WILAYAH - UTARA > BERITA

PENGUMUMAN PEMBEKALAN AIR KEPADA PULAU PINANG CEPATKAN LRA BAHARU DI UTARA PERAK

06/05/2024 04:28 PM

IPOH, 6 Mei (Bernama) -- Pengumuman bahawa Perak akan membekalkan air kepada Pulau Pinang melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) ke Seberang Perai akan mempercepat rancangan membangunkan loji rawatan air (LRA) baharu di utara negeri ini. 

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri menyambut baik pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam. 

Beliau berkata apabila Pulau Pinang menyatakan kesanggupan membeli air terawat, maka Perak sebelum ini telah memohon peruntukan kepada Kerajaan Pusat untuk membina LRA.

"Jika nak bekalkan air terawat kena ada LRA, itu sebab kita mohon peruntukan sebelum ini agar LRA baharu ini dapat dibangunkan untuk menyalurkan air terawat kepada Pulau Pinang, selain bagi kegunaan industri di kawasan sekitar.

"Kita jangkakan projek ini (LRA) mungkin lewat, namun apa yang telah diumumkan Perdana Menteri adalah langkah baik dan secara tidak langsung pembinaan LRA ini dapat disegerakan," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2024 Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Semalam, Anwar ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara yang diadakan serentak dengan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Pulau Pinang mengumumkan Perak bersetuju membekalkan air ke Pulau Pinang melalui KIGIP dan perkara itu diperkenan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Menurut Saarani perkembangan itu juga merupakan serampang tiga mata yang memberi manfaat serentak melalui pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030. 

Berkaitan segelintir petugas Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak diletakkan dalam 'radar' Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Saarani menyerahkan kepada agensi itu untuk menyiasat apa-apa jua aduan berkenaan tanah di negeri itu.

"Saya percaya SPRM bukan tumpu kepada PTG sahaja kerana radar mereka pada semua tempat, tetapi oleh kerana terdapat kes di situ maka tumpuan diberikan kepada kes berkenaan. 

"Malah kerajaan sendiri mahukan penguatkuasaan telus dilakukan dan kita serahkan kepada pihak berkuasa jalankan penyiasatan mereka dan kita tidak campur tangan," katanya. 

Kerajaan Perak juga, katanya telah melaksanakan banyak pembaharuan dalam urus tadbir pengurusan tanah negeri termasuk pengenalan e-tanah.

"Selepas kes itu kita dah ada e-tanah. Kita buat banyak pembaharuan serta penambahbaikan dari segi pengurusan pejabat PTG. 

"Banyak benda yang kita telah buat tambah baik supaya apa-apa jua kelemahan dapat diperbaiki dan kes ini pun kes pada 2012, selepas itu banyak yang kita perbaiki," katanya. 

Pada minggu lepas, bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik di PTG Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menipu agensi kerajaan negeri sehingga menyebabkan pemecahan lot Tanah Rizab Melayu melibatkan kawasan seluas 649.2 hektar di Sitiawan, 12 tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan