TINTA MINDA

Saksi Senyap Di Pesisir: Paya Bakau, Xenobiotik Dan Kesihatan Kita

08/06/2026 09:15 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Nuruliza Roslan dan Widad Fadhullah

Bersempena dengan sambutan Hari Bumi pada 22 April dan Hari Kesihatan Tumbuhan Sedunia pada 12 Mei baru-baru ini, tumpuan global kembali terarah kepada kepentingan memelihara ekosistem semula jadi yang menjadi nadi kehidupan planet ini.

Kedua-dua hari penting ini membawa satu mesej yang sangat jelas: kesihatan bumi dan kelestarian hidupan tumbuhan mempunyai pertalian langsung dengan kelangsungan hidup serta kesihatan manusia.

Di Malaysia, satu daripada ekosistem paling kritikal namun sering terlepas pandang dalam wacana ini ialah hutan paya bakau. Paya bakau sering dilihat sekadar hutan berlumpur di pesisir pantai, sedangkan hakikatnya ia merupakan sistem biologi yang kompleks dan dinamik.

Ekosistem ini bertindak sebagai benteng semula jadi yang menapis pencemaran, menstabilkan persekitaran, dan melindungi kesihatan manusia daripada ancaman bahan toksik yang semakin meningkat.

Malaysia merupakan antara negara yang masih mempunyai keluasan bakau yang signifikan di Asia Tenggara.

Menurut Global Forest Watch dan laporan Global Forest Resources Assessment 2020, Malaysia memiliki kira-kira 500,000 hingga 530,000 hektar hutan paya bakau, mewakili sekitar tiga hingga empat peratus daripada keluasan bakau dunia.

Negeri Sabah menyumbang hampir 60 peratus daripada jumlah ini, diikuti Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Walaupun angka keseluruhan ini tampak besar, data menunjukkan kehilangan kawasan bakau akibat pembangunan pesisir, akuakultur dan penambakan tanah berlaku secara beransur-ansur sejak beberapa dekad lalu.

Pengurusan dan ancaman biodiversiti

Kawasan seperti Matang di Perak sering dijadikan penanda aras pengurusan bakau mampan. Hutan Simpan Paya Laut Matang, yang diurus secara sistematik sejak awal abad ke-20, diiktiraf sebagai antara sistem pengurusan bakau terbaik di dunia. Namun, tidak semua kawasan menerima perlindungan serupa.

Di beberapa lokasi pesisir Selangor, Johor dan Pulau Pinang, tekanan pembangunan industri dan perumahan memberi kesan kepada ekosistem bakau. Dari segi biodiversiti, Malaysia merekodkan lebih 30 spesies bakau sejati dan bersekutu.

Antara spesies penting termasuk Rhizophora apiculata (Bakau Minyak), Rhizophora mucronata (Bakau Kurap) dan Avicennia alba (Api-api Hitam).

Bagaimanapun, beberapa spesies bakau global dikategorikan sebagai terancam dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), termasuk spesies Bruguiera hainesii (Berus Mata Buaya) yang turut direkodkan di Asia Tenggara.

Ancaman utama ialah kehilangan habitat dan degradasi kualiti air.

Pencemaran sebagai tekanan utama

Pencemaran merupakan tekanan utama terhadap bakau.

Laporan Kualiti Alam Sekeliling oleh Jabatan Alam Sekitar Malaysia menunjukkan bahawa antara punca utama pencemaran sungai ialah efluen industri, kumbahan domestik, sisa pertanian dan pelepasan dari tapak penternakan.

Sungai-sungai yang mengalir ke kawasan bakau membawa bersama logam berat seperti kadmium (Cd), plumbum (Pb), merkuri (Hg) serta nutrien berlebihan yang mencetuskan eutrofikasi. Malaysia juga tidak terkecuali daripada isu mikroplastik.

Kajian oleh penyelidik universiti tempatan melaporkan kehadiran mikroplastik dalam sedimen bakau di Selangor dan Johor, menunjukkan bahawa kawasan ini berfungsi sebagai "perangkap jangka panjang" bagi bahan cemar plastik.

Selain itu, insiden tumpahan minyak di perairan Johor dan Selangor dalam beberapa tahun kebelakangan ini turut menjejaskan habitat bakau berhampiran.

Bahkan, pada tahun 2019, insiden pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor, walaupun tidak berlaku secara langsung di kawasan bakau, jelas menunjukkan bagaimana pelepasan bahan kimia toksik boleh memberi kesan kesihatan akut kepada komuniti setempat.

Lebih 2,000 penduduk terpaksa mendapatkan rawatan akibat pendedahan gas beracun. Insiden ini menjadi peringatan keras bahawa pencemaran kimia di sistem sungai dan pesisir boleh memberi impak langsung kepada kesihatan manusia.

Zon penampan xenobiotik dan bioakumulasi

Dalam konteks xenobiotik, iaitu bahan kimia asing seperti racun perosak, hidrokarbon petroleum, bahan farmaseutikal dan logam berat, paya bakau bertindak sebagai zon penampan.

Akar bakau memerangkap sedimen tercemar, manakala komuniti mikroorganisma dalam sedimen memainkan peranan penting dalam proses bioremediasi.

Bakteria daripada genus Pseudomonas dan Bacillus, misalnya, diketahui berupaya menguraikan hidrokarbon aromatik polisiklik (PAH) yang lazim ditemui dalam sisa petroleum.

Namun, keupayaan semula jadi ini ada hadnya. Apabila beban xenobiotik terlalu tinggi, struktur komuniti mikrob akan berubah. Kepelbagaian biologi menurun dan hanya spesies tahan toksik yang akan mendominasi.

Perubahan ini boleh diukur melalui analisis metagenomik dan sering digunakan sebagai penunjuk awal pencemaran. Organisma makro pula menunjukkan kesan bioakumulasi.

Kajian tempatan mendapati moluska seperti kupang (Perna viridis) dan tiram di pesisir barat Semenanjung mengandungi jejak logam berat, walaupun kebanyakannya masih berada dalam had piawaian keselamatan makanan.

Ketam bakau (Scylla spp.) yang hidup dalam sedimen turut berpotensi mengumpul logam berat dalam hepatopankreas (kelenjar pencernaan) mereka. Fenomena bioakumulasi dan biomagnifikasi bermaksud bahan toksik yang sukar terurai akan meningkat kepekatannya sepanjang rantaian makanan.

Manusia, sebagai pengguna di peringkat atas dalam rantaian makanan, berisiko terdedah melalui pengambilan makanan laut yang tercemar secara kronik. Dalam biologi sel manusia, xenobiotik diproses oleh enzim seperti sitokrom P450 di dalam hati.

Walaupun sistem ini berfungsi untuk melindungi tubuh, metabolit reaktif yang terhasil boleh menyebabkan tekanan oksidatif dan kerosakan DNA sekiranya pendedahan berlaku secara berpanjangan.

Pendekatan 'one health' dan masa depan

Hubungan simbiosis ini selari dengan pendekatan “One Health” (Satu Kesihatan) yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang menekankan bahawa kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar adalah saling berkait dan tidak boleh dipisahkan.

Apabila bakau terdegradasi, komuniti pesisir kehilangan perlindungan daripada ancaman ribut, sumber perikanan terjejas dan risiko pendedahan kepada bahan toksik meningkat. Walaupun ini dilihat sebagai satu cabaran yang besar, terdapat usaha pemuliharaan yang giat dijalankan.

Program penanaman semula bakau oleh Jabatan Perhutanan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat telah berjaya menanam jutaan anak pokok bakau sejak dua dekad lalu.

Namun, penanaman semata-mata tidak cukup tanpa kawalan pencemaran dan perancangan guna tanah yang mampan. Kesimpulannya, paya bakau ialah sistem amaran awal alam semula jadi.

Mikroorganisma, moluska dan ketam bakau berfungsi sebagai bioindikator yang memberi petunjuk tentang tahap pencemaran sebelum kesannya dirasai secara langsung oleh manusia. Melindungi bakau bukan sekadar soal pemuliharaan biodiversiti atau mengekalkan landskap hijau.

Ia merupakan sebahagian daripada langkah pencegahan kesihatan awam dan strategi mitigasi perubahan iklim, memandangkan bakau diketahui berupaya menyimpan karbon empat hingga lima kali lebih tinggi per hektar berbanding hutan daratan tropika (menurut inisiatif Blue Carbon).

Lebih penting lagi, ia merupakan jaminan keselamatan makanan untuk komuniti pesisir. Jika bakau sihat, maka manusia juga akan turut mendapat manfaatnya. Jika bakau tercemar, kesannya pasti akan kembali juga kepada kita.

Oleh itu, pengurusan sisa yang lebih ketat, pemantauan saintifik berterusan, penglibatan komuniti dan pendidikan alam sekitar perlu bergerak seiring.

Paya bakau mungkin "saksi senyap" di pesisir pantai, tetapi data saintifik dengan jelas menunjukkan bahawa keadaannya adalah cermin kepada tahap kesihatan persekitaran dan penentu masa depan kita sendiri.

--BERNAMA

Nuruliza Roslan ialah Penyelidik Biologi Sel di Universiti Sains Islam Malaysia

Widad Fadhullah ialah Penyelidik Teknologi Alam Sekitar, di Universiti Sains Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)