TINTA MINDA

SEMARAK PERPADUAN MELALUI MAKANAN

20/09/2023 09:05 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Fairus Muhamad Darus

Lokasi geografi yang strategik dan pengaruh sejarah dalam pembentukan Malaysia pada 1963 menjadikan tanah air ini sebuah negara unik dengan memiliki penduduk berbilang kaum, etnik, budaya dan agama. Kepelbagaian ini membentuk sebuah masyarakat majmuk dengan identiti kebangsaan tersendiri, hidup aman serta harmoni.

Kumpulan terbesar penduduk terdiri daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India. Setiap kaum utama mempunyai pelbagai pecahan etnik seperti Melayu Aceh, Palembang, Banjar, Bugis, Jawa, Cham, Patani dan sebagainya. Kelompok pribumi di Semenanjung terdiri daripada Orang Asli daripada komuniti Negrito, Senoi dan Melayu Proto. Perkahwinan campur turut mewujudkan kelompok komuniti unik seperti komuniti Peranakan Cina, India, Arab, Turki dan Parsi.

Selain itu, terdapat 32 etnik di Sabah dan yang terbesar ialah Kadazan Dusun, diikuti Rungus, Bajau, Bajau Laut, Murut, Lundayeh, Orang Sungai dan Iranun. Sementara itu, terdapat 27 etnik dan Iban adalah etnik majoriti selain Bidayuh, Melanau dan Orang Ulu.

Bagi kaum Cina di Malaysia, kepelbagaian mereka dibezakan berdasarkan enam suku dialek utama iaitu Hokkien, Hakka, Kantonis, Teochew, Hainan dan Fuzhou. Begitu juga kaum India terdapat enam pecahan komuniti etnik iaitu Malayalee, Telugu, Punjabi, Bengali, Gurjarati dan Sindhi.

Kepelbagaian kaum dan pecahan kumpulan etnik ini mempengaruhi nilai dan sosio-budaya serta menjadi satu identiti kebanggaan Malaysia. Cogan kata ‘Visit Truly Asia Malaysia’ jelas menggambarkan keunikan identiti Malaysia. Hal ini turut diakui oleh pelancong atau tetamu luar yang datang ke negara ini.

Kepelbagian menu makanan

Perbezaan budaya setiap kaum dan etnik saling mempengaruhi antara satu sama lain, menghasilkan gabungan budaya Malaysia yang unik. Ini turut mempengaruhi aneka pilihan makanan yang boleh dinikmati penduduk tempatan dan pelancong asing.

Kepelbagaian makanan tidak terhad kepada menu asli sesuatu kaum atau etnik sahaja. Pilihan makanan semakin bertambah apabila berlakunya gabungan menu masakan yang diubah suai daripada satu kaum atau kepada satu kaum lain. Bermula dari zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, telah wujud makanan gabungan seperti masakan Cina Peranakan (Nyonya-Baba), India Peranakan (Chetti Melaka) dan sebagainya. Hal ini terus berlaku dan berkembang mengikut peredaran semasa.

Deria rasa dan selera telah diasimilasikan oleh kepelbagaian pilihan makanan menjadikan penduduk Malaysia bersikap terbuka dalam menikmati makanan daripada pelbagai kaum lain. Boleh dikatakan peminat makanan di negara ini tanpa mengira kaum atau etnik bercita rasa antarabangsa dan berani mencuba sesuatu di luar daripada kebiasaan mereka. Jenis restoran di bandar-bandar utama wujud dengan pelbagai pilihan makanan yang memenuhi pelbagai selera sama ada menu asli, gabungan atau antarabangsa demi memenuhi selera penduduk dan pelancong di negara ini. Begitu juga makanan jalanan turut tidak terkecuali dengan pelbagai pilihan. Aspek ini menyumbang kepada keunikan identiti negara.

Perpaduan Melalui Makanan

Setiap kaum mempunyai budaya persekitaran dalam pembentukan identiti diri seperti bahasa atau loghat, pakaian, cara hidup dan pemakanan. Proses penciptaan dan penghasilan aneka jenis, warna dan rasa makanan dipengaruhi oleh ketamadunan kaum. Adalah sesuatu yang menarik untuk mengetahui dan mempelajari sejarah setiap jenis makanan.

Sifat majmuk dan keterbukaan masyarakat Malaysia, membolehkan suatu kaum menikmati atau menghasilkan menu makanan yang datang dari kaum lain. Situasi ini boleh dilihat apabila ada kaum Cina yang memasak Nasi Lemak, kaum Melayu yang memasak Thosai dan kaum India memasak kuih bulan. Dengan tolerasi dan keterbukaan seperti ini membolehkan pilihan makanan diperluaskan melangkaui budaya kaum itu sendiri.

Asimilasi pelbagai cita rasa melalui makanan yang diwarisi oleh penduduk Malaysia melalui perjalanan sejarah unik adalah sesuatu yang istimewa dan tidak terdapat di mana-mana negara di dunia ini. Justeru itu, melalui kepelbagaian makanan ia boleh menyemarakkan dan memperkukuhkan perpaduan antara kaum di tanah air.

Sambutan perayaan setiap kaum yang mengamalkan budaya rumah terbuka sambil menghidangkan makanan perayaan dapat mengeratkan lagi hubungan antara kaum. Acara festival makanan yang diadakan secara berkala saban tahun boleh dijadikan wadah untuk mengumpul penduduk pelbagai kaum untuk berinteraksi dan menikmati makanan.

Kesimpulannya, makanan bukan sahaja diambil untuk tenaga dan kelangsungan hidup. Aspek makanan ini boleh menjalinkan perpaduan kaum dalam kehidupan seharian oleh penduduk di tanah air ini. Selamat Hari Malaysia.

--BERNAMA

Fairus Muhamad Darus ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)