WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AYAT 'JIKA PH DITAKDIRKAN MENANG' BAYANGKAN MORAL DAN SEMANGAT PN RUNTUH - FAHMI

07/05/2024 08:52 AM

HULU SELANGOR, 7 Mei (Bernama) -- Ayat “jika ditakdirkan Pakatan Harapan (PH) menang” seolah-olah membayangkan moral dan semangat Perikatan Nasional (PN) telah runtuh, kata Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata ayat berkenaan juga seolah-olah membayangkan bahawa PN sedia mengaku kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB), Sabtu ini.

“Ada perkara yang agak menarik, saya membaca laporan media daripada Setiausaha Agung PAS (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) dan kenyataan beliau ‘jika ditakdirkan Pakatan Harapan menang’.

“Jadi ayat itu telah membayangkan bahawa moral, semangat di pihak Perikatan Nasional telah runtuh dan seolah-olah mereka telah hampir sedia mengaku kalah,” katanya menerusi aplikasi TikTok hari ini.

Semalam media melaporkan Takiyuddin mendakwa bahawa kerajaan menyalahgunakan aset untuk berkempen pada PRK KKB dan PN akan memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya sekiranya PH menang pada PRK berkenaan.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan