TINTA MINDA

Bajet Ketat, Raya Tetap Meriah: Evolusi Rumah Terbuka 2026

08/04/2026 08:15 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Ts Aida Muhamad

Setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, rumah terbuka menjadi antara tradisi paling dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia. Ia bukan sekadar jamuan makan, tetapi lambang perpaduan, silaturahim dan budaya yang telah lama sebati dalam masyarakat kita. Di sinilah jiran bertemu, sahabat lama kembali berhubung dan perbezaan latar belakang diketepikan demi satu semangat kebersamaan.

Namun tahun ini, suasananya terasa sedikit berbeza.

Di sebalik kemeriahan persiapan raya, ramai yang mula merasai tekanan kos hidup yang semakin meningkat. Apa yang lebih membimbangkan, tekanan ini bukan hanya berpunca daripada faktor tempatan, tetapi turut dipengaruhi oleh krisis global khususnya konflik Asia Barat.

Gangguan terhadap laluan minyak utama dunia seperti Selat Hormuz telah menyebabkan harga minyak global meningkat. Kesan rantaian berlaku dengan pantas, kos pengangkutan naik, harga barang meningkat dan akhirnya rakyat biasa yang terpaksa menanggung beban. Apa yang berlaku jauh di Timur Tengah kini memberi kesan langsung kepada perbelanjaan harian rakyat Malaysia.

Ikut kemampuan

Di Malaysia, situasi ini jelas dirasai apabila harga petrol RON95 tanpa subsidi mencecah sekitar RM3.27 seliter. Walaupun kerajaan mengekalkan harga subsidi RM1.99 bagi golongan tertentu, tidak semua rakyat menikmati kelebihan ini.

Bagi sesetengah pihak, kos perjalanan harian, balik kampung dan urusan ziarah menjadi semakin mahal.

Dalam konteks ini, rumah terbuka yang dulunya sinonim dengan kemeriahan kini mula dilihat dari sudut berbeza iaitu kemampuan.

Menganjurkan rumah terbuka bukan perkara kecil. Ia melibatkan kos makanan, minuman, persiapan rumah dan kadangkala perkhidmatan katering. Dalam keadaan harga bahan mentah meningkat, ramai mula menilai semula keupayaan masing-masing.

Ayam, daging, minyak masak dan bahan asas lain turut menunjukkan kenaikan harga, menjadikan kos menyediakan hidangan semakin tinggi.

Tidak hairanlah jika ada yang memilih untuk mengadakan majlis secara sederhana. Jika dahulu hidangan disediakan dalam jumlah besar dengan pelbagai pilihan menu, kini cukup sekadar apa yang mampu. Jika dahulu jemputan terbuka luas, kini lebih terhad kepada keluarga dan kenalan rapat sahaja.

Malah, terdapat juga yang mengambil pendekatan berkongsi kos mengadakan rumah terbuka bersama ahli keluarga atau jiran bagi mengurangkan beban kewangan. Ini menunjukkan bahawa walaupun berdepan cabaran, masyarakat masih berusaha mengekalkan tradisi dengan cara yang lebih praktikal. Persoalannya, adakah ini bermakna tradisi rumah terbuka semakin pudar?Jawapannya mungkin tidak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan bahawa kerajaan berusaha mengekalkan subsidi bagi memastikan rakyat tidak terlalu terbeban dengan kenaikan harga global. Beliau turut menyatakan bahawa usaha ini penting agar rakyat masih dapat menyambut perayaan dalam keadaan lebih tenang walaupun berdepan cabaran ekonomi.

Namun di peringkat rakyat, realitinya masih mencabar. Ada yang terpaksa berjimat, mengurangkan perbelanjaan raya, malah ada yang memilih untuk tidak mengadakan rumah terbuka seperti kebiasaan. Bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah, setiap perbelanjaan perlu dirancang dengan teliti.

Sederhana, ikhlas dan meriah

Dalam masa sama, perubahan ini sebenarnya membuka ruang kepada satu refleksi penting tentang makna sebenar rumah terbuka itu sendiri.

Selama ini, mungkin tanpa sedar, budaya rumah terbuka telah berubah menjadi satu bentuk persaingan. Siapa hidangan lebih banyak, siapa majlis lebih meriah, siapa rumah lebih cantik. Media sosial pula menambah lagi tekanan untuk “menampilkan yang terbaik,” seolah-olah sambutan perayaan perlu memenuhi standard tertentu.

Namun dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini, masyarakat mula kembali kepada asas iaitu kesederhanaan dan keikhlasan.

Rumah terbuka tidak perlu mewah untuk bermakna. Hidangan sederhana, suasana santai dan kehadiran orang tersayang sebenarnya sudah cukup untuk mencipta kemeriahan yang sebenar. Kadangkala, perbualan mesra dan gelak tawa lebih bernilai daripada juadah yang berlebihan.

Krisis global yang berlaku hari ini juga mengingatkan kita bahawa dunia sangat saling berkait. Apa yang berlaku ribuan kilometer jauh boleh memberi kesan kepada kehidupan harian kita termasuk dalam cara kita menyambut perayaan. Ia juga mengajar kita untuk lebih bersedia, lebih berjimat dan lebih menghargai apa yang ada.

Selain itu, situasi ini turut menggalakkan masyarakat untuk lebih kreatif dalam meraikan perayaan. Ada yang memilih konsep potluck, yang mana setiap tetamu membawa hidangan sendiri. Ada juga yang mengadakan rumah terbuka secara santai tanpa perlu persiapan yang terlalu besar. Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi juga mengeratkan hubungan kerana semua pihak terlibat secara langsung.

Kesimpulannya, rumah terbuka hari raya dalam era ekonomi yang tidak menentu bukan lagi sekadar soal tradisi, tetapi soal penyesuaian. Rakyat Malaysia sedang belajar menyeimbangkan antara mengekalkan budaya dan mengurus kemampuan.

Mungkin juga dalam kesederhanaan itulah kita akan menemui semula makna sebenar hari raya, kerana pada akhirnya, rumah terbuka bukan tentang berapa banyak yang kita hidangkan, tetapi tentang keikhlasan kita dalam meraikan tetamu yang hadir.

--BERNAMA

Ts. Aida Muhamad Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Diploma Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)