TINTA MINDA

Belanjawan Madani 2026: Islam Terus Subur Di Malaysia

14/10/2025 02:10 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Senator Dr Zulkifli Hasan

Belanjawan Madani 2026 sekali lagi menunjukkan komitmen dan keazaman kerajaan Madani untuk memastikan Islam terus subur dan mekar di Malaysia.

Peruntukan untuk hal ehwal agama bukan sahaja terus meningkat malahan beberapa inisiatif baharu juga diperkenalkan.

Pemerkasaan institusi pondok, tahfiz, sekolah agama rakyat termasuk pengukuhan institusi masjid dengan peruntukan dan inisiatif khusus seperti menerapkan ilmu kecerdasan buatan dan digital antara yang paling signifikan ke arah menyuburkan lagi perkembangan Islam di Malaysia.

Firman Allah SWT:

“Dan berikanlah kepada kerabatmu, orang miskin dan orang musafir akan haknya masing-masing, dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros. Sesungguhnya orang yang membazir itu ialah saudara syaitan.” (Surah al-Isra’, 17:26-27)

Ayat ini dipilih sebagai mukadimah ucapan belanjawan yang menggariskan prinsip asas dalam pengurusan harta dan pemerintahan iaitu keadilan, keseimbangan dan tanggungjawab sosial.

Prinsip inilah yang menjadi ruh kepada Belanjawan Madani 2026, apabila kerajaan memperuntukkan RM470 bilion untuk terus memacu pembangunan negara.

Belanjawan ini secara keseluruhannya bukan sekadar angka dan unjuran, tetapi manifestasi kepada hasrat besar untuk membina sebuah Malaysia Madani yang menegakkan maruah rakyat, memperkukuh syiar Islam dan memelihara kesejahteraan sejagat.

Syiar Islam Terus Diperkukuhkan

Kerajaan terus menzahirkan komitmen yang tinggi terhadap pembangunan Islam secara menyeluruh dengan peruntukan RM2.6 billion bagi memartabatkan syiar Islam.

Ini menyaksikan peningkatan sebanyak RM600 juta berbanding peruntukan pada tahun lepas.

Rekod menunjukkan bahawa kerajaan Madani secara konsisten memberi peruntukan tambahan setiap tahun dari RM1.5 bilion pada 2023, RM1.9 billion pada 2024 dan RM2 billion pada 2025.

Langkah ini memperlihatkan bahawa dalam arus kemodenan dan digitalisasi, perkembangan Islam sama sekali tidak dipinggirkan, sebaliknya terus menjadi tunjang kepada pembangunan insan dan negara di bawah pentadbiran kerajaan Madani. Antara inisiatif penting berkaitan hal ehwal agama termasuklah:

-Penambahbaikan prasarana sekolah agama rakyat, tahfiz dan pondok dengan peruntukan sebanyak RM150 juta, termasuk penggantian peralatan pengajian yang telah usang.

- Latihan kemahiran profesional (TVET) kepada 720 pelajar tahfiz melalui GiatMARA, agar mereka bukan sekadar hafiz al-Quran, tetapi juga memiliki kemahiran untuk menyumbang dalam pasaran kerja.

- Penganjuran Majlis Sama‘ Hadis 2026, sebagai wadah menghidupkan tradisi ilmu dan sanad yang menjadi warisan Rasulullah SAW. Majlis Sama’ Hadis ini telah mula diperkenalkan kerajaan Madani pada

2024.

- Penghasilan 1 juta naskhah al-Quran dalam 30 bahasa dunia melalui kerjasama Yayasan Restu dan JAKIM, yang memperkukuh diplomasi Islam Malaysia di peringkat antarabangsa.

- Pembinaan Kompleks Madinatul Quran di Putrajaya dan pengenalan Mushaf MADANI bagi memperluas budaya tadabbur dan pembacaan al-Quran di peringkat nasional.

- Peningkatan had pengeluaran KWSP untuk menunaikan Haji kepada RM10,000, membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk melaksanakan kefarduan rukun Islam yang kelima ini.

Selain itu, pengiktirafan kepada institusi masjid turut diperkasa melalui Anugerah Masjid Malaysia dan Konvensyen Masjid, yang akan mengangkat peranan masjid sebagai pusat komuniti berdaya saing dan berilmu, bukan sekadar tempat ibadah ritual.

JAKIM juga sudah memulakan usaha untuk menubuhkan Yayasan Pembangunan Masjid Malaysia dengan hasrat untuk meningkatkan kemampanan pentadbiran, pengurusan dan penyelarasan masjid di seluruh negara.

Kesemua ini menjadi bukti, dan kita semua menjadi saksi, betapa Islam terus subur dan mekar di bumi Malaysia yang tercinta ini. Belanjawan 2026 menyediakan peruntukan yang besar dan signifikan berkaitan hal ehwal agama merangkumi aspek pendidikan, pentadbiran dan pengurusan Islam dan institusi termasuk pemakmuran majlis ilmu yang menyeluruh.

Menjulang Ekonomi Islam Berdaya Maju

Laporan oleh State of the Global Islamic Economy Report pada Julai 2025, telah sekali lagi menobatkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Islam global, sekaligus mengekalkan kedudukan No. 1 dalam Indeks Ekonomi Islam Global (GIEI) untuk lebih 11 tahun berturut-turut.

Malaysia terus mendahului dunia dalam sektor kewangan Islam sama ada dari aspek pendidikan, pasaran, penyelidikan dan pembangunan, nilai aset, dan daya cipta dan inovasi.

Namun, pencapaian ini bukannya alasan untuk kekal di zon selesa, sebaliknya menuntut kita terus berusaha memperkasa dan menambah baik sektor kewangan Islam, perbankan, takaful, wakaf dan sektor halal dari segenap aspek.

Justeru Belanjawan MADANI 2026 memperkenalkan pelbagai langkah reformasi untuk memperkukuh sistem kewangan Islam yang bukan sahaja patuh syariah, tetapi juga inklusif dan lestari. Antara langkah utama termasuk:

- Model pembiayaan berasaskan perkongsian risiko seperti musyarakah dan murabahah, serta blended finance yang membuka ruang kepada pembiayaan yang inovatif dan adil.

- Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan dijadikan Hab Kewangan Islam Digital, menerajui inisiatif Tokenisasi Sukuk yang membolehkan perdagangan sukuk dilaksanakan secara telus dan runcit melalui bursa digital.

- Sukuk Iklim diperkenalkan untuk membiayai projek hijau dan menyediakan dividen dalam bentuk kredit karbon satu gabungan harmoni antara prinsip Islam dan keprihatinan terhadap alam sekitar.

Kerajaan bukan hanya hanya memfokuskan perkembangan dalam sektor swasta tetapi juga menekankan inovasi di sektor ketiga atau sukarela.

Belanjawan menyebut keperluan kepada memperbaharui dan mengembangkan konsep wakaf yang lebih progresif agar kekal relevan dengan keperluan masa kini.

Projek Taman Wakaf Seetee Aisah dan Taman Sultan Sallehuddin dengan nilai pelaburan hampir RM250 juta kini sedang dirangka, manakala Sukuk Wakaf Tunai Berinovasi (Tokenisasi) akan membolehkan dana wakaf digunakan untuk membiayai pendidikan khas, pusat autisme dan rawatan paliatif. Ini adalah kesinambungan usaha kerajaan untuk memperkasakan wakaf di mana Belanjawan 2025 telah memperuntukkan juga bajet khas untuk wakaf iaitu RM300 juta oleh KWAP dan RM200 juta oleh UDA.

Ekosistem industri halal juga terus diperkasa, dari sudut kepantasan pengeluaran sijil halal dan galakan pematuhan standard halal dalam kalangan syarikat.

Begitu juga tawaran pembiayaan berjumlah 100 juta ringgit dan jaminan kerajaan yang mencecah RM2 bilion bagi PMKS halal yang pastinya memanfaatkan sekian ramai peniaga-peniaga kecil dan sederhana.

Kerajaan juga akan membangunkan Taman Industri Halal Perak di daerah Manjung dengan kos sebanyak RM 124 juta.

Ekosistem halal yang bersepadu akan terus menyemarakkan lagi sektor ini yang kini mencecah nilai RM146.6 bilion setakat 2024.

Setakat ini, Malaysia terus mendahului dunia dari aspek halal di mana JAKIM sudah mengiktiraf sebanyak 88 badan pensijilan halal dari 49 buah negara mengatasi mana-mana negara di dunia.

Madani Bekerja untuk Semua

Belanjawan MADANI turut menzahirkan keprihatinan dari lubuk hati yang paling dalam terhadap rakyat terbanyak, khususnya golongan rentan dan yang memerlukan.

Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meningkat kepada RM15 bilion pada Belanjawan 2026, berbanding RM13 billion pada 2025 yang memberi manfaat kepada sembilan juta penerima.

Antara inisiatif besar yang menarik perhatian ramai dalam Belanjawan kali ini termasuklah Pendidikan Percuma PTPTN kepada 5,800 pelajar keluarga miskin di IPTA dengan peruntukan kira-kira RM120 juta setahun.

Selain itu, kerajaan meneruskan polisi pengecualian bayaran balik pinjaman bagi yang memperoleh keputusan cemerlang. Inisiatif ini memberikan manfaat yang besar dalam bentuk pendidikan percuma kepada golongan yang memerlukan.

Selain itu, bagi menghargai jasa-jasa agamawan yang menyumbang kepada negara, sumbangan khas RM500 kepada 70,000 guru KAFA, imam, bilal, tok siak dan marbut turut diumumkan dalam Belanjawan.

Pada tahun lalu, kerajaan juga telah meluluskan 1500 perjawatan baharu bagi guru KAFA. Walaupun masih kecil jumlah dan bilangannya, tetapi ia sangat bermakna kepada warga pendidikan dan hal ehwal agama.

Selari dengan Dasar OKU Negara, bantuan RM1.4 billion kepada golongan OKU juga telah diperuntukkan, termasuk pembinaan Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) dan penyediaan 100 buah van mobiliti khas.

Dalam konteks hal ehwal agama, usaha pemerkasaan OKU juga dilaksanakan di mana kerajaan telah melancarkan Pelan Tindakan Agensi Agama Bagi OKU Muslim 2024-2028 bagi memperkasakan OKU beragama Islam.

Usaha membasmi kemiskinan juga dipergiatkan. Alhamdulillah, hanya dalam masa beberapa tahun kerajaan Madani, kadar kemiskinan tegar telah menyaksikan penurunan daripada 0.2 peratus kepada 0.09 peratus atau sekitar 7,000 isi rumah seluruh negara.

Langkah ini berpotensi untuk menamatkan kemiskinan tegar di Malaysia buat pertama kali dalam sejarah hasil pelaksanaan dasar inklusif di bawah gagasan Malaysia Madani.

Sebagai contoh, program Misi Bersama Miskin Tegar yang dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan antara inisiatif yang berjaya menokhtahkan miskin tegar di Wilayah Persekutuan.

Kecaknaan Belanjawan ini terhadap nasib orang miskin, OKU, orang tua, wanita dan kanak-kanak, membuktikan iltizam kerajaan Madani bagi mengangkat martabat rakyat.

Seperti kata Nelson Mandela “kehebatan sesebuah negara itu diukur dengan bagaimana ia melayani kelompok yang paling rentan.” Inilah ruh ihsan dalam pemerintahan Madani cuba memastikan tiada kelompok yang tertinggal dan semuanya adalah terbela sebaiknya.

Tadbir Urus Cekap dan Beramanah, Bebas Rasuah

Keberkatan dalam pemerintahan tidak akan hadir tanpa kejujuran dan tatakelola. Sejak pelaksanaan dasar Madani, agensi penguatkuasa seperti SPRM, PDRM, KPDN, JKDM dan MyCC berjaya memulihkan hampir RM15.5 billion hasil rampasan dan kutipan penalti sepanjang tahun 2024 dan 2025. Ini membuktikan tekad kerajaan untuk membanteras rasuah, ketirisan dan penyelewengan mula menampakkan hasilnya.

Polisi keseluruhan penyasaran subsidi yang dilaksanakan kerajaan juga menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 billion setahun.

Ini merangkumi pengapungan harga telur dan ayam, penstrukturan tarif elektrik, penyasaran subsidi diesel dan RON95.

Langkah penyasaran subsidi meskipun ditentang oleh segelintir pihak, namun, tiada sesiapa yang boleh menafikan bahawa subsidi secara pukal selama ini antara yang menjadi faktor ketirisan.

Subsidi yang sepatutnya disasarkan kepada yang memerlukan tetapi turut dinikmati warga asing, golongan maha kaya dan syarikat besar yang sepatutnya tidak berhak menerima subsidi.

Dengan setiap penjimatan menerusi penyasaran subsidi ini akan dapat dipulangkan kepada rakyat dan disalurkan untuk kebajikan, prasarana, infrastruktur, bantuan kos sara hidup termasuk pelaburan.

Menyubur Hati, Memakmur Negara

Belanjawan Madani 2026 bukan sekadar dokumen ekonomi tetapi ia adalah piagam moral dan perancangan strategik untuk membina negara dan membela nasib rakyat dan ummah.

Meskipun belanjawan ini berkisar soal polisi fiskal dan monetari Malaysia, dalam ucapan semasa pembentangan Belanjawan, YAB PMX tidak lupa menyentuh keprihatinan Malaysia terhadap isu global, khususnya krisis kemanusiaan di Gaza.

Malaysia terus konsisten menegakkan prinsip keadilan dan solidariti kemanusiaan sejagat.

Belanjawan Madani 2026 adalah dokumen penting negara bagi jangka masa setahun yang menjadi sebahagian daripada perancangan jangka masa panjang negara iaitu RMK13.

Belanjawan kali ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan Madani untuk terus meningkatkan dan menegakkan syiar Islam di bumi Malaysia.

Peruntukan bagi hal ehwal agama ditambah secara signifikan dan beberapa inisiatif baharu berkenaan pendidikan Islam, institusi pondok, tahfiz dan sekolah agama rakyat, wakaf, halal termasuk program mengimarahkan budaya ilmu secara lebih menyeluruh diperkenalkan.

Walaupun Belanjawan Madani 2026 ini boleh dikatakan menyeluruh dan komprehensif tetapi masih ada banyak ruang yang boleh ditambah baik.

Bukan semua boleh dilakukan secara sekaligus kerana ada perkara yang memerlukan masa lebih panjang untuk dilaksanakan.

Saya suka mengambil kata-kata hikmah Pak Natsir mengenai peri pentingnya perancangan dalam kehidupan. Beliau berkata “yang senang kita buat sekarang, yang susah kita buat nanti, yang mustahil kita buat esok.

Ada yang bertanya kenapa mustahil pun dibuat esok? Dia bilang mustahil itu pada perkiraan hari ini, esok mungkin sudah tidak lagi mustahil”. Belanjawan Madani, memacu ekonomi memperkasa rakyat.

--BERNAMA

Senator Dr Zulkfli Hasan ialah Timbalan Menteri (Agama) Di Jabatan Perdana Menteri

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)