Oleh Dr Noor Zuraidin Mohd Safar dan Ts Mohd Hatta Md Hani
Dalam dunia yang semakin dipacu oleh teknologi, masa depan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bergantung kepada satu perkara utama iaitu kecekapan digital.
Perkembangan automasi, kecerdasan buatan dan teknologi pintar menjadikan permintaan terhadap tenaga kerja mahir digital semakin mendesak.
Laporan antarabangsa menjangkakan sebahagian besar pekerjaan tradisional berisiko digantikan oleh automasi dalam tempoh dua dekad akan datang.
Namun begitu, peluang baharu turut terbuka luas apabila ratusan juta pekerjaan dijangka diwujudkan dalam sektor digital global.
Institusi TVET berada dalam kedudukan strategik untuk melatih tenaga kerja bagi menghadapi perubahan ini.
Walau bagaimanapun, keberhasilan usaha tersebut bergantung kepada sejauh mana semua pihak iaitu daripada pemimpin institusi, tenaga pengajar sehinggalah pelajar perlu dilengkapi dengan kompetensi digital yang sesuai.
Bagi tenaga pengajar khususnya, kecekapan digital bukan sekadar tahu menggunakan peralatan, tetapi merangkumi pelbagai dimensi yang penting untuk membentuk pengalaman pembelajaran moden.
Antara kompetensi utama yang perlu dikuasai oleh pendidik TVET termasuklah kebolehan mengintegrasikan teknologi dalam pedagogi agar pengajaran lebih interaktif dan berkesan.
Pendidik bukan sahaja perlu mahir menggunakan perisian pembelajaran atau aplikasi dalam talian, tetapi juga berupaya menyesuaikan pendekatan mengajar mengikut keperluan pelajar yang semakin terdedah kepada teknologi digital sejak awal usia.
Integrasi ini membolehkan proses pengajaran menjadi lebih dinamik, berpusatkan pelajar dan sesuai dengan kehendak industri moden.
Selain itu, pendidik perlu mampu menggunakan alat digital dalam penilaian supaya pencapaian pelajar dapat diukur dengan lebih objektif dan menyeluruh.
Literasi Digital
Penilaian berasaskan teknologi bukan sahaja menilai pengetahuan teori, malah boleh menjejak kemahiran praktikal, kreativiti serta keupayaan pelajar menyelesaikan masalah dunia sebenar.
Melalui analitik data, pendidik juga boleh mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pelajar dengan lebih tepat seterusnya merancang intervensi pengajaran yang bersasar.
Mereka juga perlu memahami sifat digital itu sendiri, termasuk aspek etika, tanggungjawab dan keselamatan dalam penggunaan teknologi.
Literasi digital tidak hanya berkaitan kemahiran teknikal, tetapi turut merangkumi kesedaran tentang privasi data, keselamatan siber, hak cipta dan tingkah laku berhemah di ruang maya.
Pendidik yang menguasai aspek ini dapat menjadi teladan kepada pelajar dalam mengamalkan digitalisasi yang positif dan bertanggungjawab.
Di samping itu, usaha pembangunan profesional berterusan adalah amat penting supaya pendidik sentiasa peka dengan perubahan dan kemajuan teknologi.
Kemahiran digital bersifat dinamik, sentiasa berubah mengikut arus inovasi. Oleh itu, pendidik perlu komited menghadiri latihan, bengkel atau kursus yang berkaitan, selain aktif berkongsi pengalaman dengan rakan sejawat melalui komuniti amalan.
Kesediaan untuk belajar, menyesuaikan diri dan bereksperimen dengan teknologi baharu akan memastikan pendidik terus relevan serta mampu melahirkan graduan TVET yang bersedia bersaing dalam ekonomi digital.
Walaupun tahap penguasaan tenaga pengajar berada pada tahap sederhana, masih wujud jurang dari segi sikap terhadap teknologi, akses kepada sumber digital serta sokongan institusi.
Langkah Penambahbaikan
Justeru, beberapa penambahbaikan perlu diberi perhatian.
Antara langkah yang dicadangkan termasuklah penyediaan latihan praktikal khusus mengikut bidang supaya pendidik dapat mengaplikasikan teknologi berdasarkan keperluan industri sebenar.
Sokongan sistematik juga perlu diwujudkan melalui pusat sumber digital, komuniti sokongan serta bantuan teknikal.
Selain itu, bimbingan dan maklum balas berterusan daripada pihak institusi penting bagi meningkatkan keyakinan dan kompetensi tenaga pengajar.
Kurikulum pula perlu diselaraskan dengan perkembangan teknologi semasa supaya pelajar menerima latihan yang relevan dan terkini.
Dengan langkah-langkah ini, pendidik bukan sahaja menjadi penyampai ilmu, tetapi juga pemudah cara yang membimbing pelajar membina literasi digital mereka.
Di peringkat global, pakar pendidikan menekankan pentingnya pendekatan menyeluruh dalam pembangunan kompetensi digital.
Pendekatan ini melibatkan semua peringkat ekosistem TVET. Pemimpin institusi digesa menyediakan visi strategik, membina kerjasama erat dengan industri serta melabur dalam infrastruktur digital.
Pendidik pula dituntut menguasai kemahiran pedagogi moden berasaskan teknologi, manakala pelajar perlu diperkasakan dengan identiti digital, keselamatan siber, penciptaan kandungan serta kemahiran kerjaya digital.
Transformasi TVET
Transformasi TVET bukan sekadar soal penggunaan teknologi semata-mata, tetapi tentang membina kapasiti manusia untuk menguasainya dengan berkesan.
Dengan visi yang jelas dan komitmen bersama, TVET mampu menjadi pemangkin kepada tenaga kerja masa depan yang bersedia menghadapi cabaran era digital.
Lebih daripada itu, kejayaan transformasi ini akan memberi impak langsung kepada kemajuan negara.
Apabila tenaga kerja Malaysia memiliki kompetensi digital yang tinggi, ia akan meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya saing industri serta menarik pelaburan asing yang mencari bakat berkemahiran tinggi.
Sektor perkilangan, teknologi maklumat, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi digital akan mendapat manfaat besar daripada lulusan TVET yang berpengetahuan, inovatif dan fleksibel.
Kesimpulannya, mesej yang diketengahkan amat jelas, iaitu kecekapan digital bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan mendesak. Bagi pembuat dasar, pelaburan dalam infrastruktur digital dan pembangunan tenaga pengajar perlu dipertingkatkan.
Bagi institusi pula, kompetensi digital harus dianggap sebagai agenda utama dan berterusan, bukan sampingan.
Dengan melahirkan generasi pendidik dan pekerja berkemahiran digital, Malaysia bukan sahaja mampu menyaingi negara serantau, malah berpotensi muncul sebagai hab TVET berteknologi tinggi.
Ini akan mengangkat nama Malaysia di pentas global sebagai negara yang bukan sahaja pengguna teknologi, tetapi pencipta dan peneraju inovasi masa depan.
-- BERNAMA
Dr Noor Zuraidin Mohd Safar ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dan Ts Mohd Hatta Md Hani ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Teknologi Maklumat, Pusat Pengajian Diploma Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).