan B40 terhimpit antara gedung mewah.

Kerapuhan sistem ekonomi, sosial

Lantaran itu, hidup di kota telah mencetuskan fenomena miskin kota yang dapat dilihat dengan kawasan setinggan dan perumahan awam yang digelar Program Perumahan Rakyat (PPR). Ribuan penghuni PPR di kotaraya inilah yang hidup dalam keadaan sistem ekonomi dan sosial yang rapuh.

Semuanya terikat dengan kos yang lazimnya tidak termampu ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah. Apa yang berlaku ialah peneroka bandar yang dipindahkan ke flat PPR telah melalui proses degradasi kualiti persekitaran bukan sahaja dari aspek fizikal, ekonomi malah juga sosial.

Penurunan kualiti persekitaran telah menjejaskan kesejahteraan penghuni PPR sehingga memerangkap komuniti yang berkenaan dalam putaran kemiskinan yang kronik. Walaupun kemudahan di kota dikatakan lebih baik akan tetapi kualiti hidup tidak menunjukkan keadaan yang selesa.

Pelbagai isu yang melingkari kehidupan masyarakat PPR yang meresahkan di perumahan mereka menjadi realiti seharian golongan B40 di kotaraya.

Sementara banyak isu kemudahan perumahan di flat PPR mencetuskan kehidupan yang sangat menekan dan keakraban sosial terlerai. Dari kerosakan lif, bekalan air dan elektrik yang terputus, ruang parkir yang sesak, pengurusan sampah yang sangat parah, ruang rekreasi kanak-kanak tidak terurus sehingga kebersihan tidak terjaga. Mereka terpaksa hidup dalam keadaan amat merimaskan. Ini adalah sejumlah masalah yang berlarutan sehingga masyarakat tersebut menghadapi persekitaran yang beransur memburuk dan kacau-bilau.

Belum lagi tekanan kos sara hidup yang menjadi keresahan yang amat membebankan menyebabkan berlaku keruntuhan kemampanan ekonomi dan sosial. Penghuni PPR bagaikan hidup kais pagi makan pagi.

Jika didengari sungutan masalah mereka, kehidupan PPR di kota Kuala Lumpur dan kawasan persekitaran tidak menunjukkan kehidupan golongan B40 kondusif untuk kualiti hidup yang bermaruah dan munasabah. Kualiti persekitaran dan ekosistem lingkungan sosial jelas menurun dan semakin malap. Lantaran itu sebarang usha mencari jalan keluar kepada kemelut dan isu kualiti hidup penghuni PPR sangat perlu.

Inisiatif Think City, mengupaya komuniti

Inisiatif Think City yang mencetuskan ide “Kita untuk Kita” (K2K) yang dilancar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini amat menyegarkan. Fokus kepada aspek pengupayaan komuniti, pengurusan bersama, peningkatan taraf ekonomi serta cadangan dasar amat sesuai dengan rangka agenda Madani. Penekanan kepada keterangkuman dan pengupayaan komuniti yang mengguna pendekatan saling yakin dan saling hormat mengangkat martabat penghuni PPR bukan sekadar sebagai penerima bantuan tetapi penentu nasib sendiri. Sememangnya pendekatan inilah yang seharusnya diguna jika kerajaan mahu melihat bagaimana komuniti bawahan berdikari dan berupaya mengatur hidup secara kolektif dan partisipatori.

Model Madani adalah berteraskan kepada kapasiti manusia untuk hidup bersama berteraskan nilai kemampanan, inovatif dan berihsan. Martabat dan maruah manusia menjadi teras kepada budaya hidup luhur. Bahawa setiap manusia punya maruah diri yang mendorongnya untuk memperbaiki hidup. Akan tetapi persekitaran hidup harus kondusif untuk membina diri, membangun potensi diri dan masa depan secara mampan demi mencapai saadah (kesejahteraan) yang sebenar.

Maknanya ekosistem perlu cukup membina manakala setiap diri sedia merubah kelemahan diri untuk hidup bersama dan saling bertasamuh (bertolak ansur) dan saling bertaawun (saling membantu dan melengkapi) antara satu sama lain.

Sudah sampai waktunya golongan yang sebelum ini dilupakan kini diberi perhatian. Itulah pentingnya inisiatif K2K yang dilancar oleh Perdana Menteri baru-baru ini. Untuk mengelak komuniti ini lebih terjerumus ke dalam kancah kemiskinan, inisiatif yang lebih merakyat harus dimulakan, yang mengangkat komuniti ini setara dengan seluruh rakyat Malaysia, selaras dengan konsep Malaysia Madani.

Pendekatan Madani boleh dirakyatkan dalam mengoperasikan idea K2K. Untuk mengupaya komuniti nilai kemampanan dan inovasi boleh diterapkan. Manakala untuk mengurus bersama, nilai saling hormat dan saling yakin boleh dipupuk. Untuk meningkatkan tahap ekonomi nilai kesejahteraan yang seimbang harus menjadi matlamat.

Manakala untuk merangka dasar yang lebih tepat bagi merancang persekitaran dan tahap sosio-ekonomi yang lebih baik, konsep pembangunan manusiawi perlu dilakar.

Pokoknya model kota berciri Madani iaitu menempatkan manusia pada kedudukannya yang betul dan tepat dalam persekitaraan bandar hendaklah diusaha.

-- BERNAMA

Mohd Azmi Abdul Hamid merupakan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)