Oleh Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak
Hari ini, makna Hari Kebangsaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan. Jika dahulu kita berjuang menuntut kemerdekaan negara, hari ini perjuangan kita adalah untuk membebaskan diri daripada pencemaran, perubahan iklim, dan amalan yang tidak mampan.
Di sinilah bioekonomi memainkan peranan penting. Dengan memanfaatkan dan memproses sumber semula jadi negara kita melalui tumbuhan, haiwan dan mikroorganisma, kita dapat menghasilkan produk dan perkhidmatan bernilai tinggi yang mengurangkan kebergantungan kepada import serta menjana kekayaan dalam sempadan kita sendiri.
Dua dekad menggalas misi
Selama dua dekad, Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menggalas misi ini.
Kami menyediakan fasilitasi, sokongan dan panduan untuk memacu pembangunan industri bioteknologi dan berasaskan bio tempatan.
Kini, konsep bioekonomi kitaran menjadi teras kepada usaha ini, sekali gus membentuk salah satu tonggak utama Dasar Bioteknologi Negara 2.0.
Sisa pertanian menjadi produk bernilai tinggi
Inilah sebabnya Bioeconomy Corporation giat memacu bioekonomi kitaran, dengan menjadikan sisa pertanian sebagai produk bernilai tinggi.
Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan pembaziran, tetapi juga menukar sumber terbuang kepada kekayaan melalui inovasi berasaskan bio, sekali gus memelihara alam sekitar dan membuka peluang ekonomi.
Hakikatnya, nenek moyang kita sudah pun lama mengamalkan konsep ini dengan menghargai serta menggunakan semula sumber alam semula jadi.
Kejayaan syarikat bioteknologi
Semangat ini jelas terpancar dalam pelbagai kisah kejayaan syarikat bioteknologi dan berasakan bio tempatan yang disokong melalui program Bio-based Accelerator (BBA) dan Status BioNexus di bawah Bioeconomy Corporation.
Di Sarawak, sebuah syarikat BBA yang mendapat inspirasi daripada amalan seorang nenek membuat garam daripada pelepah nipah kini menghasilkan dua produk premium berasaskan nipah: gula apong daripada niranya, serta garam rendah natrium daripada hasil sampingan.
Di Kedah, para pesawah menjual jerami padi kepada sebuah syarikat berstatus BioNexus yang mengubahnya menjadi pembungkusan boleh lupus, sekali gus membantu mengurangkan aktiviti pembakaran terbuka.
Sementara itu, di Sabah, sebuah syarikat berasaskan bio pula memperkasakan petani melalui penanaman rumpai laut secara mampan, membeli semula hasil tuaian mereka untuk diproses menjadi produk pertanian bernilai tinggi.
Usaha-usaha ini bukan sahaja menyokong kelestarian, malah membuka peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan, dan seterusnya memperbaiki taraf hidup komuniti tempatan.
Laluan kerjaya
Bioekonomi kitaran juga mencipta laluan kerjaya yang melangkaui bidang sains dan merangkumi keusahawanan, reka bentuk produk, pemasaran, dan pengeluaran - semuanya digerakkan oleh inovasi.
Satu contoh nyata ialah sebuah syarikat pemula daripada program BBA yang selepas dianugerahkan status BioNexus serta menerima khidmat nasihat dan pensijilan penting, kini menghasilkan ‘bio-leather’ (kulit berasaskan bio) dan bahan tambahan tekstil organik yang digunakan oleh jenama-jenama fesyen antarabangsa.
Bioekonomi kitaran ubah komuniti, jana pendapatan
Kisah-kisah ini membuktikan bahawa bioekonomi kitaran bukan sekadar idea abstrak tetapi sedang mengubah komuniti kita, menjana pendapatan, mengurangkan pencemaran, malah menembusi pasaran global, sekali gus mengangkat inovasi Malaysia ke persada dunia.
Tahun ini, ketika Bioeconomy Corporation meraikan ulang tahun ke-20 bersempena sambutan Hari Kebangsaan, kami ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama dalam perjalanan ini.
Sokonglah usahawan bio tempatan, pupuklah bakat muda dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), serta amalkan gaya hidup lestari.
Setiap langkah kecil mampu membawa perubahan besar. Semangat kebebasan sebenar hari ini ialah membina ketahanan dan peluang untuk generasi akan datang. Inilah hakikat “Bioekonomi untuk Semua”.
-- BERNAMA
Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak ialah Ketua Pegawai Eksekutif,
Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation)