TINTA MINDA

HARI ANTARABANGSA ORANG ASAL SEDUNIA DAN PENENTUAN NASIB SENDIRI

18/08/2023 09:18 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof. Madya Dr Mohd Roslan Rosnon

Oleh: Prof. Madya Dr Mohd Roslan Rosnon

Pada 23 Dis 1994, United Nations General Assembly telah memutuskan bahawa Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia disambut pada 9 Ogos setiap tahun. Sambutan Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia tahun ini membawa tema “Belia Orang Asal Sebagai Agen Perubahan Untuk Penentuan Nasib Sendiri”. Hak Orang Asal untuk menentukan nasib sendiri merupakan elemen penting yang diiktiraf dan terkandung dalam Piagam PBB (Artikel 3) yang menyatakan bahawa Orang Asal mempunyai hak untuk menentukan nasib sendiri dan mereka mempunyai hak untuk bebas meneruskan pembangunan ekonomi, sosial dan budaya mereka. Penentuan nasib sendiri adalah asas dan mesti diambil bersama dengan Artikel 1 dan 2 dalam Deklarasi PBB kerana Orang Asal tertakluk kepada undang-undang hak asasi manusia antarabangsa. Ketiga-tiga artikel Deklarasi PBB ini mengesahkan bahawa Orang Asal, termasuk kanak-kanak dan belia, mempunyai hak untuk membuat keputusan mereka sendiri dan melaksanakannya secara bermakna dan bersesuaian dengan budaya mereka. Dalam erti kata lain, Orang Asal mempunyai hak yang sama untuk mentadbir diri mereka sendiri. Belia Orang Asal memainkan peranan aktif dalam melaksanakan hak mereka untuk menentukan nasib sendiri, kerana masa depan mereka bergantung kepada keputusan yang dibuat hari ini.

Dalam makalah ini, tumpuan diberikan kepada belia Orang Asli di Semenanjung Malaysia. Sejak kemerdekaan, belia Orang Asli berhadapan dengan persekitaran yang sentiasa berubah bukan sahaja daripada segi budaya dalam masyarakat moden, tetapi dalam konteks tradisional juga. Kehidupan belia Orang Asli menjadi lebih sukar apabila dunia begitu pantas berubah. Belia Orang Asli perlu memanfaatkan teknologi maju dan membangunkan kemahiran baharu untuk bersaing lebih dinamik sebagai penyelesaian dan menyumbang kepada masa depan yang lebih mapan. Perwakilan dan penyertaan mereka dalam usaha global ke arah pendidikan inklusif dan berkualiti, menggerakkan keadilan dan hubungan intergenerasi adalah dilihat penting melalui penentuan nasib sendiri supaya belia dapat menikmati akses dan ekuiti pembangunan yang mapan.

Pendidikan inklusif dan berkualiti

Pendidikan dilihat sebagai agenda utama dalam pembangunan belia Orang Asli dan mekanisme utama dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli. Oleh itu, Belia Orang Asli perlu menjadi pemain utama dalam gerakan pendidikan supaya pendidikan yang disediakan mengambil kira dari segi budaya dan pengetahuan watan. Hal ini penting supaya tidak menjejaskan nilai dalam masyarakat Orang Asli. Melalui pendidikan yang menggabungkan ilmu watan dan arus perdana boleh memberi ruang kepada belia Orang Asli untuk terlibat sama mencari penyelesaian terhadap isu berkaitan perubahan iklim, eksploitasi sumber dan pencemaran alam sekitar. Oleh itu, mereka mesti diberi tempat di semua peringkat meja membuat keputusan kerana belia Orang Asli mempunyai hubungan yang akrab dengan tanah dan biodiversiti.

Menggerakkan keadilan

Belia Orang Asli menjadi barisan hadapan dalam penentuan nasib sendiri bagi menggerakkan keadilan masyarakatnya. Diskriminasi memberi kesan kepada kehidupan belia Orang Asli yang memberi impak kepada harga diri, rohani, kehilangan bahasa dan penafian akar budaya mereka. Ramai belia Orang Asli menghadapi pelbagai cabaran seperti pertembungan budaya yang mengakibatkan lama kelamaan telah mendorong mereka untuk memperoleh identiti yang asing dengan tempat asal mereka bagi mengelak daripada menjadi objek diskriminasi dan perkauman. Oleh yang demikian, penentuan nasib sendiri melalui penyertaan belia Orang Asli dalam organisasi atau pertubuhan Orang Asli, NGO serta kepimpinan merupakan sebahagian manifestasi penentuan nasib sendiri. Penglibatan dalam politik dan kepimpinan, memperjuangkan hak mereka, mempromosikan identiti dan budaya, serta mewujudkan rangkaian perpaduan dalam kalangan belia Orang Asli merupakan penglibatan sebagai penggerak kepada perubahan masyarakat melalui mobilisasi sosial. Melalui suara mereka, belia Orang Asli dapat berkongsi cerita mereka dan membina solidariti dalam kalangan anak muda lain, seterusnya meningkatkan kesedaran tentang isu Orang Asli di dalam dan di luar negara.

Hubungan intergenerasi

Identiti adalah asas untuk belia Orang Asli. Identiti individu dan kolektif berkait pada tanah, bahasa, mata pencarian tradisional, upacara, kesenian, kraf, dan ahli keluarga dan masyarakat keseluruhannya. Identiti dipindahkan melalui hubungan kekeluargaan, sejarah dan pembelajaran. Oleh yang demikian, hubungan antara generasi dilihat penting dalam memperkukuhkan budaya dan identiti belia Orang Asli. Orang tua merupakan penyimpan dan pemegang kunci pengetahuan tradisional/watan dan saintifik yang berkait dengan nilai dan budaya. Hubungan intergenerasi ini membawa kepada pembelajaran dan sosialisasi mengenai kepentingan keluarga, komuniti, alam semula jadi dan tanggungjawab. Oleh itu, hubungan antara generasi adalah aspek penting dalam kesejahteraan Orang Asli, kerana ia memudahkan pemindahan pengetahuan watan dan memupuk ikatan yang kukuh antara generasi. Sebagai penerus warisan dan pengetahuan watan, belia Orang Asli mempunyai banyak sumber dan kepakaran di hujung jari mereka melalui ilmu yang diperturunkan oleh datuk, nenek dan moyang mereka. Selain itu, terdapat keperluan untuk memperkukuh dialog antara generasi serta dialog antara Orang Asli dan bukan Orang Asli, supaya hubungan masa depan akan menjadi positif untuk banyak generasi akan datang.

Kesimpulannya, agenda pembangunan untuk memperkasa Orang Asli perlu diteruskan oleh pelbagai pemegang taruh. Usaha untuk memajukan Orang Asli untuk terus menikmati kesejahteraan merupakan cabaran besar yang dihadapi oleh kerajaan. Realitinya, Orang Asli masih mengalami pelbagai cabaran dalam mengurus kehidupan mereka dari aspek sosial, ekonomi, alam sekitar dan politik. Perlu ditegaskan bahawa segala pembangunan yang ingin dibawa oleh pemegang taruh perlulah mengambil kira pandangan Orang Asli terutamanya belia terlebih dahulu. Penentuan nasib sendiri dalam kalangan Orang Asli adalah penting bagi memastikan masyarakat ini menikmati pembangunan berdasarkan landskap dan pemikiran mereka sendiri. Selamat menyambut Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia kepada semua Orang Asal di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

--BERNAMA

Prof. Madya Dr Mohd Roslan Rosnon ialah Ketua Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)