Gen Z, yang lazimnya merujuk kepada individu lahir antara 1997 hingga 2012, adalah generasi yang membesar dalam era transformasi teknologi paling pesat dalam sejarah manusia.
Pada tahun 2026, Gen Z berusia antara 14 hingga 29 tahun. Gen Z ini, dunia mereka terbentuk oleh internet, telefon pintar, kecerdasan buatan (AI), media sosial serta budaya global yang sentiasa berubah.
Mereka menjadi saksi kepada perubahan besar dalam gaya hidup, pendidikan dan persekitaran kerja.
Justeru, kekuatan mereka bukan sahaja lahir daripada kemampuan teknikal, tetapi turut terbentuk melalui pengalaman unik yang tidak pernah dilalui oleh generasi terdahulu.
Gen Z: Mempunyai Keupayaan Adaptasi Tinggi
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, generasi Z sering diberikan pelbagai label yang kurang enak didengar, seperti “Generasi Strawberi” hinggalah “generasi mudah rapuh”.
Stereotaip ini mewujudkan gambaran seolah-olah mereka tidak cukup berdaya saing dalam menghadapi cabaran dunia moden.
Namun, persepsi ini tidak hanya tidak tepat, tetapi juga menafikan kekuatan sebenar yang dimiliki generasi ini.
Hakikatnya, Gen Z merupakan kumpulan yang memiliki potensi kepimpinan luar biasa dan berupaya memacu masa depan negara ke arah lebih progresif dan inklusif.
Kekuatan paling ketara Gen Z ialah keupayaan adaptasi yang tinggi. Mereka tidak sekadar menggunakan teknologi malah mereka membesar bersamanya.
Kemahiran digital mereka berada jauh di hadapan generasi lain, membolehkan mereka bergerak pantas dalam dunia kerja yang semakin bergantung kepada automasi, data dan AI.
Gen Z juga mampu mempelajari perisian baharu dengan cepat, menyesuaikan diri dengan platform kerja maya, dan memanfaatkan teknologi untuk menyelesaikan masalah. Ini menjadikan mereka aset penting dalam ekonomi digital negara.
Keupayaan Menyesuaikan Diri, Berfikir Secara Kritis
Keupayaan menyesuaikan diri ini turut terserlah semasa pandemik Covid-19. Dalam sekelip mata, seluruh sistem pendidikan berubah ke medium dalam talian.
Walaupun mereka terpaksa berdepan kekangan pembelajaran maya, kekurangan interaksi fizikal dan terhadnya aktiviti praktikal, generasi ini terus bertahan.
Mereka belajar cara baharu untuk memahami silibus, memanfaatkan platform digital, dan menyusun strategi pembelajaran kendiri.
Keupayaan bertahan dalam sistem yang terganggu ini menunjukkan ketahanan psikologi dan mental yang jarang ditekankan dalam wacana umum.
Selain itu, Gen Z dikenali sebagai generasi yang berfikir secara kritis dan tidak takut bersuara.
Tidak seperti generasi terdahulu yang lebih cenderung menerima keadaan sebagai norma, Gen Z berani bertanyakan struktur yang tidak adil, budaya kerja toksik dan sistem yang tidak lagi relevan.
Mereka memiliki kesedaran sosial yang tinggi, peduli terhadap isu ketidakadilan, perubahan iklim, kesihatan mental dan integriti kepimpinan.
Dalam konteks kepimpinan masa depan, keberanian untuk bertanya “mengapa” dan menuntut perubahan adalah kualiti utama yang diperlukan dalam dunia yang semakin kompleks.
Kecerdasan Emosi, Lebih Terbuka
Ciri penting Gen Z yang semakin menonjol ialah kecerdasan emosi. Mereka lebih terbuka berbicara tentang tekanan, kebimbangan dan kepentingan menjaga kesejahteraan diri.
Perkara yang dahulunya disalah anggap sebagai “manja” sebenarnya mencerminkan keupayaan mengurus emosi secara matang.
Mereka memahami nilai keseimbangan hidup, keperluan sokongan mental dan pentingnya persekitaran kerja yang sihat.
Dalam dunia organisasi masa depan, pemimpin yang berupaya mengurus manusia dengan empati, mendengar dengan keikhlasan dan memimpin dengan kesedaran emosi akan menjadi aset paling bernilai.
Dari aspek kreativiti, Gen Z tidak kalah. Mereka merupakan generasi pencipta kandungan, peniaga kecil dalam talian, pembangun aplikasi dan pereka visual yang aktif.
Dengan hanya telefon pintar, mereka mampu menghasilkan karya kreatif, video pemasaran, produk digital dan platform komuniti.
Keupayaan mencipta sesuatu daripada sumber yang minimum adalah kekuatan besar dalam ekonomi inovasi.
Kreativiti Gen Z bukan sekadar bakat, tetapi refleksi cara berfikir yang pantas, bebas dan tidak terikat kepada kaedah lama.
Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat cabaran tertentu yang membentuk naratif negatif terhadap generasi ini.
Ramai dalam kalangan Gen Z menamatkan pengajian pada era pandemik, menyebabkan mereka terkesan dengan jurang kemahiran praktikal, latihan industri yang tidak mencukupi serta pembelajaran teori yang tidak seimbang.
Hal ini menimbulkan isu mismatch antara kelulusan akademik dan keperluan sebenar industri.
Tetapi penting untuk kita sedar bahawa situasi ini bukan kelemahan Gen Z, sebaliknya hasil keadaan luar biasa yang melanda seluruh dunia.
Menggelar mereka lemah hanya kerana cabaran pendidikan yang mereka hadapi adalah tidak wajar dan tidak konstruktif.
Gen Z: Pewaris Masa Depan
Apa yang lebih penting ialah bagaimana masyarakat, institusi pendidikan dan majikan boleh berganding bahu membina kekuatan sedia ada generasi ini.
Institusi pendidikan perlu melengkapkan kembali Gen Z dengan latihan praktikal dan pengalaman industri yang kukuh.
Majikan pula wajar menyediakan program on-the-job training, bimbingan profesional dan ruang untuk mereka berkembang.
Sementara itu, masyarakat harus mengubah naratif daripada mengkritik kepada menyokong, daripada melabel kepada memahami.
Jika diberikan peluang, latihan dan kepercayaan, Gen Z mampu menjadi pemimpin yang lebih progresif, strategik dan berdaya tahan berbanding generasi sebelumnya.
Mereka dibentuk oleh dunia digital, diuji oleh pandemik, dan dididik oleh pengalaman hidup yang mengajar mereka nilai kesedaran, keseimbangan dan keadilan.
Malaysia memerlukan generasi pemimpin yang mampu berfikir kritikal, memimpin dengan empati, dan mengemudi perubahan teknologi dan Gen Z memiliki kesemua ciri tersebut.
Maka, sudah tiba masanya kita menamatkan naratif “Generasi Strawberi.”
Gen Z bukan rapuh, mereka bukan manja.
Mereka adalah generasi yang sedang membesar dalam dunia paling mencabar, namun tetap berdiri, belajar dan terus melangkah ke hadapan.
Mereka bukan sekadar pewaris masa depan, tetapi pembentuk masa depan.
Dan jika kita benar-benar percaya kepada potensi mereka, Malaysia akan memiliki barisan pemimpin muda yang bukan sahaja berani dan kreatif, tetapi juga lebih bersedia memikul tanggungjawab besar membina negara yang lebih maju, inklusif dan berperikemanusiaan.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Ezrin Hani Sukadarin, CDMP ialah Profesor Madya Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan/ Pengurus Hilang Upaya Profesional Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).