WILAYAH - SABAH > BERITA

KEMERIAHAN SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI 2024 PERINGKAT KEBANGSAAN DIRAI DI SABAH HARI INI

20/04/2024 09:19 AM

KOTA KINABALU, 20 April (Bernama) -- Kemeriahan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Kebangsaan hari ini bakal menyaksikan masyarakat pelbagai kaum dan peringkat umur hadir bersama-sama memeriahkan sambutan dalam suasana harmoni di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Bertemakan 'Perpaduan Melalui Perayaan', sambutan julung kali diadakan di Negeri Bawah Bayu itu menjadi wadah memupuk semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat, selain peluang untuk pemimpin bertemu serta beramah mesra dengan rakyat.

Majlis itu membuka tirai dan menerima kunjungan orang ramai khususnya warga bandar raya Kota Kinabalu seawal pukul 10.30 pagi hingga 3 petang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual hadir bagi menyerikan lagi majlis itu pada pukul 11.45 pagi, sebelum ia dirasmikan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada 12.30 tengah hari.

Turut dijadual hadir bagi memeriahkan sambutan ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Majlis dianjurkan dengan kerjasama kerajaan Sabah selaku tuan rumah dan Kementerian Perpaduan sebagai peneraju acara sekali gus menandakan bermulanya Jelajah Kembara Perpaduan sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2024 yang bakal disambut pada Mei ini.

Sabah adalah antara tujuh negeri dipilih bagi menganjurkan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Bersama Perdana Menteri, selain penganjuran di peringkat negeri melibatkan Johor (18 April), Melaka (22 April), Kelantan (2 Mei), Kedah (4 Mei), Pulau Pinang (5 Mei) dan Terengganu pada 9 Mei.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan