Setiap 4 Oktober, dunia menyambut Hari Haiwan Sedunia sebagai peringatan bahawa kelestarian bumi berkait rapat dengan nasib haiwan.
Tema tahun ini, “Save Animals, Save the Planet”, memberi isyarat jelas: tanpa haiwan, ekosistem tidak dapat berfungsi, dan tanpa ekosistem yang sihat, masa depan manusia sendiri terancam.
Di Malaysia, isu haiwan bukan sekadar simbol atau wacana global. Ia hadir dalam bentuk nyata.
Harimau Malaya yang hampir pupus, gajah Asia yang kehilangan habitat, anjing jalanan yang menimbulkan risiko keselamatan, dan kucing terbiar yang menjadi wajah kota.
Cara kita bertindak balas terhadap cabaran ini mencerminkan tahap kesedaran dan kesediaan kita mengurus bumi sebagai amanah generasi akan datang.
Harimau Malaya: Ikon Negara di Ambang Pupus
Harimau Malaya ialah lambang negara, terpampang pada jata, jersi kebangsaan, dan kisah budaya Melayu. Namun populasinya kini berada di ambang pupus.
Menurut bancian nasional 2016–2018, yang meliputi 75% habitat utama, bilangan harimau yang direkodkan berada di bawah 150 ekor.
Pada Februari 2025, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengesahkan bahawa populasi Harimau Malaya kekal di bawah 150 ekor. Angka ini meletakkan Harimau Malaya antara subspesies harimau paling terancam di dunia.
Ancaman utama termasuk pemburuan haram, penyeludupan antarabangsa melalui pelabuhan nelayan, jerat di hutan, serta kemalangan jalan raya di laluan utama seperti Lebuhraya Timur–Barat.
Antara kes yang direkodkan ialah seekor harimau betina mati dilanggar pada November 2021, dan seekor harimau jantan juga mengalami nasib yang sama pada Mei 2022.
Sekurang-kurangnya enam ekor dilaporkan mati akibat pelanggaran kenderaan dalam dua tahun kebelakangan ini.
Kehilangan Harimau Malaya bukan sekadar tragedi ekologi, tetapi juga kehilangan identiti nasional. Sebagai pemangsa puncak, kehilangannya akan merosakkan keseimbangan ekosistem hutan hujan tropika yang menjadi nadi alam sekitar kita.
Gajah Asia: Konflik Habitat dan Manusia
Populasi gajah Asia di Semenanjung Malaysia dianggarkan sekitar 1,000–1,200 ekor sahaja.
Tekanan paling besar datang daripada kehilangan habitat akibat pembalakan, ladang sawit, pembangunan infrastruktur, dan fragmentasi hutan.
Apabila habitat terganggu, gajah sering memasuki kampung atau kawasan ladang untuk mencari makanan.
Konflik ini mengakibatkan kerosakan tanaman dan ketegangan antara komuniti dan hidupan liar. Beberapa kes turut melibatkan kematian gajah akibat tembakan atau racun.
Usaha pemindahan gajah sering dijalankan oleh Jabatan PERHILITAN, termasuk di Pahang dan Perak.
Namun, keberkesanan jangka panjangnya terhad kerana kos tinggi, logistik yang rumit, dan kesukaran gajah menyesuaikan diri di lokasi baru.
Tambahan pula, terdapat kes gajah mati dilanggar kenderaan di lebuh raya berhampiran hutan yang diteroka, membuktikan bahawa kehilangan habitat terus menjejaskan keselamatan spesies ini.
Konflik manusia-gajah ini adalah petanda jelas bahawa keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian semakin goyah.
Menyelamatkan gajah bermakna melindungi hutan sebagai tadahan air, penyimpan karbon, dan pelindung biodiversiti.
Anjing Jalanan: Antara Risiko dan Tanggungjawab
Isu anjing jalanan semakin mencuri perhatian kerana insiden tragis yang menimpa masyarakat.
Pada Januari 2025, seorang wanita warga emas maut diserang anjing di Terminal Bas Kunak, Sabah.
Pada April, dua ekor Rottweiler terlepas dari sebuah rumah di Kuala Ketil, Kedah, lalu mencederakan lima orang termasuk seorang pelajar antarabangsa.
Pada 22 Julai 2025, seorang bayi 19 bulan maut akibat diserang anjing liar di Kampung Orang Asli Sungai Buloh, Selangor.
Setiap insiden mencetuskan rasa cemas dalam kalangan masyarakat.
Namun, tindak balas yang diberikan biasanya bersifat sementara, sama ada membiarkan isu berlarutan tanpa penyelesaian, atau mengambil tindakan drastik melalui pelupusan besar-besaran.
Hakikatnya, kedua-dua pendekatan ini tidak mampu mengatasi punca sebenar masalah.
Antara kaedah berperikemanusiaan untuk mengawal populasi anjing jalanan ialah Trap-Neuter-Return (TNR), iaitu menangkap anjing, memandulkan, memberi vaksin, dan kemudian melepaskannya semula ke kawasan asal.
Versi yang lebih teratur, Trap-Neuter-Return-Manage (TNRM), pula menambah elemen pemantauan dan rekod bagi memastikan haiwan yang dilepaskan tidak dibiarkan tanpa kawalan.
Pendekatan yang semakin mendapat perhatian ialah Trap-Neuter-Shelter-Adopt (TNSA).
Dalam model ini, anjing yang sudah dimandulkan dan divaksin tidak lagi dilepaskan ke jalanan, tetapi ditempatkan di pusat perlindungan dengan peluang untuk diadopsi secara bertanggungjawab.
Pendekatan-pendekatan ini adalah cerminan bagaimana kita memilih untuk hidup bersama haiwan lain di bumi ini.
Jika kita hanya melihat mereka sebagai gangguan, kita cenderung kepada pelupusan.
Tetapi jika kita melihat mereka sebagai sebahagian daripada ekosistem yang kita kongsi bersama, maka penyelesaian seperti TNR, TNRM dan TNSA menjadi bukti kasih sayang yang diterjemahkan kepada tindakan.
Hari Haiwan Sedunia mengingatkan bahawa menyelamatkan haiwan bukan semata-mata soal belas kasihan, tetapi juga soal menyelamatkan keharmonian bumi yang kita warisi.
Kucing Jalanan: Antara Belas Kasihan dan Tanggungjawab
Kucing, haiwan yang paling rapat dengan manusia, sering kali menjadi simbol kasih sayang dan teman setia di rumah.
Namun di jalanan, mereka berdepan realiti yang amat berbeza. Jumlah kucing terbiar di bandar-bandar besar Malaysia semakin meningkat.
Kajian oleh NGO pada 2022 menganggarkan puluhan ribu kucing jalanan berada di Kuala Lumpur, Shah Alam, dan Johor Bahru.
Masalah ini bukan sekadar penderitaan kepada kucing yang terdedah kepada penyakit, kelaparan, dan kecederaan, tetapi turut memberi kesan kepada kesihatan awam.
Kucing jalanan yang tidak divaksin berisiko menyebarkan penyakit kepada manusia.
Walaupun ada usaha sukarelawan yang menjalankan program vaksinasi dan pemandulan, kekangan dana, fasiliti, dan sokongan awam menyebabkan impaknya masih terbatas.
Lebih merisaukan, sikap membuang kucing peliharaan tanpa rasa tanggungjawab kekal menjadi punca utama peningkatan kucing terbiar.
Jika masyarakat benar-benar memahami konsep pemilikan haiwan yang bertanggungjawab termasuk vaksinasi, pemandulan serta komitmen jangka panjang terhadap haiwan peliharaan, kitaran kucing jalanan ini boleh dikawal dengan lebih berkesan.
Hari Haiwan Sedunia mengingatkan kita bahawa belas kasihan tidak seharusnya berhenti pada simpati semata-mata.
Ia perlu diterjemahkan kepada tindakan nyata, kerana menjaga kebajikan kucing-kucing ini bukan sahaja menyelamatkan nyawa, tetapi juga membantu mewujudkan komuniti yang lebih sihat dan bumi yang lebih lestari untuk semua.
Penutup: Amanah Bersama
Hari Haiwan Sedunia bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi peluang untuk menilai kembali hubungan kita dengan makhluk lain di bumi ini.
Dari harimau di rimba, gajah yang kehilangan habitat, anjing jalanan yang menimbulkan kebimbangan, hinggalah kucing terbiar di lorong bandar, setiap isu mencerminkan sejauh mana kita memahami konsep kelestarian alam.
Jika benar kita ingin menyelamatkan planet, kita mesti bermula dengan menyelamatkan haiwan. Undang-undang seperti Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 perlu dikuatkuasakan dengan konsisten.
Pendidikan awam perlu diperkasa, dan kerjasama rentas agensi serta masyarakat sivil mesti dipertingkatkan.
Tema “Save Animals, Save the Planet” menuntut kita untuk melihat haiwan bukan sekadar objek atau simbol, tetapi sebagai sebahagian daripada kehidupan yang menyokong kewujudan kita.
Malaysia mampu menjadi contoh negara yang menggabungkan pembangunan dengan kasih sayang terhadap semua makhluk.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Arif Fahmi Md Yusof ialah pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).