TINTA MINDA

Satu Gambar Seribu Fitnah: Kuasa Manipulasi Persepsi Dalam Komunikasi Maya

26/06/2025 05:13 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Miharaini Md Ghani

Hanya dengan sekeping gambar sahaja yang dilihat di media sosial, pelbagai pandangan berbeza akan diinterpretasi oleh masyarakat termasuklah rasa syak wasangka sehingga menimbulkan perbalahan.

Reaksi ini bukan sekadar drama dunia maya tetapi dilihat seperti budaya digital masyarakat yang semakin membimbangkan, iaitu budaya cepat 'melatah' atau menghukum terus tanpa menyoal siasat keadaan sebenar.

Kita kini hidup dalam era algoritma dan perhatian digital, di mana sesuatu yang menyentuh emosi akan lebih mudah tular berbanding fakta yang panjang lebar.

Netizen hari ini secara tidak rasmi menjadi ''masyarakat analisis' yang mentafsir gambar secara bebas, mencipta naratif, dan membuat kesimpulan sendiri tanpa perlu menyemak latar atau konteks.

Sebagai contoh, apabila seseorang wanita kebetulan memakai baju sama dengan suami wanita lain dalam satu gambar kumpulan, dan gambar itu pula diambil dari sudut yang mencurigakan, ia serta-merta mengundang gelombang tuduhan, gosip dan hujan emoji marah.

Maka berlakulah perbicaraan terbuka tanpa fakta, tanpa ruang penjelasan, dan tanpa belas.

Media sosial seperti Facebook, TikTok dan X mempercepatkan proses ini yang menyebabkan privasi dan konteks sering kali terhapus.

Gambar yang sepatutnya menjadi kenangan mesyuarat, seminar atau program komuniti kini berubah menjadi bahan tafsiran sosial yang keterlaluan.

Algoritma yang mengutamakan keterlibatan emosi terus mempromosikan kandungan sensasi.

Maka berlakulah apa yang disebut oleh sarjana komunikasi sebagai 'emotional contagion', di mana perasaan benci, cemburu atau marah itu berjangkit pantas, meskipun pengguna sebenarnya tidak mengenali individu dalam gambar.

Lebih membimbangkan, situasi seperti ini menyerupai bentuk gaslighting digital, di mana pengguna cuba meyakinkan orang lain bahawa "apa yang mereka lihat" membawa makna tersembunyi, walaupun tiada sebarang bukti sah.

Bukti Palsu

Sekeping gambar menjadi ‘bukti palsu’ untuk membenarkan andaian sendiri.

Akibatnya, hubungan sebenar boleh runtuh hanya kerana sudut kamera atau waktu ambilan gambar yang tidak tepat.

Gambar bukan lagi sekadar gambar, ia telah menjadi senjata tafsiran perbalahan.

Kini, tidak lagi mengejutkan apabila setiap minggu ada sahaja isu tular baharu yang lahir bukan kerana kesalahan nyata, tetapi kerana kekuatan persepsi yang dibentuk dari tangkapan skrin, gambar kabur, dan suntingan kapsyen beremosi.

Kita lihat kembali kes-kes terdahulu yang turut menjadi bukti bagaimana visual yang tidak berdosa menjadi punca tohmahan.

Misalnya, gambar seorang guru lelaki duduk bersebelahan isteri orang dalam satu jamuan rasmi sekolah, hanya kerana kedua-duanya berpakaian sedondon.

Naratif pun dibentuk: “kenapa baju sama?”, “kenapa duduk rapat?”, “kenapa senyum lain macam?”

Sedangkan, gambar yang dimuat naik oleh pihak sekolah sebagai kenangan dibedah secara meluas di ruang komen, hingga membawa kepada tekanan emosi dan pengasingan sosial.

Wajah Gelap Media Sosial

Inilah sisi wajah gelap media sosial. Di satu sisi, ia memberi ruang keterbukaan dan suara kepada rakyat.

Apa yang lebih menakutkan ialah apabila budaya ini disokong pula oleh elemen hiburan dan lawak sinis, di mana penceritaan itu diolah dalam bentuk video komedi pendek, parodi atau meme.

Dalam dunia digital, sesuatu yang menyakitkan individu sebenar boleh menjadi bahan gelak ketawa kolektif.

Secara tidak langsung, tindakan ini memberikan kesan psikologi terhadap mangsa budaya ini.

Banyak kes menunjukkan bahawa tekanan yang dihadapi selepas tularnya salah faham dalam talian boleh membawa kepada kemurungan, sehingga meragut nyawa apabila mangsa membunuh diri.

Hal ini dilihat apabila masyarakat terlalu bermosi menghentam serta kelemahan literasi media, kekurangan empati digital, dan dominasi budaya visual dalam komunikasi moden.

Literasi Media Digital

Keperluan untuk membina literasi media digital dan literasi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan masyarakat bukan lagi pilihan, namun keperluan mendesak.

Dari sudut teori komunikasi, kita sedang menyaksikan bagaimana teori seperti 'framing' dan 'spiral of silence' berlaku secara aktif di media sosial.

Gambar atau klip video yang dirangka dalam bingkai tertentu, contohnya dengan kapsyen bernada sinis atau tajuk yang provokatif, boleh mempengaruhi pembacaan dan persepsi pengguna.

Sementara itu, spiral of silence menjelaskan bagaimana suara yang tidak sehaluan atau mempertahankan mangsa mungkin terpadam kerana takut dikecam.

Maka, berlakulah perbicaraan satu hala yang meyakinkan ramai bahawa naratif palsu itulah yang benar. Dalam menghadapi arus ini, kita perlu menanam tiga prinsip utama dalam komunikasi digital harian.

Pertama, pengguna media sosial perlu belajar untuk tidak membuat kesimpulan daripada satu gambar semata-mata iaitu sekeping gambar tidak pernah menceritakan keseluruhan cerita.

Kedua, komuniti dan institusi perlu memperkukuh budaya menegur dengan kesantunan adab, bukan dengan serangan terbuka dalam bentuk kapsyen sinis yang menjatuhkan maruah.

Akhir sekali, para pemikir akademik perlu memperkenalkan modul baharu dalam pendidikan komunikasi dan mendidik masyarakat cara membezakan persepsi dari realiti, serta memahami bagaimana algoritma dan naratif digital boleh memanipulasi fikiran kita.

Peranan Institusi Penguatkuasa

Dalam pada itu, institusi penguatkuasa dan pembuat dasar juga perlu lebih proaktif.

Misalnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), harus melaksanakan kempen nasional untuk memperkukuh kesedaran tentang etika menyebarkan kandungan visual.

Pelaksanaan undang-undang yang lebih ketat terhadap fitnah visual, termasuk manipulasi gambar, perlu dipertingkatkan.

Malah, wujud keperluan mendesak untuk mengiktiraf trauma digital sebagai satu bentuk gangguan mental yang sah dan perlu diberi sokongan psikologi.

Kini, kita berada pada zaman naratif lebih berkuasa dari realiti, dan emosi lebih laju daripada akal.

Jika kita tidak membetulkan cara kita membaca, mentafsir dan menyebar sesuatu di media sosial, masyarakat kita bukan sahaja kehilangan nilai rasional dan belas ihsan, malah merosakkan hubungan yang tidak bersalah, hanya kerana sehelai baju dan sebotol sos cili.

Kita tidak perlu menjadi detektif dalam hidup orang lain hanya kerana satu gambar muncul dalam garis masa kita.

Tanpa kita sedar sebenarnya, dalam dunia digital yang begitu pantas ini, kita lebih perlukan belas kasihan daripada perhatian.

-- BERNAMA

Dr. Miharaini Md Ghani ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)