TINTA MINDA

Ejen Ali The Movie 2, Kecerdasan Buatan Dan Masa Depan Kita

20/06/2025 03:52 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Profesor Ts Dr Hairulnizam Mahdin

Filem animasi tempatan Ejen Ali The Movie 2, yang ditayangkan di pawagam (bermula 22 Mei 2025) menampilkan lebih daripada sekadar aksi dan visual yang menghiburkan.

Ia turut menyampaikan mesej penting berkaitan teknologi semasa, khususnya kecerdasan buatan (AI), serta mengandungi elemen-elemen teknologi imersif yang selari dengan konsep realiti campuran (Mixed reality, MR) yang kini memainkan peranan besar dalam kehidupan moden.

Hari ini, AI semakin berkembang dan menjadi sebahagian daripada sistem harian kita — daripada kamera telefon, aplikasi dalam talian, hinggalah ke sistem keselamatan dan pentadbiran digital.

Dalam konteks ini, filem Ejen Ali The Movie 2 hadir pada masa yang tepat, dengan mengetengahkan persoalan penting: bagaimana teknologi digunakan, siapa yang mengawalnya, dan sejauh mana kita bersedia memahami risikonya.

Sebagai masyarakat yang sedang menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, kita sering memberi perhatian kepada perkara seperti penggunaan AI dalam pendidikan atau aplikasi harian.

Filem ini membuka satu lagi dimensi perbincangan iaitu bagaimana AI boleh memberi kesan yang lebih besar dalam konteks keselamatan, kawalan data dan masa depan sistem digital yang menjadi kebergantungan kita.

Watak utama, Ali, dipilih untuk menggunakan sut berperisai canggih bernama SATRIA, yang dilengkapi dengan sistem AI terkini.

Sut ini memberinya keupayaan luar biasa sebagai seorang ejen, pergerakan lebih pantas, pemprosesan data lebih tepat dan tindak balas yang sangat cekap.

Namun, filem ini juga menekankan bahawa kehebatan teknologi tidak bermakna tanpa pengguna yang bijak dan berdisiplin.

Rakan sepasukan Ali, iaitu Alicia menggunakan sistem AI versi lama bernama IRIS.

Dalam satu adegan penting, IRIS berfungsi lebih baik di tangan Alicia berbanding ketika digunakan oleh Ali.

Ini kerana Alicia digambarkan sebagai individu yang rajin, fokus, dan cemerlang dalam latihan.

Perkara ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa AI hanya benar-benar berkesan apabila digunakan oleh individu yang memiliki ilmu dan nilai diri yang kukuh. Teknologi bukan pengganti kebijaksanaan, tetapi pelengkap kepada potensi manusia.

Seperti yang pernah ditegaskan oleh satu penerbitan dalam Harvard Business Review, “AI tidak akan menggantikan manusia.

Tetapi manusia yang menggunakan AI akan menggantikan manusia yang tidak menggunakannya.”

Filem ini secara halus menyampaikan mesej tersebut bahawa kejayaan teknologi banyak bergantung kepada siapa yang menggunakannya dan untuk tujuan apa.

Ancaman Teknologi dan Data Yang Dimanipulasi

Salah satu detik paling genting dalam filem ini ialah apabila SATRIA jatuh ke tangan musuh, antagonis utama.

Teknologi yang asalnya dicipta untuk mempertahankan keselamatan akhirnya menjadi senjata yang mengancam dari dalam.

Naratif ini memberi gambaran tepat tentang potensi ancaman dalam dunia sebenar apabila teknologi canggih disalah guna.

Perkara ini selari dengan isu yang semakin mendapat perhatian dalam dunia AI, iaitu data poisoning atau pencemaran data.

Dalam sistem pembelajaran mesin, AI bergantung kepada data untuk membuat keputusan. Sekiranya data tersebut dimanipulasi, sistem boleh menghasilkan keputusan yang salah, berat sebelah, bahkan membahayakan.

Sama seperti antagonis utama yang mengawal SATRIA untuk menyerang Cyberaya, AI dalam dunia sebenar juga boleh dieksploitasi apabila model dan datanya dicerobohi secara halus dari dalam.

Serangan sebegini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Gangguan kepada sistem rangkaian dan aplikasi digital
  • Pemalsuan pengecaman wajah dan sistem identiti
  • Gangguan terhadap bekalan utiliti dan logistik
  • Penyebaran maklumat palsu melalui media digital

Apa yang membimbangkan, banyak sistem digital tempatan masih bergantung kepada infrastruktur dan model luar. Tanpa kawalan penuh terhadap data dan sistem yang digunakan, persekitaran teknologi boleh menjadi terdedah kepada pelbagai risiko. Dalam keadaan ini, data bukan sekadar maklumat, ia menjadi aset kritikal yang perlu dilindungi.

AI Bukan Ancaman, Tetapi Amanah

Ejen Ali The Movie 2 memperlihatkan bahawa kecerdasan buatan bukanlah musuh kepada manusia.

Ia adalah alat yang berpotensi besar untuk membantu, mempercepat dan memperkasa, dengan syarat ia digunakan oleh mereka yang bertanggungjawab dan beretika.

Namun begitu, teknologi yang tidak dikawal atau disalah guna boleh menjadi ancaman sebenar.

Kisah SATRIA yang digunakan oleh antagonis utama mencerminkan bagaimana teknologi boleh menjadi bahaya apabila jatuh ke tangan yang salah. Dalam realiti hari ini, ancaman seperti ini tidak datang melalui peperangan fizikal, tetapi melalui sistem dan data.

Filem ini membuka ruang untuk kita bersama-sama memikirkan semula kedudukan kita/manusia dalam dunia teknologi, bukan hanya sebagai pengguna, tetapi sebagai pihak yang perlu memahami, mengawal dan memikul tanggungjawab terhadap apa yang kita cipta dan gunakan.

Dunia masa depan tidak hanya menuntut kecanggihan teknologi, tetapi juga kematangan dan kebijaksanaan manusia dalam mengendalikannya.

Amat wajar, protokol “human-in-the-loop” (manusia dalam gelung keputusan) diwujudkan sebagai langkah keselamatan di samping audit berkala terhadap dataset dan model AI untuk mengesan manipulasi tersembunyi.

Ali mungkin memiliki teknologi paling hebat, tetapi tanpa ilmu dan nilai, keupayaan itu boleh menjadi beban.

Alicia membuktikan bahawa yang paling penting bukan sekadar alat yang digunakan, tetapi siapa yang menggunakannya - dan untuk tujuan apa.

-- BERNAMA

Profesor Ts Dr Hairulnizam Mahdin ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)