TINTA MINDA

Sektor Awam Tunjang Kemampanan Negara dalam RMK-13

19/08/2025 11:28 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr. Lutfan bin Jaes

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) 2026-2030 jelas menekankan kepada semua pihak untuk bekerjasama mengukuhkan pembangunan sosioekonomi dan daya tahan negara.

Dalam hal ini, institusi utama yang mendukung harapan tinggi pastilah pihak sektor awam negara. Penjawat awam bertanggungjawab mendukung harapan yang sangat tinggi meliputi pengukuhan nilai insaniah, cabaran menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia, memantapkan kedudukan kewangan kerajaan serta menjamin kehidupan rakyat yang bermaruah.

Malaysia dalam meniti RMK-13 harus terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif di semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

Kesemuanya adalah iltizam komprehensif pihak kerajaan yang mengharapkan ‘orang kepercayaan’ terdekat iaitu sektor awam dan warga perkhidmatan awam. Penjawat awam agen perubahan paling signifikan. Mempunyai cabaran terbesar dalam usaha dan proses penambahbaikan sistem nilai dan tadbir urus.

Seringkali di ulang-ulang oleh Perdana Menteri bahawa dalam melakar semula pembangunan negara, aspek kerohanian dan nilai insaniah merupakan agenda penting serta wajib diintegrasikan.

Kedua-duanya perlu diperkasakan dalam usaha Malaysia melonjak ke arah negara berpendapatan tinggi berteraskan nilai. Dalam masa yang sama mewujudkan negara bangsa berdaulat dan bermaruah tinggi. Melahirkan rakyat berjiwa insaniah dengan menikmati kehidupan berkualiti.

Tatakelola terbaik : Harapan Besar buat penjawat awam

Bagi mencapai hasrat di atas, RMK-13 dengan jelas menumpukan kepada tiga kearifan utama iaitu i. Tatakelola baik dalam pentadbiran negara ii. Menaikkan siling kerencaman semua sektor ekonomi dan iii. Menaikkan lantai darjat kehidupan rakyat secara terangkum dan responsif.

Namun dalam hal ini kearifan yang terkait dengan menambah baik tatakelola jelas di amanahkan kepada sektor awam dengan harapan besar disandarkan kemampanan penjawat awam.

Tatakelola terbaik menagih keazaman seluruh warga sektor awam. Memperkasakan integriti dan akauntabiliti perkhidmatan merupakan teras utama dalam memastikan kepercayaan rakyat.

Agar kerajaan terus kukuh dalam melaksanakan dasar. Usaha ini boleh dijelmakan melalui beberapa inisiatif seperti Pengukuhan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2.0 pasca 2026. Ia untuk terus menambah baik ketelusan dan tadbir urus sektor awam.

Pendigitalan dan pendekatan berfokuskan rakyat

Perkhidmatan awam yang efisien bukan sahaja meningkatkan kepuasan rakyat, tetapi juga mempercepatkan pencapaian hasil dasar. Dalam hal ini RMK-13 telah menetapkan tata kelola sektor awam terbaik harus dengan penggunaan teknologi, budaya digitalisasi dan penyusunan semula proses kerja berstruktur secara serius.

Komitmen ini jelas dinyatakan dalam saranan memperkasakan bakat digital negara dan memanfaatkan analitik data raya.

Maka penjawat awam akan diberikan latihan intensif dalam bidang digital dan AI. Dengan sasaran 95% perkhidmatan Kerajaan Persekutuan dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya menjelang tahun 2030.

Malaysia dilihat mampu berdiri megah sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi yang berpacukan teknologi AI dan digital.

Dalam hal ini, pendekatan Whole-of-Government yang mana agensi dalam sektor awam saling berkongsi data dan sistem untuk elakkan pertindihan fungsi bukan lagi satu kaedah cuba-cuba.

Sudah tidak ada masa untuk bereksperimen. Tidak boleh ada lagi rasa kepunyaan bidang kuasa dan perasaan “nafsu nafsi” mementingkan jabatan atau kementerian sendiri.

Sehubungan dengan, dalam memastikan semua agensi berkongsi data dan memberikan perkhidmatan digitalisasi yang terbaik, adalah penting menerapkan gaya Human-Centered Design.

Ia satu pendekatan yang bermula dengan memahami pengguna kemudian diikuti dengan penciptaan penyelesaian berdasarkan keperluan sebenar mereka. Sekali gus mampu mengurangkan kegagalan disebabkan kekeliruan sistem dan meningkatkan kepuasan rakyat terhadap perkhidmatan digital awam.

Merujuk hal ini, RMK-13 juga telah memberikan komitmen seperti pewartaan akta baharu ILTIZAM, penubuhan Pasukan Petugas Khas seperti STAR, Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dan langkah-langkah tindakan tegas dalam penguatkuasaan undang-undang. Ia bukan lagi boleh sekadar satu bentuk penyataan tetapi sebuah komitmen yang diterjemahkan dengan pelaksanaan.

Fiskal berhemat dan struktur tersusun

Seterusnya, memantapkan pengurusan fiskal sektor awam itu sendiri merupakan sesuatu yang wajib dilaksanakan oleh semua sektor dalam kementerian.

Pengurusan fiskal yang berhemat sangat penting dalam memastikan kelestarian kewangan negara dan mengelakkan beban hutang yang sudah sedia berlebihan kepada generasi akan datang. Komitmen ini memerlukan satu paradigma perubahan sikap penjawat awam.

Pengukuhan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) bagi menetapkan sempadan fiskal yang lebih tegas kepada kerajaan perlu dilaksanakan segera. Penggunaan Outcome-Based Budgeting (OBB) dan pelaksanaan sistem e-invoicing serta data analitik fiskal bagi meningkatkan kecekapan kutipan hasil dan mengurangkan ketirisan bukan lagi perkara yang boleh ditangguh-tangguhkan.

Menambah baik tatakelola juga merujuk kepada perihal usaha mengistitusikan kerajaan yang cekap dan berkesan.

Juga memperkukuh sistem dan struktur supaya mampu beroperasi dengan efisien, bertanggungjawab dan responsif terhadap keperluan rakyat dan negara.

Dalam hal ini Worldwide Governance Indicators (WGI) oleh Bank Dunia turut menyenaraikan bahawa kualiti perkhidmatan awam, pelaksanaan dasar berkesan dan konsistensi pelaksanaan undang-undang serta keberkesanan peraturan menjadi indikator penting.

Dalam kata lain ia bukan sekadar meletakkan orang yang baik dalam kuasa, tetapi lebih penting, membina struktur sistemik lagi berdaya tahan.

Menolak ‘rent seeking’ dan monopoli politik

Selain daripada itu RMK-13 telah menjanjikan penyediaan perkhidmatan sektor awam yang terus terusan berpaksikan rakyat.

Pelbagai program MADANI Rakyat dan sesi libat urus yang melibatkan semua kerajaan negeri harus dilaksana dan diselesaikan segera.

Pelbagai projek pembangunan yang melibatkan ekonomi dan sosial rakyat harus dimuktamadkan. Dalam hal ini usaha kerajaan melalui RMK-13 untuk merangka perundangan baharu berkaitan aktiviti rent seeking amat dihargai. Ia melibatkan keuntungan atau kekayaan bukan melalui penghasilan nilai sebenar tetapi dengan memanipulasi sistem demi kepentingan sendiri.

Sektor awam juga harus mampan dan bekerja keras dalam penyelesaian aktiviti monopoli melalui lesen khas dan lobi politik, tender rundingan terus dan peraturan ketat yang memihak.

Ia hanya akan mengurangkan kecekapan ekonomi dan menggalakkan rasuah serta ketirisan. Di samping kini dilihat hanya akan merugikan rakyat secara keseluruhannya.

Begitu juga dengan usaha kerajaan MADANI dalam meneruskan Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) perlu mendapat sokongan sepenuhnya oleh seluruh warga sektor awam.

Ini semua harus di usahakan dengan adil dengan sebuah sistem yang berstruktur.

Penjawat awam sebagai tulang belakang negara

Akhir sekali mengurus perubahan bukan sekadar melaksanakan RMK-13 semata-mata. Ia berkaitan dengan pendekatan spesifik para penjawatnya bagi bersama-sama memastikan kemampanan sistem nilai dan tata kelola tadbir urus sedia ada agar sentiasa berubah secara dinamik bagi mencapai matlamat ditetapkan.

Kemampanan sektor awam harus ditunjangi dengan reformasi dan integriti sepenuhnya. Keterlibatan bersungguh-sungguh dan penuh tanggungjawab oleh penjawat awam sangat diharapkan.

Sebagai pendukung utama menerapkan sistem nilai telus, cekap dan berintegriti. Hanya dengan perubahan sistem nilai tata kelola maka kemampanan dan kelestarian hidup rakyat terus terpelihara.

Dengan sokongan tidak berbelah bahagi warga sektor awam, negara ini mudah-mudahan dipimpin dan ditadbir dengan amanah. Moga hajat negara melalui RMK-13 iaitu mahu mencapai status negara berpendapatan tinggi dengan rakyat terbanyak menikmati kehidupan selesa, peluang saksama dan peningkatan maruah harga diri rakyat dicapai.

--BERNAMA

Dr Lutfan bin Jaes ialah Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)