WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERMOHONAN YUSOFF RAWTHER UNTUK DAPATKAN UJIAN POLIGRAF DITOLAK

07/05/2024 09:41 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas pembantu penyelidik Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Muhammed Yusoff Rawther untuk mendapatkan ujian poligraf bagi menyokong samannya terhadap Presiden PKR itu.

Hakim Datuk Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee dalam penghakimannya memutuskan bahawa permohonan itu adalah tidak relevan, tidak perlu dan tidak tidak akan membantu ke arah mencapai kepuusan yang adil dalam kes saman berkenaan.

“Ia juga adalah sebahagian daripada kertas siasatan dan oleh itu, satu dokumen terlindung. Saya mendapati pemohon iaitu plaintif (Muhammed Yusoff) tidak menghuraikan dengan jelas kerelevanan dan keperluan dokumen ini. Sekadar menyatakan ia adalah relevan dan perlu adalah tidak mencukupi. 

“Memandangkan pihak ketiga (Polis Diraja Malaysia atau PDRM) telah membuat afidavit dan hujahan mereka, plaintif perlu menyatakan dengan terperinci mengapa ujian poligraf ini penting bagi dakwaan beliau berkaitan gangguan seksual,” katanya.

Beliau juga berkata seperti yang dinyatakan oleh pegawai penyiasat dalam afidavitnya, ujian poligraf ini adalah sebahagian daripada kertas siasatan serta dilindungi di bawah Seksyen 124 Akta Keterangan 1950 dan ia bukan untuk kegunaan umum. 

Hakim itu juga memutuskan adalah perkara yang membimbangkan apabila plaintif meminta ujian poligraf dan beliau ingin menggunakan dokumen tersebut untuk membuktikan kesnya.

Lee berkata jika amalan ini dibenarkan, ia akan menjadi pencetus dan menjadi trend oleh pihak yang mengemukakan saman di luar sana untuk menggunakan bantuan pihak polis bagi membuktikan tindakan peribadi mereka di mahkamah sivil dan perkara ini tidak boleh dibiarkan.

Beliau berkata lebih menarik lagi, plaintif tidak lama dahulu dalam kes yang sama, telah bersumpah bahawa maklumat dalam ujian poligraf ini adalah tidak relevan dan tidak perlu.

“Pengakuan plantif ini harus diambil maklum oleh mahkamah. Malah dalam afidavit yang sama, plaintif sendiri telah menyatakan bahawa perkara ini akan memanjangkan atau melengah-lengahkan perbicaraan,” katanya.

Hakim itu kemudian mengarahkan plaintif untuk membayar kos RM5,000 kepada PDRM dan menetapkan 27 Jun untuk pengurusan kes.

Muhammed Yusoff sebelum ini memfailkan permohonan penemuan pihak ketiga terhadap PDRM dan memohon agar keputusan ujian poligraf yang diambilnya pada Disember 2019 didedahkan.

Pada 14 Julai 2021, Muhammed Yusoff telah memfailkan saman terhadap Anwar atas dakwaan pemimpin itu telah melakukan serangan seksual terhadapnya.

Antara lain beliau menuntuk ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Anwar, dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 28 Sept 2021, mendakwa Muhammed Yusoff telah berbohong ketika bersumpah kepada pihak berkuasa berkaitan insiden serangan seksual itu.

Beliau memfailkan tuntutan balas pada tarikh sama dan mendakwa Muhammed Yusoff telah mengada-adakan cerita mengenai insiden serangan seksual itu untuk mencemar kerjaya politiknya bagi memastikan beliau tidak menjadi Perdana Menteri.

Pada 9 Sept 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Muhammed Yusoff untuk membatalkan beberapa perenggan di dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas Anwar. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan