Oleh: Dr Mohd Khairul Naim Che Nordin
Dalam Islam, setiap ibadah memiliki kedudukan yang penting dan istimewa. Kerana itu setiap ibadah wajib contohnya memiliki nama dan maksudnya yang tersendiri. Solat dimaknakan sebagai ‘doa’ yang menunjukkan hakikat ibadah tersebut yang sarat dengan permohonan dan doa kita kepada Allah SWT. Puasa dimaksudkan sebagai al-imsak iaitu ‘menahan’ di mana Muslim yang melaksanakannya perlu menahan diri daripada melakukan hal yang membatalkan puasa juga mengekang hawa nafsu daripada keinginan noda dan dosa. Haji pula bermaksud ‘menuju’ atau ‘mengunjungi ke sesuatu tempat’.
Dalam konteks ibadah haji ia bermaksud kunjungan kita ke Baitullah pada masa yang ditentukan serta melaksanakan kewajipan seperti yang ditetapkan agama. ‘Menuju’ boleh difahami secara maknawi iaitu perjalanan secara fizikalnya menuju ke Baitullah selaku hamba Allah yang melaksanakan kewajipan kepada-Nya. ‘Mendekati-Nya’ melalui keimanan yang tulus kepada Allah. Asasnya boleh diteliti secara jelas melalui firman Allah yang dinyatakan oleh para ulama sebagai antara nas kewajipan haji iaitu: "Dan tunai atau sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah." (Al-Baqarah: 196).
Keistimewaan ibadah haji
Ibadah haji memiliki keistimewaan yang tersendiri kerana ia merupakan ibadah bersifat multi-dimensi membabitkan pelaksanaan ibadah secara fizikal, rohani dan harta. Aspek ‘fizikal’ suatu yang diutamakan dalam ibadah haji sehingga maksud ‘mampu’ yang menjadi syarat kewajipan haji turut bermaksud kesihatan tubuh badan, kemampuan bergerak dan lain-lain. Ini menuntut setiap Muslim untuk menjaga kesihatan tubuh badan anugerah Allah yang menjadi tanggungjawab untuk dipelihara demi melaksanakan ibadah kepada-Nya.
Selain itu, syarat pemilikan harta yang mencukupi yang turut menjadi maksud ‘mampu’ tersebut telah membina komitmen dan tanggungjawab setiap Muslim untuk sedaya upaya mengumpul kewangan semata-mata demi Allah dan bukan demi keperluan peribadi. Selain itu, maksud ibadah secara rohaniah dalam konteks haji lebih istimewa kerana pelaksanaan ibadah ini dilakukan secara beramai-ramai dan bukan berseorangan.
Ibadah haji bukan suatu bentuk ibadah yang menyeru setiap individu mengasingkan diri di tempat terpencil, jauh dari hiruk pikuk manusia dan aman daripada pelbagai remeh temeh kehidupan bersosial. Ia bukan ibadah berbentuk pertapaan yang secara umumnya mungkin boleh dilihat berkesan bagi memandu ketenangan hati perseorangan. Sebaliknya ibadah haji dilakukan secara berjemaah, di mana jutaan Muslim berhimpun di tempat yang sama, tetapi terdiri daripada latar yang berbeza sama ada pada aspek geografi, bahasa, budaya, kedudukan, keturunan, pendidikan, harta dan lain-lain.
Ia ibadah yang menuntut pelaksananya melakukan pelbagai amalan seperti berhimpun, bergerak, melontar, tawaf, berlari anak dan lain-lain secara bersama. Dengan itu, pengalaman rohaniah yang dicapai bukan seperti pengalaman pertapa yang memutuskan hubungannya dengan dunia luar, tetapi ia pengalaman tingkat tinggi kemampuan mencapai kemuncak iman kepada Allah dalam suasana keramaian dengan kesibukan dan kelelahannya yang tersendiri.
Pengalaman rohaniah tetamu Allah
Namun bagaimana pengalaman rohaniah seperti ini mampu diraih? Pertama, berhimpunnya manusia yang terdiri dari pelbagai latar belakang dengan seragam putih yang sama (pakaian ihram) di tempat yang sama memberi kesedaran bahawa kita semua adalah sama kedudukannya di sisi Allah. Di Arafah segala gelar, pemilikan harta, kemasyhuran dan lain-lain ‘ditinggalkan’ di luar, keutamaan adalah amal dan takwa kerana itulah yang dipandang oleh Allah. Dengan itu pemakaian ihram itu sendiri menggambarkan kerendahan hati dan kesaksamaan setiap manusia.
Kedua, ia mengingatkan kita tentang hari perhitungan iaitu setiap manusia akan dibangkitkan semula di Padang Mahsyar. Rasa keinsafan sewajarnya dirasai kerana ia seumpama satu simulasi bagaimana kelak kita akan dihimpunkan, ditanya serta dipertanggungjawabkan dengan setiap perbuatan yang dilakukan. Ketiga, Islam mengajar umatnya bahawa pelaksanaan ibadah yang bersifat multi dimensi ini bukan sekadar membabitkan hubungan dengan Allah tetapi juga hubungan sesama manusia. Oleh itu, akhlak, sikap dan adab sesama manusia juga merupakan tuntutan ibadah yang tidak boleh diketepikan.
Kemampuan menghayati ibadah haji seperti di atas memerlukan kepada persediaan dan bekal kepada sesiapa yang melaksanakannya. Bekal yang dimaksudkan ialah takwa seperti yang difirmankan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 197: “…Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal.” Jemaah haji disebut sebagai tetamu undangan Allah (Dhuyuf al-Rahman) sebagai suatu pengiktirafan dan layanan Allah kepada mereka.
Tetamu kebiasaannya dilayani secara istimewa, dihormati dan dimuliakan. ‘Layanan’ inilah yang selayaknya juga diterima oleh tetamu Allah. Namun selaku tetamu juga, Dia berpesan kepada mereka untuk membawa bekal kerana ibadah yang ingin mereka laksanakan membabitkan pelbagai tata protokol (hukum dan syarat) yang perlu dilalui. Bayangkan, selain perlu meninggalkan keselesaan hidup di tanah air, jemaah haji perlu melakukan pelbagai amalan yang boleh menimbulkan tanda tanya. Mereka perlu mengelilingi Kaabah, mundar-mandir antara dua bukit, melontar dengan batu kecil, pakaian yang dikenakan lelaki tidak boleh berjahit, dan apabila ia dipakai, tidak lagi boleh berhias, bersikat, memotong kuku, mencabut bulu dan lain-lain seperti membunuh binatang atau mencabut tumbuhan.
Namun dengan adanya bekal takwa, maka setiap suruhan ditaati dan dihayati dengan penuh tulus kerana disebaliknya ada tujuan dan hikmah tersendiri. Melihat kepada saratnya nilai-nilai iman yang terkandung dalam ibadah haji ini maka tepatlah seperti yang diucapkan oleh Muhammad Asad iaitu: “Dalam pandangan saya, Islam kelihatan seperti sebuah hasil senibina yang sempurna. Semua elemen di dalamnya secara harmoni, saling melengkapi dan menyokong; tidak ada yang berlebihan dan tidak ada yang kurang.” Ibadah dalam Islam adalah sempurna dan melengkapi sama ada aspek rohani-jasmani, iman-amal dan akli-naqli. Ia sesuai dengan hakikat diri manusia yang memiliki daya akal, roh, hati, jiwa dan nafs yang menempati jasad fizikal. Oleh itu, ibadah yang dilakukan penuh penghayatan pasti membuahkan kecintaan dan rasa syukur pada Allah.
--BERNAMA
Dr Mohd Khairul Naim Che Nordin ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya