Oleh: Prof. Dato Dr Jafri Malin Abdullah, Prof. Ts. Dr Amin Ismail dan Prof. Madya Dr Muhammad Saiful Bahri Yusoff
Perbincangan mengenai pemakanan dan kesihatan sering menjadi topik utama rakyat Malaysia terutamanya pada hari-hari perayaan. Namun, ketika asyik dengan keceriaan dan gembira meraikanya kita seringkali terlupa tentang keperluan penting ibu bapa kita yang semakin rentan dengan masalah kesihatan dan kualiti hidup yang menurun akibat proses penuaan.
Adakah kita memikirkan tentang jenis, bentuk, zat makanan, dan saranan pemakanan yang sesuai untuk memastikan keperluan dan keselesaan mereka terjaga dengan baik? Sebagai anak-anak yang peka dan prihatin, adalah menjadi tanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan ibu bapa kita, termasuk memastikan pemakanan yang baik dan sesuai.
Penjagan pemakanan warga tua
Sebagai sebuah negara, Malaysia akan menghadapi penuaan penduduk dalam masa terdekat. Kelajuan negara kita dalam menuju status negara tua adalah lebih pesat berbanding dengan negara maju. Oleh itu, fenomena ini harus mencetuskan usaha bersepadu daripada pelbagai institusi dan pihak bertanggungjawab, termasuk kita sebagai anak dan ahli komuniti. Kita harus merancang, mengambil tindakan, dan strategi berkesan dalam memastikan peningkatan kesejahteraan dan kualiti hidup warga emas di Malaysia. Kita tidak boleh berlengah lagi, kerana penangguhan ini akan menghambat usaha dalam menangani isu-isu berkaitan kesejahteraan dan kesihatan warga emas.
Anak-anak sepatutnya memberikan perhatian yang besar pada isu pemakanan warga emas. Mereka memerlukan pemakanan yang seimbang, sihat, lazat dan berkualiti untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan terjaga dengan baik. Keberhasilan dalam menjaga pemakanan warga emas yang baik bergantung kepada kehadiran individu yang mempunyai pengetahuan dalam bidang pemakanan mereka. Kurangnya perhatian terhadap pemakanan yang seimbang dan sihat memberi kesan buruk kepada kesihatan dan kesejahteraan. Penyakit seperti kencing manis, masalah jantung, tekanan darah tinggi, obesiti dan penyakit berkaitan pemakanan boleh mengurangkan kualiti hidup dan kesejahteraan warga emas.
Oleh itu, penting bagi kita untuk memerhatikan risiko kekurangan zat pemakanan dan menekankan pengambilan makanan seimbang. Kekurangan kesedaran, pengetahuan, motivasi dan sokongan dalam kalangan masyarakat merupakan punca utama kepada masalah kekurangan atau kelebihan pengambilan makanan dan akhirnya membawa kepada penyakit.
Fenomena ini sering berlaku dalam komuniti kita, sama ada di bandar atau luar bandar. Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia bertanggungjawab untuk melatih kakitangan kesihatan, sukarelawan dan masyarakat mengenai kepentingan pemakanan yang sihat dan berkualiti bagi warga emas. Kerjasama dengan pelbagai kementerian, institusi, universiti, dan persatuan dapat menguatkan usaha ini, bukan sahaja di institusi tetapi juga dalam komuniti.
Memastikan dasar dan panduan yang berkesan
Kementerian Kesihatan Malaysia telah memperkenalkan dasar, panduan, dan modul berkaitan kesihatan warga emas. Namun, pertanyaannya adalah, apakah panduan ini mencukupi dan digunakan dengan sempurna oleh semua pihak yang terlibat dalam menjaga kesejahteraan warga emas? Jika tidak, penambahbaikan dan penyelarasan perlu dilakukan untuk memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh semua warga emas. Panduan Pemakanan Warga Tua di institusi juga perlu digunakan oleh pelbagai pihak yang terlibat dalam penjagaan warga emas.
Meskipun beberapa universiti tempatan telah melakukan kajian berkaitan makanan dan pemakanan warga emas dan hasil kajian ini telah diterbitkan dan dijadikan modul latihan, masih perlu diselaraskan cara menyebarkan maklumat ini kepada semua warga emas dalam komuniti setempat di seluruh negeri dan daerah. Oleh itu, ada kemungkinan kita memerlukan lebih banyak sokongan dan sumber untuk memastikan penyampaian maklumat yang efektif kepada semua pihak yang terlibat dalam menjaga kesejahteraan warga emas.
Majlis Profesor Negara (MPN) Kluster Perubatan dan Sains Kesihatan (KPSK) akan memberi tumpuan khusus kepada kesihatan dan kesejahteraan warga emas. Dengan menghimpunkan pakar-pakar dari universiti tempatan, MPN KPSK akan merancang, melaksana dan mengekalkan program-program untuk memperbaiki kesejahteraan kesihatan warga emas, sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.
Melalui kerjasama di antara pakar-pakar universiti di Malaysia, MPN KPSK dapat membantu dalam menyelaraskan usaha negara dalam membentuk dasar, polisi, garis panduan, latihan dan modul yang berkaitan dengan kesejahteraan kesihatan warga emas.
Ini akan memastikan bahawa program-program yang dihasilkan memenuhi keperluan warga emas dan memberikan manfaat yang sebenar kepada mereka. Untuk memperbaiki kesejahteraan warga emas, perlu ada kerjasama dan penyelarasan usaha di kalangan semua pihak yang terlibat untuk mencapai matlamat bersama.
-- BERNAMA
Prof. Dato’ Dr Jafri Malin Abdullah ialah Ketua Kluster Perubatan dan Sains kesihatan Majlis Profesor Negara (MPN)/Universiti Sains Malaysia (USM)
Prof. Ts. Dr Amin Ismail ialah Timbalan Ketua Kluster Perubatan dan Sains kesihatan Majlis Profesor Negara (MPN)/Universiti Putra Malaysia (UPM)
Prof. Madya Dr Muhammad Saiful Bahri Yusoff ialah Setiausaha Kluster Perubatan dan Sains kesihatan Majlis Profesor Negara (MPN)/Universiti Sains Malaysia (USM)