TINTA MINDA

SEDIA RUANG MAHASISWA BANGUNKAN NEGARA

08/11/2023 09:25 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Noor Mohamad Shakil Hameed

Golongan mahasiswa adalah generasi masa depan yang diletakkan harapan tinggi untuk meneruskan legasi kepimpinan dan kecemerlangan negara terutamanya dalam konteks membangunkan negara dan meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup rakyat.

Mahasiswa tulang belakang bangunkan Malaysia Madani

Malah golongan intelek itu juga diyakini mampu menjadi tulang belakang dan memainkan peranan penting dalam membantu agenda membangun Malaysia Madani. Justeru pihak kerajaan dan semua pemegang taruh serta komponen masyarakat perlu yakin dan percaya dengan kemampuan golongan mahasiswa sekali gus membuka ruang seluas-luasnya dan memberi peluang kepada mereka untuk sama-sama berganding bahu membangunkan negara tercinta ini.

Ironinya, apa yang sedang dirancang dan dilaksana pada ketika ini bakal memberi impak langsung terhadap kehidupan mahasiswa pada masa akan datang. Maka pandangan serta idea mereka sewajarnya diberi perhatian supaya hala tuju yang sedang dicorak akan ada kesinambungan apabila mereka mengambil alih tanggungjawab untuk meneruskannya kelak.

Sehubungan itu, semua pihak perlu memberi perhatian untuk memperkasa peranan golongan mahasiswa dengan menyedia serta membuka ruang secukupnya untuk golongan itu terlibat sama dalam proses pembentukan dasar, pembuatan keputusan serta di peringkat pelaksanaan. Hal ini penting kerana pada akhirnya mereka yang akan merasai kesan pelaksanaan sesuatu dasar serta akan menentukan kesinambungan serta keberkesanannya.

Mahasiswa sebagai rakan strategik

Ironinya zaman kerajaan mengetahui semua perkara sudah berakhir, lantas mahasiswa wajar dijadikan rakan strategik penting yang bukan saja boleh memberikan pelbagai idea, pandangan dan sumbangan untuk membangunkan negara malah dapat juga berperanan sebagai mata dan telinga yang menyampaikan permasalahan yang sedang dihadapi oleh rakyat kepada kerajaan. Melalui pendekatan itu, kerajaan dapat merangka pelbagai dasar serta inisiatif untuk membantu semua lapisan anggota masyarakat yang memerlukan bantuan.

Dalam konteks itu, semua agensi kerajaan perlu mencontohi inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang memulakan Program Temu Anwar yang menjadi platform perjumpaan perdana menteri bersama anak muda di universiti. Program itu mula mendapat sambutan dan maklum balas yang cukup positif dari semua khususnya golongan pelajar universiti kerana Anwar menggunakan ruang tersebut untuk berkongsi hala tuju pembangunan negara dengan golongan mahasiswa, mendengar pandangan, cadangan serta idea baharu yang dikemukakan serta terus menjawab pelbagai persoalan yang dikemukakan oleh golongan pelajar. Jelas ini satu penghargaan yang cukup tinggi kepada golongan mahasiswa yang datangnya daripada pemimpin nombor satu negara.

Pemerkasaan mahasiswa melalui sesi libat urus dalam universiti

Pihak universiti juga menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang sedang memberikan perhatian serius kepada agenda pemerkasaan mahasiswa melalui pelbagai sesi libat urus serta pemberian tanggungjawab. Misalnya KPT baru-baru ini, mengarahkan agar pihak pengurusan universiti melibatkan Majlis Perwakilan Pelajar/Kesatuan Mahasiswa (MPP/KM) masing-masing dalam proses merangka dan membangunkan Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT). Ketetapan itu membolehkan mahasiswa diberikan peluang untuk suara dan keperluan mereka didengari dan diambil perhatian dengan jelas sekali gus menzahirkan kesungguhan dan komitmen KPT dalam memberi lebih banyak tanggungjawab dan ruang membuat keputusan kepada mahasiswa.

Maka diharap semua kementerian dan agensi kerajaan yang lain juga boleh mencontohi komitmen perdana menteri dan KPT agar turut memberi perhatian serius kepada agenda pemerkasaan mahasiswa secara lebih menyeluruh mencakupi semua dasar dan pelan tindakan di peringkat nasional. Jangan tinggalkan mereka dalam proses perancangan sebarang dasar atau program yang sedang dibangun dan bakal dilaksanakan.

Penubuhan sebuah unit khas fokus bersama mahasiswa

Oleh itu, semua kementerian dan agensi kerajaan disarankan menubuhkan sebuah unit khas yang memfokuskan kepada sesi libat urus bersama mahasiswa untuk mendapatkan input dan maklum balas tentang sesuatu perancangan serta agenda pembaharuan yang hendak diperkenalkan. Sesi libat urus itu boleh dijadikan agenda tetap melalui perjumpaan secara berjadual dan berkala untuk dijadikan sesi perkongsian pandangan tentang pelbagai isu semasa membabitkan kehidupan seharian masyarakat dan proses pembangunan negara dari perspektif dan kaca mata golongan muda.

Penglibatan dan peranan mahasiswa bersama masyarakat

Selain itu, ruang dan peluang untuk golongan mahasiswa perlu dibuka sebanyak mungkin untuk turut sama terlibat dalam pelaksanaan sesuatu program atau inisiatif terutamanya untuk anggota masyarakat. Percayalah mahasiswa memiliki pengalaman dan kemahiran insaniah yang mencukupi untuk memainkan pelbagai peranan bagi menjayakan sesuatu program yang hendak dilaksanakan agensi kerajaan.

Hal ini kerana pihak IPT sentiasa menganjurkan pelbagai program dan aktiviti yang menerapkan elemen kemahiran insaniah seperti kerjasama berpasukan, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran komunikasi, serta kemahiran kepimpinan supaya mahasiswa memperolehi pengalaman yang mencukupi selain memiliki smart dan sharp skills.

Justeru mereka hanya memerlukan peluang untuk membuktikan kemampuan tersebut dengan cara mengaplikasikan semua kemahiran yang telah dipelajari dalam bentuk tindakan. Maka di sinilah agensi kerajaan dapat memainkan peranan, misalnya bila hendak melaksanakan sesuatu program jalinkan kerjasama strategik dengan IPT supaya melantik mahasiswa sebagai ahli jawatankuasa pelaksana, juru acara majlis, pempengaruh untuk mempromosikan sesuatu program, projek atau inisiatif secara lebih kreatif dan mesra belia selain boleh saja dilantik mereka sebagai duta program. Melalui pendekatan itu, bukan saja program dapat dilaksanakan dengan berkesan tetapi mahasiswa turut memperoleh pengalaman yang berharga.

Mahasiswa sebagai duta Malaysia Madani

Tuntasnya, golongan mahasiswa wajar digunakan sebagai kelompok penting untuk mendekati masyarakat terutamanya melalui pelantikan sebagai duta, antaranya dapat dilantik sebagai duta Malaysia Madani bagi menerangkan konsep baharu ini kepada semua lapisan anggota masyarakat supaya dapat memahami dan menerimanya dengan jelas. Selain itu, mereka boleh dilantik sebagai duta perpaduan untuk memupuk dan membugarkan semangat perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat yang kini dilihat sangat rapuh dan membimbangkan.

Kesimpulannya, selain yakin dan percaya dengan kemampuan mahasiswa, semua pemegang taruh perlu memberi perhatian yang lebih serius kepada agenda pemerkasaan mahasiswa kerana mereka bakal meneruskan legasi kecemerlangan negara tercinta ini. Bilangan mahasiswa yang ramai wajar dijadikan aset strategik untuk membangunkan negara.

-- BERNAMA

Noor Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)