TINTA MINDA

Kecerdasan Buatan (AI) Berselari Dengan Sains Islam

29/09/2025 12:25 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Tahir Ahmad

Sejarah Islam telah membuktikan bahawa ahli sains Islam pernah disuatu ketika dahulu menjadi pemangkin dan pembina peradaban Islam yang unggul.

Nama-nama besar seperti Al-Khwarizmi, Tsabit Ibnu Qurra, Al-Battani, Al-Khazin, Abu Wafa, Ibnu Iraq, Ibnu Sina dan sebagainya sangat tersohor. Malahan nama-nama itu masih timbul dalam naskah-naskah penulis barat hingga hari ini.

Sebahagian dari mereka bukan sahaja ahli matematik tetapi juga ahli astronomi, ahli fizik dan perubatan yang gemilang.

Penemuan dan penciptaan sains yang mereka ketengahkan adalah jauh ke hadapan umpamanya konsep ruang masa kontinum ketika itu. Tokoh-tokoh ini bukan sahaja berbangsa Arab sahaja, malahan berbangsa Parsi dan Turki.

Akan tetapi kesemua mereka menghayati penyatuan hati; ‘ta’liful qulub’ dengan erti kata yang sebenarnya serta berwawasan yang Rabbani. Masalah keagamaan seperti penentuan peredaran bulan, kiblat, pembahagian harta dan waktu solat merupakan prioriti ketika itu.

Wawasan Sains Islam

Sesungguhnya, tamadun Islam bermula selepas Islam diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan kesemua mereka; ahli sains khususnya memahami pengajian dan penyelidikan sains pada waktu tersebut merupakan pengabdian secara total kepada Allah s.w.t.

Namun pada hari ini, kita perlu sedar bahawa kesempurnaan hidup di dunia ini secara bermasyarakat, tambahan lagi dengan ketandusan kepimpinan intelektual Islam selepas jatuhnya khalifah Islam yang terakhir meyakinkan bahawa ilmu naqli atau ilmu agama sahaja tidak mencukupi meskipun ia merupakan ilmu yang paling tinggi mertabatnya di sisi Islam.

Umat memerlukan pengetahuan alam fizikal, alam kemanusiaan, teknologi semasa dan sebagainya bagi mencetuskan kembali peradaban Islam yang unggul itu.

Hari ini, masalah umat sudahpun menjadi prioriti dan bukan lagi di tahap pinggiran. Umat Islam wajar memberi perhatian kepada segala ilmu aqli termasuklah sains. Ini ditegaskan dalam kaedah usul Fiqh,

"Apabila pekerjaan wajib tidak dapat kita tunaikan, melainkan dengan adanya satu perkara yang lain, maka perkara itu wajib hukumnya".

Sheikh Yusuf Qaradawi (1996) dalam bukunya Wawasan Sains Islam dan Kemodenan menghuraikan bahawa kaedah di atas bukanlah terbatas sekadar peralatan, bahkan ianya juga termasuk pengalaman, pemikiran dan ilmu-ilmu baru.

Apatah lagi, Islam bukanlah penghalang kepada kemajuan ilmu. Allah s.w.t dengan jelas mengundang manusia agar berbuat demikian, di antaranya; (Surah Ali’Imran: 190-191)

Maksudnya: Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi dan perbezaan malam dan siang merupakan tanda-tanda bagi orang yang berakal. Orang-orang mengingati Allah sambil berdiri, duduk, atau sedang baring dan memikirkan penciptaan langit dan bumi.

Firman Allah lagi:

أَوَلَمْ يَنْظُرُوا فِي مَلَكُوتِ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَا خَلَقَ اللَّهُ مِنْ شَيْءٍ

Maksudnya: Tidakkah mereka memerhatikan pada kerajaan langit dan bumi, dan apa yang diciptakan Allah dari segala sesuatu. (Surah Al-A’raf: 185)

Orang yang memikirkan keagungan ciptaan Allah s.w.t adalah termasuk para ulama, intelek dan saintis.

Lantaran itu, ciptaanNya yang maujud atau yang ada di dalam seluruh alam ini, selain Allah Ta’ala itu, adalah hasil perbuatan Allah Subhanahu wa Ta’ala, atau boleh juga disebut sebagai makhlukNya. Jadi sesuatu yang sekecil manapun seperti atom, juga yang dapat dilihat seperti gunung-ganang, demikian pula sifat dan apa yang diberi sifat, seluruhnya itu di dalamnya pasti ada keajaiban serta keanehan yang amat luarbiasa, dan hampir tidak dapat diterima oleh akal.

Namun dengan adanya benda-benda tersebut jelaslah bagi setiap orang yang suka menggunakan akal fikiran yang sihat, bahawa di situlah tersimpan hikmatNya, kebijaksanaanNya, kekuasaanNya, keagungan dan kebesaranNya. Lantaran itu, seandainya Allah itu Al-Khaliq (Pencipta), maka Ia juga sudah pasti yang menyediakan panduan dan petunjuk tersebut;

Firman Allah:

مَا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِنْ شَيْءٍ

Maksudnya: Tiadalah Kami alpakan sesuatupun di dalam Al Kitab. (Surah Al An’aam: 38)

Firman Allah lagi:

وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَى لِلْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: Kami turunkan kepadamu Al Kitab (Al Qur’an) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri. (Surah An Nahl: 89)

Antara keistimewaan Al-Quran ialah dari segi mukjizat ilmunya yang berkekalan sehingga hari Qiamat.

Mukjizat seperti ini dikenali sebagai mukjizat maknawi yang difahami oleh akal selepas renungan dan memikirkan makna yang terdapat dalam ayat al-Quran tersebut.

Al-Quran adalah satu mukjizat yang bersifat bercahaya (“Nuraniyy”) dan mempunyai daya roh (“Ruhaniyy”). Cahaya pada tabiat semulajadinya adalah penerang dan membawa petunjuk. Hal ini dipertegaskan oleh Allah s.w.t. dalam firmanNya:

Maksudnya: Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu bukti kebenaran dari Tuhanmu. Dan telah Kami turunkan kepadamu cahaya yang terang benderang (Al-Quran). (Surah Al-Nisaa: 174)

Al-Quran juga disifatkan sebagai roh. Roh mempunyai tenaga menggerak dan menghidupkan, firman Allah:

Maksudnya: Dan demikianlah kami wahyukan kepadamu Roh (Al-Quran). (Surah Al-Syura: 52)

Oleh kerana itulah juga mukmin yang sentiasa memandu hidupnya dengan petunjuk Al-Quran disifatkan sebagai golongan manusia yang hidup dalam bimbingan Allah s.w.t. Firman Allah:

Maksudnya: Dan apakah orang yang sudah mati, kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan ditengah-tengah masyarakat serupa dengan orang yang keadaannya dalam gelap gulita? (Surah Al-An’aam: 122)

Pernyataan-pernyataan Al-Quran bukan sahaja menyentuh akidah, syariat, akhlak, sejarah nabi-nabi dan asal usul manusia tetapi juga menyentuh fenomena-fenomena alam semesta serta sistem-sistem yang terkandung di dalamnya.

Pernyataan fenomena ini bukan sahaja dipaparkan secara terang dan nyata sepertimana dalam Surah Yunus, Allah swt berfirman:

هُوَ الَّذِيْ جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاۤءً وَّالْقَمَرَ نُوْرًا وَّقَدَّرَهٗ مَنَازِلَ لِتَعْلَمُوْا عَدَدَ السِّنِيْنَ وَالْحِسَابَۗ مَا خَلَقَ اللّٰهُ ذٰلِكَ اِلَّا بِالْحَقِّۗ يُفَصِّلُ الْاٰيٰتِ لِقَوْمٍ يَّعْلَمُوْنَ

Maksudnya: Dialah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menetapkan tempat-tempat orbitnya, agar kamu mengetahui bilangan tahun, dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan demikian itu melainkan dengan benar. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaranNya) kepada orang-orang yang mengetahui. (Surah Yunus: 5)

Ayat ini ialah suatu pernyataan fenomena yang terang yakni Allah swt telah menetapkan manzilah (tempat-tempat) bagi pengiraan berkaitan masa seperti tahun.

Tetapi ada juga ayat berbentuk isyarat yang melibatkan prinsip dan panduan ke arah penemuan dalam proses penerokaan ilmu khususnya penerokaan ilmu sains. Umpamanya tentang keunikan cap jari manusia, Allah swt telah memberi isyarat akan fenomena ini melalui firmanNya:

Maksudnya: Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)? Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain). (Surah al-Qiyamah: 3-4)

Semasa ayat tersebut diturunkan, masyarakat Mekah khususnya dan masyarakat dunia amnya belum mengetahui keunikan akan cap jari manusia yang boleh dijadikan sebagai instrumen bagi mengenal pasti identiti seseorang individu.

Ia hanya terbongkar pada kurun ke-19; kira-kira selepas lebih dari 1000 tahun al-Quran diturunkan menerusi penyelidikan ilmu sains forensik moden (seawal 1858).

Kegemilangan tamadun Islam (754 M – 833 M) sebenarnya sinonim dengan usaha pembersihan hati. Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya dalam jasad manusia itu terdapat segumpal daging, apabila ia baik, maka baiklah seluruh anggota jasadnya dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh anggota jasadnya. Ketahuilah yang dimaksudkan dengan segumpal daging itu ialah hati.” (H.R. al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)).

Imam al-Ghazali mengibaratkan hati sebagai raja dan anggota adalah tentera-tentera yang bertugas melaksanakan kehendak raja atau pemerintah.

Merujuk kepada sabda Rasulullah s.a.w. dan pandangan Imam al-Ghazali itu ternyatalah bahawa kebersihan hati adalah asas utama yang akan membawa kepada kebersihan amalan, tingkah laku, usaha penemuan dan matlamat kehidupan.

Walaubagaimanapun apa yang wajib menjadi matlamat dalam penerokaan ini ialah ‘kebaikan’ (al-khair). Ini adalah kerana Islam menjadikan asas-asas ilmu bercirikan kebaikan, begitu juga matlamatnya mestilah ke arah kebaikan lantas melengkapi marhalah-marhalah penerokaan ini.

Ini adalah kerana Allah s.w.t tidaklah menciptakan semua yang ada ini melainkan dengan ilmu, yakni pengetahuan yang meliputi segala macam kemanfaatan.

Dia jugalah yang mengeluarkan dari mahklukNya yang hanya sedikit sekali jumlahnya golongan yang benar penyaksiannya dari hati para manusia yang benar-benar arif lagi mengerti apa makna tauhid yang sesungguhnya.

Sebaik contoh ahli-ahli sains Islam yang ingin dicontohi adalah mereka yang telah kembali menemui Allah s.w.t. Seyogialah cendiakawan Islam yang lampau.

Kenapa? Kerana mereka telah mengenal ‘wajah zaman’ (waqi’) mereka, khususnya bagi ‘ilmu sains’, iaitu memahami keberkesanan ilmu sains dalam meningkatkan penggunaanya bagi kebaikan umat waktu tersebut. Pemahaman inilah juga meningkatkan daya saing mereka bagi memperolehi ganjaran yang hakiki dari Allah s.w.t.

‘Tsunami’ Kecerdasan Buatan

Kebelakangan ini, hangat diutarakan tentang teknologi terbaru, kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI). Ia bukan sahaja dibicarakan di dada-dada akhbar, portal-portal, media utama seperti radio dan telivisyen oleh orang awam serta kerajaan.

AI digunakan dalam penjelajahan angkasa lepas, dalam kereta swapandu, malahan sudah berada di dalam rumah-rumah dalam bentuk peralatan kegunaan harian. Umpamanya robot vakum.

Disebabkan begitu barunya teknologi AI ini, kesapakatan dalam mentakrifnya belumlah seragam. Wikipedia menyatakan ia sebagai sebuah mesin,

Artificial Intelligence (AI), in its broadest sense, is intelligence exhibited by machines particular computer systems. It is a field of research in computer science that develops and studies methods and software that enable machine to perceive their environment and use learning and intelligence to take actions that maximize their chances of achieving defined goals. Such machines may be called AIs”.

Sementara Britannica mentafsirnya sebagai sebuah komputer atau robot yang mampu menjalankan sesuatu tugasan seperti makhluk yang berakal,

“Artificial Intelligence (AI), the ability of a digital computer or a robot to perform tasks commonly associated with intelligent beings.”

Syarikat teknologi gergasi, International Business Machines Corporation (IBM) pula menyifatkan ia sebagai komputer dan mesin yang berupaya mensimulasikan kecerdasan manusia,

Artificial Intelligence, or AI, is technology that enables computers and machines to simulate human intelligence and problem-solving capabilities.”

Namun begitu, penulis merasakan pentafsiran yang diberikan oleh Nigel Toon (2024) dalam buku terbarunya, How AI Thinks adalah lebih berhati-hati dan jelas.

Beliau menyorotkan apa itu kecerdasan, khususnya kecerdasan bagi kehidupan biologi seperti tumbuh-tumbuhan, mergastua dan termasuklah manusia.

“Intelligence is the ability and use information, in adapt to adapt and survive.”

Setelah maksud kecerdasan itu difahami, maka barulah Toon menghuraikan AI dengan panjang lebar dan teliti seperti berikut,

“AI is the most powerful tool that humans have yet created, and we are just beginning to learn how potent it could be. It has the power to increase our own incredible human intelligence, helping us to solve complex problems that were previously impossible. But AI also brings with it many challenges-profound changes lie ahead.”

Pendek kata, Toon yang juga pengasas syarikat Graphcore dan usahawan kecerdasan buatan terkemuka, menegaskan bahawa AI hanyalah alat yang mampu meningkatkan kecerdasan manusia untuk menyelesaikan masalah kompleks, tetapi juga membawa banyak cabaran bersamanya.

Antaranya ialah cabaran terhadap Islam sepertimana yang cuba dihuraikan oleh Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam Al-Mawaqif #22, Masa Depan Islam dan AI bagi menghadapinya.

Begitu juga Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam nota nasihat No. 2/2023, Penggunaan Teknologi Kecerdasan Buatan Generatif Dalam Pendidikan Tinggi, khususnya potensi dan risiko kualiti penggunaan AI dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Umpamanya, aplikasi AI Generatif (generative AI) seperti ChatGPT dan Bard mampu menjana maklumat baru begitu mudah, bila disalah gunakan, ia boleh mengeluarkan fatwa-fatwa agama yang sonsang dan menerbitkan ayat-ayat Al-Quran yang palsu oleh individu-individu yang berniat jahat lagi menyesatkan. Aplikasi DALL-E 3 dan Midjourney pula mampu menjana imej-imej baru.

Aplikasi sebegini mampu mencipta paras rupa para nabi oleh mereka yang bertujuan tidak baik. Semua perlakuan tersebut adalah dosa besar di sisi Islam.

Wajah Zaman AI

Lantaran itu, dalam konteks ‘wajah zaman’ kini, dalam era digital dan ‘tsunami’ kecerdasan buatan, khususnya kecerdasan buatan generatif, pemahaman matlamat yang digariskan di awal penulisan merupakan ke arah pemantapan daya saing sains, khususnya untuk ahli sains Islam.

Pemahaman matlamat ini mestilah melingkupi lima prinsip asas (kulliyat al-khams) bagi kepentingan umum iaitu:

pemeliharaan kesucian agama,

pengawalan kesejahteraan nyawa,

akal,

keturunan dan

harta.

Matlamat inilah juga yang memotivasikan cendiakawan Islam silam mencipta sejarah; khususnya sejarah sains dalam tamadun Islam yang diperkatakan.

Namun, matlamat tadi tidak hanya berhenti setakat itu. Matlamat seseorang yang mengaku dirinya beragama Islam, tidak kira samada beliau adalah seorang doktor atau pensyarah atau ahli astronomi atau ahli matematik atau ahli komputer ataupun ahli kajibumi ataupun ahli AI sekalipun adalah tuhanNya, Rabul Alamin….

Maksudnya: Dan bahwasanya kepada Tuhanmulah kesudahan (segala sesuatu) ” (Surah An-Najm: 42)

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku ” (Surah Adh-Dhariyat: 56)

Walahua’lam.

-- BERNAMA

Dr. Tahir Ahmad ialah Felo Persatuan Sains Matematik Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)