TINTA MINDA

Malu Berbahasa Ibunda?

12/05/2026 08:05 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Nor Athira Md Amin

Kelahiran pelbagai generasi seperti generasi Y, Z, Alpha dan Beta mempengaruhi pemerolehan bahasa ibunda masing-masing.

Sebagaimana yang kita tahu, bahasa ibunda merupakan bahasa yang dituturkan oleh seseorang sejak mereka kecil lagi.

Inilah yang akan membentuk identiti mereka sehingga dewasa kerana bahasa yang digunakan sehari-hari.

Bagi orang Melayu, sudah tentulah bahasa pertama yang akan dituturkan ialah bahasa Melayu.

Namun begitu, isu yang wujud kini adalah tentang penutur yang malu untuk berbahasa Melayu.

Isu ini perlu dipandang serius kerana ia akan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda sedikit demi sedikit.

Akar identiti bangsa

Perbincangan tentang bahasa semestinya perlu dikaitkan dengan identiti budaya.

Bahasa merupakan alat atau medium untuk memahami nilai dan warisan budaya, yang terkandung dalam sesebuah bangsa.

Misalnya, bahasa Melayu yang kaya dengan kesantunan bahasa mencerminkan bangsa Melayu yang penuh dengan budi bahasa melalui kehalusan dalam berbicara.

Bahasa ibunda menjadi simbol dan tunjang kepada asal usul dan budaya.

Bahasa ibunda mencorakkan pemikiran dan kebijaksanaan orang Melayu seperti yang sudah ditulis dalam sejarah.

Berkomunikasi dalam bahasa Melayu merupakan salah satu cara untuk menghargai bahasa ibunda.

Dengan berbahasa ibunda jugalah dapat menghubungkan generasi lama dan baharu.

Malu berbahasa Melayu

Persaingan bahasa asing tidak dinafikan sekarang dalam isu keutamaan bahasa.

Penguasaan bahasa asing oleh seseorang dapat dilabel sebagai bijak berbahasa.

Tidak kurang juga terdapat persepsi bahawa apabila seseorang menguasai bahasa asing, mereka terlihat lebih moden dan lebih profesional seperti penguasaan terhadap bahasa Inggeris.

Persepsi ini mengakibatkan bahasa Melayu dipandang rendah dalam kalangan penuturnya sendiri dan tidak digunakan secara meluas.

Inilah yang dikatakan pengaruh bahasa asing dengan keterkaitan gaya hidup sekarang, seterusnya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang tidak moden sepanjang zaman.

Persepsi ini perlu dikikis supaya bahasa Melayu tidak terhakis begitu sahaja.

Budaya popular

Pengaruh budaya popular di media sosial tidak asing lagi.

Ramai pengguna media sosial yang sering menggunakan bahasa rojak atau slanga bagi menampakkan tulisan dan penggunaan bahasa yang lebih ‘trendy’ dan mengikut peredaran semasa ini.

Perkara ini pastinya akan mengurangkan keindahan bahasa Melayu.

Tidak yakin berbahasa Melayu

Umum mengetahui, bahasa Melayu sudah diajar pada peringkat rendah di sekolah rendah dan diteruskan lagi pada peringkat tinggi.

Namun begitu, ada segelintir yang masih tidak yakin berbahasa Melayu kerana bimbang untuk menggunakan bahasa Melayu.

Sebagai contoh, risau dari segi kesalahan ejaan dan tatabahasa.

Bahkan, ada yang risau juga untuk menggunakan bahasa Melayu kerana kedengaran baku dan tidak dapat menggunakan laras bahasa yang betul dalam tugasan rasmi.

Oleh itu, mereka lebih gemar menggunakan bahasa lain untuk mengatasi kerisauan dan kesalahan tersebut.

Bahasa ibunda terkesan

Apabila bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu kurang dan malu untuk dituturkan, maka terdapat pelbagai kesan yang akan menggugat penggunaan bahasa Melayu.

Kesan terhadap individu dapat dilihat daripada kosa kata berkurangan dan gaya bahasa seseorang menjadi lemah.

Kesan ini juga perlu dilihat dari aspek yang lebih besar iaitu bangsa.

Apabila kurangnya berbahasa Melayu, maka hari demi hari, identiti budaya akan pudar bersama nilai kesantunan bahasa.

Rentetan itu, kehalusan berbahasa seperti kata sapaan, kata panggilan mahupun ayat kiasan tidak lagi meniti di bibir mahupun penulisan.

Bangga berbahasa Melayu

Bahasa Melayu sepatutnya menjadi kebanggaan kepada penuturnya sendiri kerana bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Hormati bahasa sendiri merupakan maruah bangsa. Jika tidak biasa menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi, maka wajarlah berlatih dan menggiatkan pelbagai cara dan strategi pelaksanaan.

Walaupun semua individu perlu berbangga dan mengangkat penggunaan bahasa Melayu, perkara ini tidaklah menolak penggunaan bahasa lain sebagai salah satu nilai tambah dalam kalangan individu.

Siapa lagi yang akan mempertahankan bahasa ibunda bahasa Melayu, jika bukan dalam kalangan penuturnya sendiri yang berwarganegara Malaysia.

Hal ini selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim “Kalau ada yang tidak terima Bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia.” Maka tuturkanlah bahasa Melayu sebagai tanda sayang akan bahasa ibunda rakyat Malaysia.

-- BERNAMA

Nor Athira Md Amin ialah Guru Bahasa Jabatan Bahasa Melayu dan Terjemahan Pusat Pengajian Bahasa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)