Menurut analisis Data Bridge Market Research, pasaran herba global pada 2022 adalah bernilai USD 165.66 bilion, dan ia dijangka akan meningkat kepada USD 347.50 bilion menjelang 2030. Manakala, 11.16% Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) adalah direkodkan dari 2023 hingga 2030. Statistik ini menunjukkan peningkatan penggunaan herba dalam kalangan penduduk secara keseluruhan.
Walaupun permintaan terhadap herba adalah tinggi, terdapat beberapa cabaran yang sedang dihadapi oleh pengusaha herba tempatan.
Cabaran pengusaha herba tempatan
Pertama adalah keterlibatan secara serius dan terancang dari pelbagai pihak dalam ekosistem industri herba kurang mendapat perhatian dan tindakan yang sewajarnya (dari petani yang menanam hingga pengedar yang mengedarkan produk).
Selain itu, ia juga berkaitan dengan kualiti pengeluaran yang rendah apabila spesifikasi dan mutu tidak mencapai tahap piawaian yang telah ditetapkan.
Keadaan ini turut berpunca daripada kurangnya pelaburan dalam pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur fasiliti pengeluaran herba yang boleh mengakibatkan kurangnya kemampuan untuk mengekalkan kualiti pengeluaran yang tinggi.
Seterusnya adalah berkaitan dengan penerimaan dan persepsi terhadap herba dalam kalangan generasi kini, yang mana mereka tidak memahami sepenuhnya manfaat herba atau kurangnya pendedahan kepada kegunaan dan keberkesanan herba dalam pemuliharaan kesihatan.
Mereka lebih cenderung mempercayai produk komersial yang mudah diperoleh daripada kedai atau dalam talian. Selain itu, masih terdapat kekurangan dalam bukti saintifik yang meyakinkan untuk menyokong penggunaan herba dalam rawatan kesihatan.
Cipta peluang peningkatan pusat perdagangan dan pelancongan
Oleh yang demikian, adalah penting untuk mencipta peluang peningkatan dalam dua sektor yang berkaitan dengan herba, iaitu (i) Pusat Perdagangan Herba dan (ii) Pusat Agro Pelancongan. Langkah ini diharapkan dapat menguatkan lagi kedudukan industri herba dalam pasaran dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang berterusan.
Pusat Perdagangan Herba bertujuan untuk menghasilkan bahan mentah atau produk yang berkualiti tinggi, dengan hasil yang maksimum tetapi dengan kos yang rendah. Ia dapat direalisasikan dengan mewujudkan Pusat Pengumpulan dan Penghasilan Herba dan juga Kilang Penghasilan Produk Herba.
Kebanyakan herba yang mempunyai banyak khasiat lazimnya ditanam di rumah, kebun atau tanah terbiar sebagai satu kegiatan turun temurun dan juga sebagai hobi.
Dengan adanya Pusat Perdagangan Herba ini, kegiatan penanaman herba penduduk setempat dapat diperluas dan diusahakan dengan lebih sistematik dengan cara contract farming, yang mana ia memberi akses kepada pasaran yang lebih luas melalui perjanjian jual beli.
Dalam perjanjian ini, pihak pembeli atau syarikat pembekal biasanya menyediakan input seperti benih, baja dan peralatan pertanian kepada petani, manakala petani akan menanam, menjaga dan memetik atau mengumpul hasil tanaman mengikut arahan atau syarat yang telah ditetapkan.
Ini membantu meningkatkan pendapatan petani dengan menjual hasil mereka dengan harga yang stabil dan terjamin dalam jangka masa panjang. Juga, ianya dapat mengurangkan risiko kewangan yang dihadapi oleh petani akibat fluktuasi harga pasaran.
Selain itu, ia juga boleh dijadikan sebagai sebagai pusat pengumpulan produk. Penduduk setempat boleh menghantar hasil pertanian herba mereka ke pusat ini bagi proses seterusnya untuk tujuan pengolahan, pemprosesan dan penghasilan produk tertentu.
Ini bukan sahaja memastikan bekalan bahan mentah yang berterusan, tetapi juga meningkatkan pendapatan petani. Malah, ia juga berperanan dalam membantu petani mendapatkan bahan mentah yang telah diproses seperti serbuk herba, minyak pati, atau ekstrak cecair melalui mesin pemprosesan teknologi tinggi.
Mesin pemprosesan yang canggih dapat digunakan untuk menghasilkan sesuatu produk dengan kecekapan yang tinggi dan dalam jumlah yang besar. Ini dapat menyelesaikan masalah penduduk setempat untuk mendapatkan bahan mentah yang telah diproses dengan kualiti yang tinggi bagi penghasilan sesuatu produk baharu dan berinovasi.
Pemprosesan di kilang merupakan proses penting dalam rantai bekalan herba, yang mana bahan mentah yang ditanam di ladang akan diubah menjadi produk akhir yang siap untuk dijual kepada pengguna.
Proses ini melibatkan beberapa langkah yang menghasilkan produk akhir dengan kualiti yang tinggi dan pematuhan terhadap piawaian yang telah ditetapkan. Ia penting untuk memastikan kepercayaan pelanggan bahawa produk yang mereka beli adalah berkualiti tinggi, selamat dan efektif. Selain itu, ia juga dapat menjaga reputasi negara sebagai pengeluar herba yang berkualiti tinggi, seterusnya akan mendapat permintaan yang tinggi di pasaran global.
Kerjasama Business to Business
Sementara itu, kerjasama Business to Business (B2B) adalah strategi yang berkesan untuk memperluaskan pasaran bagi produk herba. Melalui kerjasama B2B, pihak pengeluar produk dapat menjalin hubungan dengan syarikat besar dalam dan luar negara untuk menjual produk secara borong atau untuk pemprosesan lanjutan.
Ini membantu memperluas pasaran, meningkatkan jumlah penjualan dan membuka peluang untuk pertumbuhan dan inovasi dalam industri herba. Ia juga dapat membantu memperbaiki rangkaian bekalan, menjana kepercayaan pelanggan dan membuka pintu kepada peluang perniagaan baharu.
Dalam usaha pihak pengeluar produk menambah baik proses pengeluaran dan pemprosesan herba, ia secara tidak langsung turut menyumbang kepada tenaga mahir dan penggunaan teknologi seperti Internet of Things dan analitik data.
Jalinan kerjasama agensi kerajaan, swasta, universiti
Selain itu, jalinan kerjasama dengan agensi kerajaan, swasta dan universiti bagi pengiktirafan dalam bidang khusus herba, seperti program microcredential (mikro-sijil) dapat membantu meningkatkan kemahiran usahawan herba dan daya saing industri secara keseluruhan.
Produk ikon yang bernilai tinggi juga dapat dihasilkan apabila kerjasama dengan institusi penyelidikan dan juga universiti dimeterai.
Penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan secara kerjasama ini memberi peluang yang sama rata antara pengeluar/pengusaha produk, institusi penyelidikan dan universiti dalam menghasilkan produk ikon Malaysia yang dapat dibuktikan dengan hasil penemuan secara saintifik.
Manakala pelancongan herba dapat mewujudkan peluang untuk memahami budaya, warisan dan kegunaan herba tempatan. Ia dirangka sebagai satu destinasi pelancongan herba yang mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara, seterusnya mencipta peluang ekonomi dalam bidang restoran, chalet, pusat latihan dan perniagaan tempatan.
Pusat Agro Pelancongan yang diwujudkan boleh dijadikan sebagai Pusat Tarikan Pelancong dan Pusat Pelancongan Makanan. Pusat Tarikan Pelancong ini termasuklah kemudahan pusat latihan dan chalet yang dikelilingi persekitaran hutan dan kawasan penanaman herba, pusat latihan yang kondusif dan mesra alam, sesi lawatan ke ladang herba, kilang pemprosesan herba dan galeri produk berasaskan herba (pusat sehenti). Untuk Pusat Pelancongan Makanan pula, restoran makanan berasaskan herba boleh menyajikan pelbagai menu sihat, 100% berdasarkan herba asli yang ditanam dan dituai sendiri di ladang, menjadikan pengalaman makanan lebih bermakna dan autentik kepada pengunjung.
Selain itu, pendapatan dari cukai pelancongan, yuran masuk ke taman herba dan pembelian produk herba sebagai suvenir dapat menyumbang kepada pendapatan negara.
Tambahan pula, pemeliharaan taman herba dan amalan pelancongan yang bertanggungjawab dapat membantu melestarikan keunikan alam semula jadi.
Secara keseluruhan, cabaran dalam industri herba ini patut diberi perhatian sebagai peluang yang baik dalam menggerakkan ekonomi negara. Dengan memberikan tumpuan kepada pematuhan piawaian kualiti, kelestarian alam sekitar, dan penggunaan teknologi, ia dapat terus berkembang secara mampan, menyumbang kepada pembangunan holistik negara.
--BERNAMA
Profesor Madya Dr. Noor Akhmazillah Mohd Fauzi ialah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)