TINTA MINDA

Pengukuhan Bakat Sektor Awam Pacu Daya Saing Negara

25/09/2025 06:20 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Noor Mohamad Shakil Hameed

Pelancaran Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali ke-20 (MAPPA XX) baru-baru ini wajar dilihat sebagai detik penting proses transformasi dan pengukuhan bakat sektor awam secara holistik.

Inisiatif ini bakal menjadi pemacu strategik penting yang bukan saja memartabatkan kedudukan dan sumbangan penjawat awam, tetapi turut membantu memperkukuh kecemerlangan dan daya saing sektor awam di peringkat nasional dan global.

Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dasar ini memberi penekanan kepada proses penilaian prestasi berteraskan merit dan kompetensi, peningkatan kemahiran secara berterusan serta pemupukan budaya kerja berprestasi tinggi dan berintegriti.

Ia juga menekankan penyediaan laluan kerjaya yang jelas bagi melahirkan kepimpinan serta memastikan sektor awam kekal berwibawa.

Ironinya kedudukan penjawat awam sebagai tulang belakang pentadbiran kerajaan menzahirkan hubungkait yang jelas antara kompetensi bakat yang ada dengan kemajuan negara.

Pembangunan Bakat

Ringkasnya, kita mampu memacu dan melonjakkan lagi kehebatan daya saing negara jika memiliki bakat yang kompeten dan tangkas di sektor awam.

Antara sasaran utama kerangka Ekonomi MADANI ialah menjadikan Malaysia antara 30 ekonomi terbesar dunia, meningkatkan kedudukan ke tangga ke-12 dalam Indeks Daya Saing Global, mencapai tangga ke-25 dalam Indeks Pembangunan Manusia (HDI), serta berada dalam kelompok 25 teratas dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Bagi merealisasikan sasaran strategik jangka panjang ini, negara perlu memberi perhatian serius terhadap pembangunan bakat dalam sektor awam, khususnya dalam kalangan generasi muda penjawat awam.

Harus diingat, kelompok inilah yang akan memikul amanah dan tanggungjawab untuk merancang serta melaksanakan segala inisiatif bagi menjayakan agenda besar Ekonomi MADANI.

Agenda ini bermatlamat mentransformasi Malaysia menjadi negara yang lebih makmur dan maju dengan meningkatkan taraf hidup rakyat serta daya saing negara melalui tiga teras utama, iaitu menaikkan siling ekonomi Malaysia, menaikkan lantai darjat hidup rakyat, dan memastikan tatakelola baik serta reformasi sektor awam.

Cabaran utama dalam hal ini ialah bagaimana kita boleh melahirkan pegawai yang kompeten, berintegriti dan berprestasi tinggi selaras dengan keperluan semasa dan masa hadapan negara terutamanya dalam era pasca normal dan letusan teknologi maklumat dan komunikasi.

Hakikatnya pembangunan bakat bukan sekadar memenuhi keperluan kerja semasa, tetapi memastikan setiap organisasi khususnya perkhidmatan awam memiliki barisan pemimpin pelapis yang berkeupayaan untuk adaptif terhadap cabaran global semasa dan masa depan.

Justeru, penekanan terhadap proses pembangunan bakat adalah satu pelaburan strategik masa depan kerana pekerja atau bakat manusia merupakan sumber utama kejayaan sesebuah organisasi.

Pandangan ini selari dengan Bapa Pengurusan Moden, Peter Drucker, yang menegaskan bahawa modal insan ialah aset paling berharga bagi sesebuah organisasi.

Ruang untuk Pemimpin Muda

Dalam konteks ini cadangan agar penjawat awam muda diberi ruang memegang jawatan penting dalam jabatan kerajaan adalah satu langkah progresif menandakan anjakan paradigma demi menambah baik dan melestarikan landskap pentadbiran negara.

Ini selari dengan situasi semasa di mana dalam era perkhidmatan yang cukup kompleks dan mencabar pada ketika ini ramai penjawat awam mula membuktikan ketangkasan dan kecekapan dalam pengurusan dasar, komunikasi strategik dan penyelesaian masalah di setiap peringkat pengurusan organisasi.

Justeru diharap dasar baharu ini dapat merintis jalan ke arah mewujudkan laluan kenaikan pangkat yang lebih fleksibel, terbuka tanpa perlu menunggu waran atau kekosongan jawatan dengan mengutamakan indikator penilaian berasaskan merit dan kompetensi yang dimiliki oleh seseorang pegawai.

Misalnya, selain kaedah laluan kenaikan pangkat sedia ada, wajar diperluaskan kaedah ‘laluan pantas’ untuk semua skim perkhidmatan yang boleh diberikan kepada pegawai muda yang terbukti kecemerlangannya.

Sistem kenaikan pangkat berdasarkan senioriti dikhuatiri boleh meminggirkan bakat muda jika tidak diuruskan dengan bijak.

Dalam kita menghargai orang lama, kewibawaan pekerja muda wajar terus diiktiraf.

Hal ini penting kerana kita tidak mahu bakat muda sektor awam beralih ke sektor swasta atau pindah ke negara luar atas alasan mendapat laluan kerjaya yang lebih baik terutamanya dari segi pakej insentif dan peluang kenaikan pangkat yang lebih pantas.

Secara prinsipnya, ketangkasan, keupayaan dalam melaksanakan tugas dan kemahiran tinggi dimiliki pegawai muda perlu diiktiraf dengan pantas dan segera melalui peluang kenaikan pangkat dan pelantikan ke jawatan penting tanpa perlu menunggu tempoh giliran yang lama.

Generasi Digital Berdaya Saing

Fakta yang perlu diberi perhatian serius ialah kelompok pegawai muda masa kini memiliki kelebihan dari segi kefahaman terhadap isu generasi digital, kecekapan pengurusan dan analisis data.

Mereka juga berupaya turun ke lapangan mendekati masyarakat bagi memahami masalah sebenar sekali gus menjalin hubungan dengan masyarakat secara lebih inklusif.

Tindakan pantas, berani dan berfikiran kritis pegawai muda adalah aset penting yang mampu meningkatkan imej jabatan dan kerajaan di mata rakyat.

Umumnya sektor awam memiliki kelompok bakat barisan pelapis yang hebat dan mereka mampu memacu daya saing negara di peringkat global jika diberi peluang sewajarnya selain bakat mereka dipupuk dan dibangunkan secara strategik.

Ironinya, pengukuhan bakat dalam sektor awam bukan sahaja suatu keperluan, bahkan sudah menjadi prasyarat utama dalam memastikan Malaysia kekal berdaya saing di pentas antarabangsa.

Dengan sokongan dasar yang jelas, budaya kerja berprestasi tinggi, serta kepercayaan kepada bakat muda, sektor awam mampu menjadi pemacu utama yang melonjakkan daya saing negara ke tahap lebih tinggi.

Justeru, semua ketua jabatan perlu menyokong penuh cadangan agar penjawat awam muda diberi ruang memegang jawatan penting dalam jabatan kerajaan melalui pelaksanaan Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam.

Dasar ini bukan sahaja mampu membangunkan barisan pelapis, tetapi juga membuka ruang pengiktirafan terhadap kehebatan dan ketangkasan pegawai muda sekali gus mengekalkan bakat terbaik dalam perkhidmatan awam.

Tuntasnya, penjawat awam yang hebat akan memastikan perkhidmatan kerajaan kekal efisien, berintegriti dan responsif terhadap keperluan rakyat, sekali gus memacu daya saing negara.

-- BERNAMA

Noor Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (Pspk), Universiti Putra Malaysia (UPM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)