TINTA MINDA

PIMPINAN ANWAR YAKINKAN PELABUR ASING

13/05/2024 10:09 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Datuk Dr Kasim Md Mansur

Pada 2 Mei 2024 Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft Satya Nadella telah mengumumkan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Putrajaya dan dalam program “Microsoft Build: AI Day” di Kuala Lumpur komitmen terbesar dalam sejarah 32 tahunnya di Malaysia dengan pelaburan berjumlah US$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam tempoh empat tahun akan datang untuk menyokong transformasi digital negara ini.

Pelaburan ini meliputi membina infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia, mewujudkan peluang menguasai kemahiran AI untuk 200,000 lagi rakyat Malaysia, mengukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Malaysia untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan AI untuk mendorong industri-industri penting mengguna pakai AI Nasional, mempertingkat kemampuan keselamatan siber negara serta menyokong pertumbuhan komuniti pencipta perisian di Malaysia.

Andrea Della Mattea, Presiden Microsoft ASEAN mengulas, “Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia dan memberi sokongan kami terhadap Rangka Kerja AI Negara, yang seterusnya meningkatkan daya saing global Malaysia.

Kerjasama bina keupayaan pusat serantau bagi digital dan teknologi pintar

Kerjasama ini membolehkan negara ini membina keupayaan sebagai pusat serantau bagi inovasi digital dan teknologi pintar, sekali gus mencerminkan pendekatan berpandangan jauh pucuk pimpinan yang mengutamakan pembangunan lestari dan kesejahteraan masyarakat menerusi transformasi digital.”

Pelaburan terbesar dalam sejarah Microsoft di Malaysia ini adalah bukti keyakinan bukan sahaja Microsoft tetapi juga banyak pelabur asing lain kepada kekukuhan asas ekonomi dan kestabilan politik negara serta dasar-dasar kerajaan yang jelas dan terarah, khususnya dalam sektor awan dan AI, serta selari dengan peranan Malaysia sebagai pembekal semikonduktor global, sehingga menarik minat banyak syarikat teknologi untuk membuat pelaburan besar di negara ini.

Jawapan kepada persoalan sinis

Beberapa pihak di Malaysia dengan sinisnya bertanyakan mengapa Microsoft tidak berminat untuk membuat pelaburan di Malaysia tetapi memilih dua negara jiran tersebut.

Bagaimanapun pada akhirnya persoalan ini terjawab dan pihak yang sinis ini termalu sendiri bila semalam Microsoft ternyata membuat pelaburan yang lebih besar, iaitu US$2.2 bilion, di Malaysia.

Pelaburan hasil kerja keras Perdana Menteri

Pelaburan ini bukanlah kejayaan pertama Malaysia, tetapi ia sudah beberapa kali berlaku hasil kerja keras Anwar. Pada 18 Oktober 2022, Amazon Web Services (AWS), bahagian komputasi awan Amazon.com Inc (AMZN.O), pada awalnya mengumumkan bahawa ia merancang untuk melabur US$5 bilion di Thailand dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Bagaimanapun, di bawah pimpinan Anwar, AWS mengumumkan pada 2 Mac 2023 rancangan untuk membuat satu pelaburan sebanyak AS$6 bilion (RM25.5 bilion) di Malaysia, lebih tinggi daripada pelaburannya di Thailand, dalam tempoh 14 tahun akan datang bagi mengukuhkan infrastruktur perkhidmatan awannya di negara ini sekali gus membuka peluang untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat data Asia Tenggara dan hab digital untuk rantau ini.

Dalam kerangka menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-30 di San Francisco dari 14 hingga 17 November 2023, Anwar sempat bertemu dengan dengan beberapa syarikat gergasi teknologi, termasuk Google. Hasil pertemuan ini, Ketua Pegawai Kewangan Alphabet dan Google, Ruth Porat, mengumumkan pada 16 November 2023 bahawa ia akan menjalinkan kerjasama strategik dengan Kerajaan Malaysia untuk mewujudkan peluang pertumbuhan inklusif kepada lebih ramai rakyat dan syarikat tempatan dalam ekonomi digital.

Gandingan kerjasama itu bermatlamat untuk membantu perniagaan dari semua saiz memajukan daya saing digital mereka melalui program kemahiran, pelaburan dalam infrastruktur digital, inovasi AI yang bertanggungjawab dan dasar mengutamakan awan. Ia termasuklah kerjasama bagi memulakan inisiatif bersama landas pelancaran AI untuk mencipta pekerjaan baharu, meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam dan membantu syarikat tempatan meneroka pasaran global serta penyediaan Peluang Peningkatan Kemahiran Inklusif kepada 300,000 rakyat Malaysia menjelang 2026 melalui lima kaedah pembelajaran digital tanpa sebarang kos.

Google pada 23 Mac lalu mengumumkan dua inisiatif. Inisiatif pertama melibatkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membolehkan belia tempatan memperoleh kemahiran digital tanpa kos dengan menyediakan sehingga 500 biasiswa Sijil Kerjaya Google setiap satu kepada 161 universiti awam, politeknik dan kolej komuniti di Malaysia sehingga akhir 2024. Inisiatif kedua yang diperkenalkan oleh Google pula melibatkan Jabatan Digital Negara (JDN), iaitu untuk membolehkan 445,000 pegawai awam menggunakan Google Workspace.

Pada 8 Disember 2023 pula, hasil perbincangan antara Anwar dengan Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA Corporation, Jensen Huang, dan Pengarah Urusan YTL Power International, Datuk Yeoh Seok Hong, NVIDIA iaitu sebuah syarikat teknologi multinasional ke-6 terbesar di dunia dari segi permodalan pasaran bersetuju mengadakan perkongsian strategik dengan YTL Power International untuk membina pusat data AI di Kulai, Johor, melibatkan pelaburan berjumlah US$4.3 bilion (RM20 bilion). Selain itu, ia juga akan membantu membangunkan ekosistem AI di Malaysia menerusi sokongan dalam pembinaan pusat kecemerlangan bagi memudahkan pembelajaran dan penyelidikan AI serta pengwujudan sistem Awan AI Malaysia sendiri.

Kemasukan pelabur asing bukti pelabur asing yakin dengan Anwar

Semua pelaburan besar syarikat multi-nasional terkemuka dunia di negara ini adalah bukti bahawa pelabur asing semakin yakin dengan kemampuan Anwar mengemudi Kerajaan Perpaduan, mengukuhkan asas ekonomi dan menstabilkan politik negara melalui dasar-dasar yang mantap dan berfokus.

--BERNAMA

Datuk Dr Kasim Md Mansur ialah Profesor di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan merangkap Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)