Oleh Ts Dr Razi Ahmad, Dr Nor Amirah Abu Seman @ Haji Ahmad
Insiden letupan paip gas bawah tanah yang berlaku di Putra Heights pada April lalu mencerminkan keperluan mendesak untuk memperkukuh sistem pemantauan infrastruktur bawah tanah di negara ini.
Kejadian tersebut, yang menyebabkan lebih 100 kecederaan dan kemusnahan harta benda, menyerlahkan potensi risiko besar sekiranya sistem utiliti bawah tanah tidak dikendalikan secara sistematik dan berteknologi tinggi.
Infrastruktur bawah tanah seperti paip gas, kabel tekanan tinggi, dan sistem saliran merupakan komponen penting dalam pembangunan bandar moden.
Namun, banyak daripada sistem ini, khususnya yang dibina sejak dekad terdahulu, kini menunjukkan tanda penuaan struktur dan kelemahan pemantauan.
Tanpa sistem pemantauan berterusan yang mampu mengesan kebocoran atau perubahan tekanan secara masa nyata, risiko seperti kebocoran gas metana boleh mengakibatkan tragedi berskala besar.
Letupan yang berlaku di Putra Heights, yang menghasilkan api setinggi 30 meter dan suhu melebihi 1,000 darjah Celsius, seharusnya dilihat bukan sekadar kemalangan terasing, tetapi sebagai indikator kelemahan struktur sistem utiliti bawah tanah negara. Pemantauan berkala melalui kaedah manual tidak lagi mencukupi.
Malaysia perlu segera beralih kepada pendekatan pemantauan pintar berasaskan teknologi seperti penggunaan sensor tekanan dan suhu, sistem gentian optik, serta pengesanan digital bersepadu.
Sebagai langkah jangka pendek, audit menyeluruh terhadap semua utiliti bawah tanah yang telah berusia wajar dilaksanakan, terutamanya di kawasan berpenduduk padat dan pesat membangun.
Data berkaitan kedudukan utiliti, sejarah penyelenggaraan, dan pemantauan tekanan perlu dikumpul dan dikemas kini dalam pangkalan data berpusat yang boleh diakses oleh semua agensi berkaitan.
Dari sudut perancangan pembangunan, semua projek baharu yang melibatkan kerja tanah berhampiran sistem utiliti kritikal perlu diwajibkan untuk mengemukakan Penilaian Risiko Alam Sekitar (Environmental Risk Assessment, ERA) yang komprehensif.
Di samping itu, pelan tindakan kecemasan dan sistem pemantauan teknologi perlu menjadi sebahagian daripada dokumen teknikal pembangunan.
Perbandingan turut boleh dibuat dengan insiden serupa di peringkat antarabangsa, termasuk letupan paip gas di Kaohsiung, Taiwan pada 2014 yang mengorbankan lebih 30 nyawa dan mencederakan ratusan.
Letupan tersebut berpunca daripada kebocoran gas bawah tanah yang gagal dikesan lebih awal, menunjukkan bahawa risiko seumpama ini bukan bersifat tempatan, sebaliknya satu isu keselamatan global yang memerlukan pemantauan ketat dan tindakan awal.
Peranan jurutera alam sekitar amat penting dalam menangani isu ini. Kepakaran mereka merangkumi penilaian tapak, pemodelan risiko, serta perancangan mitigasi terhadap impak bencana infrastruktur.
Libat urus teknikal antara jurutera, agensi perancang, serta pihak utiliti perlu diinstitusikan bagi memastikan keselamatan sistem bawah tanah diurus secara bersepadu.
Program Sarjana Muda Kejuruteraan Alam Sekitar yang ditawarkan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menekankan aspek keselamatan infrastruktur, pemantauan berasaskan teknologi, dan perancangan pembangunan lestari.
Graduan daripada program ini dilatih untuk memahami risiko struktur bawah tanah, aplikasi sistem pemantauan serta pelaksanaan penyelesaian teknikal yang menyeluruh.
Peranan jurutera alam sekitar amat penting dalam menangani isu ini. Kepakaran mereka merangkumi penilaian tapak, pemodelan risiko, serta perancangan mitigasi terhadap impak bencana infrastruktur.
Libat urus teknikal antara jurutera, agensi perancang, serta pihak utiliti perlu diinstitusikan bagi memastikan keselamatan sistem bawah tanah diurus secara bersepadu.
Saranan juga dikemukakan agar kerajaan memperkenalkan insentif bersasar kepada syarikat utiliti yang melabur dalam teknologi pemantauan pintar.
Galakan dalam bentuk potongan cukai, geran pembangunan atau pengecualian caj tertentu boleh membantu mempercepatkan peralihan kepada sistem yang lebih selamat dan berkesan.
Dari sudut masyarakat, pendekatan kesedaran awam perlu digiatkan melalui latihan simulasi, maklumat tanda awal kebocoran, dan saluran pelaporan kecemasan yang mudah diakses.
Pendekatan berasaskan komuniti ini boleh diselaraskan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, NGO dan agensi pengurusan bencana.
Insiden letupan di Putra Heights menjadi peringatan bahawa infrastruktur bawah tanah yang gagal dipantau bukan sahaja menjejaskan keselamatan awam, tetapi turut mengancam kestabilan perancangan bandar. Oleh itu, reformasi sistemik dalam dasar, teknologi, pengurusan data, dan pembangunan kapasiti sumber manusia perlu menjadi keutamaan segera.
-- BERNAMA
Ts Dr Razi Ahmad ialah Ketua, Jabatan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Awam (FKTA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), dan Dr Nor Amirah Abu Seman ialah Pengerusi Rancangan Kejuruteraan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Awam (FKTA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).