WILAYAH - SARAWAK > BERITA

EKOSISTEM DAN SAIZ PASARAN INDIA TAWARKAN PELUANG PELABUR MALAYSIA SERTAI SEKTOR PEMPROSESAN MAKANAN

07/05/2024 12:24 AM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Ekosistem dan saiz  pasaran India menawarkan pelbagai peluang kepada perniagaan di Malaysia untuk menceburi sektor pemprosesan makanan di India, kata Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B.N. Reddy.   

Beliau berkata sektor pemprosesan makanan di India adalah salah satu daripada yang terbesar di dunia dan dijangka mencecah US$535 bilion menjelang 2025-2026. Dalam 10 tahun lepas, India menarik pelaburan langsung asing bernilai US$6 bilion dalam sektor pemprosesan makanan.

Raddy berkata industri makanan ialah sebuah sektor yang India dan Malaysia mempunyai hubungan  yang rapat. Perdagangan dua hala dalam makanan dan produk pertanian berjumlah US$5.8 bilion, menyumbang lebih 30 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan dua hala. 

India mendapat kuantiti minyak sawit yang banyak dari Malaysia sementara  India  membekalkan beras, daging, produk laut , buah-buahan, sayur-sayuran dan lain-lain produk ke Malaysia.

Reddy selanjutnya berkata terdapat potensi besar untuk hubungan dua hala ini diluaskan melangkaui perdagangan.

“Malaysia mempunyai sebuah sektor pemprosesan makanan dalam koko dan penyediaan koko, makanan laut diproses, sayur-sayuran dan buah-buahan diawet, daging diproses, gula dan kedai gula-gula yang kukuh.

Kesemua ini merupakan sektor tumpuan bagi sektor pemprosesan makanan India. Manfaat mengembangkan ke sektor pemprosesan India ialah terdapat pasaran tawanan dalam India untuk semua produk berkenaan selain daripada peluang mengeksport,” katanya.   

 Reddy berkata demikian semasa Jerayawara Peluang Dalam Sektor Pemprosesan Makanan di India anjuran Kementerian Industri Pemprosesan Makanan India dengan kerjasama Invest India, Persekutuan Dewan Perdagangan dan Industri India (FICCI) serta Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia. 

“Objektif kami menerusi jerayawara ini adalah banyak. Kami menjemput syarikat Malaysia untuk membuka kilang di India, membeli dari India, membentuk perkongsian dengan perniagaan India dalam sektor makanan.

Kita mempunyai beberapa rantaian makanan dan restoran di setiap kedua-dua negara. Terdapat sejumlah rantaian restoran India yang telah berkembang di Malaysia. Satu contoh terkini dalam arah yang lain ialah Union Artisan Coffee melebarkan sayapnya ke India, menerusi cawangan pertamanya di Aerocity, New Delhi,” katanya.

Reddy juga menjelaskan Kerajaan India telah mengambil beberapa inisiatif untuk melonjakkan sektor pemprosesan makanan.

Antaranya menyediakan Taman Makanan Mega yang mempunyai kemudahan bersepadu di dalam satu tempat, kluster pemprosesan-pertanian untuk mewujudkan infrastruktur yang diperlukan untuk memproses produk pertanian, pautan rantaian bekalan ke belakang dan ke hadapan serta latihan dan pembinaan kapasiti.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan