Kajian yang dijalankan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) berkenaan keadaan kewangan atlet pelapis negara telah mendedahkan satu realiti yang sering diabaikan dalam perbincangan tentang pembangunan atlet di Malaysia.
Menurut kajian yang melibatkan atlet berusia antara 15 hingga 30 tahun dalam pelbagai sukan, sebanyak 88% daripada atlet pelapis ini tidak mempunyai pekerjaan tetap, sekali gus mencadangkan bahawa mereka bergantung sepenuhnya kepada sumber pendapatan yang bersifat sementara, seperti wang hadiah kejohanan dan tajaan.
Dapatan ini memberikan gambaran yang jelas tentang ketidaktentuan kewangan yang dihadapi oleh atlet muda di negara ini, yang boleh memberi kesan negatif terhadap prestasi sukan mereka serta kesejahteraan jangka panjang selepas tamat karier.
Salah satu masalah utama yang diketengahkan oleh kajian AKPK adalah ketidakmampuan sebahagian besar atlet untuk mengurus kewangan mereka dengan baik.
Kajian tersebut mendapati bahawa 33% daripada atlet pelapis tidak mempunyai simpanan kecemasan sekurang-kurangnya RM1,000.
Situasi ini amat merisaukan kerana ia menunjukkan bahawa mereka tidak memiliki perlindungan kewangan untuk menghadapi situasi darurat, seperti kecederaan atau kehilangan pendapatan akibat prestasi yang merosot.
Dalam konteks ini, kurangnya pendidikan kewangan dalam kalangan atlet muda ini boleh dianggap sebagai satu isu besar yang memerlukan perhatian segera.
Dari perspektif akademik, kekurangan pengetahuan dan pendedahan mengenai pengurusan kewangan yang betul dalam kalangan atlet muda harus dilihat sebagai satu kekosongan yang perlu dipenuhi dalam sistem pembangunan atlet negara.
Bagi memastikan keberkesanan pembangunan atlet, aspek kesejahteraan kewangan mereka tidak boleh diketepikan.
Dalam banyak kes, atlet muda cenderung untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan dan kejohanan tanpa menyedari bahawa pengurusan kewangan yang baik adalah kunci untuk memastikan kelestarian hidup selepas tamat karier sukan.
Modul Literasi Kewangan
Oleh itu, inisiatif untuk membangunkan modul literasi kewangan khusus untuk atlet muda perlu dipertimbangkan secara serius.
Modul ini seharusnya meliputi pengurusan bajet, kepentingan simpanan kecemasan, serta pengurusan risiko yang boleh membantu mereka mengelakkan masalah kewangan pada masa depan.
Selain itu, kajian AKPK turut mencadangkan bahawa 55% atlet pelapis negara tidak memiliki perlindungan insurans atau takaful, menjadikan mereka sangat terdedah kepada risiko kewangan akibat kecederaan atau masalah kesihatan yang tidak dijangka.
Ketidakhadiran perlindungan kewangan ini menunjukkan bahawa kebajikan emosi dan sosial atlet pelapis negara masih berada pada tahap yang rendah.
Ketiadaan sokongan kewangan yang mantap boleh menyebabkan mereka terpaksa membuat keputusan yang merugikan, seperti meminjam wang, menjual barang peribadi, atau menangguhkan rawatan perubatan hanya untuk terus bertahan dalam latihan dan kejohanan.
Penting untuk diingat bahawa kerjaya dalam sukan tidak seharusnya menjadi satu-satunya sumber pendapatan bagi atlet muda.
Sistem Pembangunan Atlet
Oleh itu, sistem pembangunan atlet perlu mengambil kira aspek kebajikan akademik mereka.
Atlet pelapis seharusnya diberikan peluang untuk mengimbangi kerjaya sukan dengan pendidikan yang relevan, yang boleh menyediakan mereka dengan peluang pekerjaan yang lebih luas selepas tamat karier sukan.
Ini adalah salah satu cadangan utama yang perlu dipertimbangkan oleh pihak berwajib, termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN).
Dalam kajian yang dijalankan oleh AKPK, juga dinyatakan bahawa pelbagai jenis sukan seperti bola sepak, ragbi, tinju, gimnastik dan olahraga, merupakan sukan yang sering kali dijalani oleh atlet yang tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.
Hal ini menunjukkan bahawa kebanyakan atlet ini tidak mempunyai pekerjaan sambilan atau peluang pekerjaan yang stabil di luar sukan.
Dalam konteks ini, sistem sokongan yang lebih holistik, termasuk peluang latihan pekerjaan tetap atau sambilan, perlu diwujudkan untuk memastikan kesejahteraan kewangan mereka.
Negara-negara lain di Asia Tenggara, seperti Thailand dan Indonesia, telah menunjukkan contoh yang baik dengan menawarkan kerjaya sokongan seperti askar atau pegawai kerajaan kepada atlet yang ingin mengekalkan keseimbangan antara kerjaya sukan dan pekerjaan tetap.
Merancang Masa Depan Atlet
Pendekatan seperti ini dapat membantu atlet dalam merancang masa depan mereka dan mengurangkan ketergantungan terhadap wang hadiah kejohanan yang bersifat sementara.
Menerusi kajian ini, beberapa cadangan telah dikemukakan oleh AKPK untuk memperbaiki keadaan kewangan atlet pelapis negara.
Antaranya adalah usaha untuk memperkenalkan pendidikan kewangan yang lebih berstruktur kepada atlet muda, serta menubuhkan modul literasi kewangan yang komprehensif yang melibatkan elemen-elemen seperti pengurusan bajet, pengetahuan mengenai simpanan dan pelaburan, serta pengurusan risiko.
Modul ini perlu dilaksanakan dengan kerjasama antara KBS, MSN dan persatuan sukan di seluruh negara.
Selain daripada pendidikan kewangan, adalah penting juga untuk memperkenalkan polisi yang memberi peluang kepada atlet untuk menjalani attachment pekerjaan tetap atau sambilan, seperti yang diamalkan di negara-negara lain.
Ini bukan sahaja memberi mereka kestabilan kewangan, tetapi juga membuka peluang bagi mereka untuk membina kerjaya selepas bersara daripada dunia sukan.
Ini akan memperkukuh kesejahteraan keseluruhan atlet, memberi mereka pelbagai peluang di luar sukan dan membantu mereka merancang kehidupan selepas tamat karier.
Kesimpulannya, kajian oleh AKPK memberikan gambaran jelas mengenai keadaan kewangan yang dihadapi oleh atlet pelapis negara.
Kesejahteraan kewangan mereka perlu dijaga dengan memberi lebih banyak perhatian kepada aspek pendidikan kewangan dan sokongan pekerjaan yang seiring dengan perkembangan semasa.
Dengan melaksanakan langkah-langkah ini, bukan sahaja atlet pelapis negara akan lebih bersedia menghadapi masa depan selepas karier sukan mereka, tetapi Malaysia juga akan dapat melahirkan atlet yang bukan sahaja berjaya di gelanggang, tetapi juga bijak menguruskan kewangan peribadi mereka untuk kehidupan selepas sukan.
-- BERNAMA
Dr Mohd Zulfadli Rozali ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan Teknikal & Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).