TINTA MINDA

DIABETES SEMASA HAMIL

02/08/2023 09:11 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Chooi Kheng Chiew

Diabetes mellitus, juga dikenali sebagai penyakit kencing manis adalah satu masalah kesihatan yang sering diberi perhatian di media massa. Ia merupakan satu daripada penyakit kronik yang boleh membawa pelbagai komplikasi atau kesan buruk yang memudaratkan kesihatan pesakit. Rawatannya juga memerlukan kos perubatan yang banyak bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia.

Menurut Dr Chooi Kheng Chiew Pakar Endokrinologi KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital, diabetes semasa hamil, atau diabetes dalam kandungan (Gestational Diabetes Mellitus/GDM) adalah satu keadaan yang dialami wanita hamil yang tidak menghidap kencing manis sebelum hamil tetapi dikesan mempunyai paras glukosa darah yang lebih tinggi daripada normal. Statistik menunjukkan lebih daripada lapan peratus wanita mengandung didapati menghidap diabetes semasa hamil pada tahun 2012.

Ketika hamil, pelbagai hormon dihasilkan oleh uri (plasenta), boleh menjejaskan fungsi dan keberkesanan hormon insulin dalam badan untuk mengawal paras gula badan. Ini dikenali sebagai rintangan insulin. Apabila plasenta semakin membesar, banyak hormon penghalang seperti kortisol, estrogen dan human placental lactogen yang dikeluarkan, ini menyebabkan rintangan terhadap tindakan insulin meningkat lebih tinggi.

Organ pankreas yang terletak di belakang perut, terpaksa menghasilkan lebih banyak insulin untuk mengatasi rintangan terhadap fungsi insulin. Insulin yang dihasilkan membantu mengawal kuantiti gula dalam darah, membolehkan badan seseorang menyimpan glukosa yang tidak diperlukan serta-merta untuk menghasilkan tenaga. Jika usaha ini tidak mencukupi atau gagal, paras glukosa dalam badan akan naik, dan diabetes semasa hamil akan berlaku. Kebiasaannya, pesakit akan pulih selepas anak dilahirkan.

Namun demikian, pesakit akan menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit kencing manis pada kemudian hari. Oleh itu, saringan atau pemeriksaan berkala perlu dilaksanakan untuk mengesan penyakit kencing manis selepas bersalin.

Faktor Penyebab

Wanita yang sihat sebelum hamil juga berisiko menghidap diabetes semasa hamil. Terdapat beberapa faktor meningkatkan kemungkinan berlakunya diabetes semasa hamil, iaitu:

  1. Berat badan yang berlebihan (wanita yang ‘overweight’ atau obes), mempunyai saudara rapat yang menghidap kencing manis
  2. Jika wanita tersebut pernah menghidap diabetes semasa hamil sebelum ini dan jika pernah melahirkan bayi yang bersaiz besar (lebih daripada 4 kilogram), bayi yang cacat atau mati semasa lahir.
  3. Usia yang lanjut, atau jika mengalami masalah lain yang berkaitan semasa hamil seperti hipertensi ataupun penghasilan cecair amniotik atau air ketuban yang berlebihan.

Simptom atau Tanda Amaran

Ramai wanita yang menghidap diabetes semasa hamil tidak menunjukkan sebarang tanda amaran, namun sesetengahnya akan merasa dahaga, letih dan kerap membuang air kecil. Wanita hamil yang berisiko disarankan untuk menjalankan ujian ‘oral glucose tolerance test’ (OGTT), juga dikenali sebagai ujian minum air gula. Tujuannya untuk memeriksa tindak balas badan dan keupayaan badan mengawal tahap gula darah serta mengesan adanya diabetes semasa hamil.

Garis panduan di Malaysia, menyarankan seorang wanita hamil yang berisiko menghidap diabetes semasa hamil perlu menjalankan ujian OGTT pada lawatan pertama (booking visit) ke klinik untuk rawatan antenatal. Jika keputusan negatif, ujian ini boleh diulangi pada bulan keenam hingga ketujuh (atau minggu 24 ke 28) kehamilan. Ini untuk pengesanan dan penjagaan awal untuk GDM.

Bagi wanita berusia 25 tahun ke atas yang tidak mempunyai faktor risiko menghidap diabetes semasa hamil, ujian ini boleh dilakukan pada bulan keenam hingga ketujuh. Semua ibu yang dikehendaki melalui prosedur OGTT perlu berpuasa sekurang-kurangnya lapan jam sebelum prosedur. Selepas pengambilan darah pertama, air gula akan diberikan. Selepas dua jam, pengambilan darah kali kedua akan dilaksanakan. Jika paras gula melebihi tahap tertentu, wanita hamil itu disahkan menghidap penyakit GDM.

Komplikasi ketika Hamil

Wanita yang menghidap diabetes semasa hamil mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami komplikasi semasa mengandung. Ia termasuklah risiko keguguran, kecacatan bayi, kelahiran pramatang, dan juga makrosomia, iatui bayi yang lahir dengan berat 4.0 kg atau lebih. Ini boleh menyebabkan kesukaran untuk bersalin biasa dan meninggikan keperluan pembedahan untuk melahirkan bayi. Di samping itu, bayi yang dilahirkan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk masalah pernafasan dan cenderung untuk menjadi obes atau menghidap penyakit kencing manis pada masa hadapan.

Rawatan Diabetes Ketika Hamil

Antara rawatan untuk diabetes semasa kehamilan termasuklah:

  1. Mengambil langkah-langkah untuk memastikan paras glukosa darah sentiasa berada pada paras normal atau optimal ketika mengandung.
  2. Pesakit harus mengikuti rancangan pemakanan yang sesuai mengikut nasihat daripada pakar pemakanan.
  3. Melakukan aktiviti fizikal yang sesuai supaya paras glukosa darah dapat dikawal dalam julat yang selamat.
  4. Pemantauan paras glukosa darah bagi memastikan ia sentiasa berada pada tahap yang normal.

Untuk mengekalkan paras glukosa yang normal dalam darah, ada dalam kalangan ibu mengandung yang menghidap GDM mungkin memerlukan rawatan ubat atau suntikan insulin, selain daripada amalan pemakanan sihat dan bergiat aktif dalam aktiviti fizikal.

Mereka perlu mendapatkan nasihat dan rawatan daripada pakar perubatan yang bertauliah.

--BERNAMA

Dr Chooi Kheng Chiew ialah Pakar Endokrinologi, KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)