WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PSAS: JARINGAN MINIT AKHIR RANA BANTU PAKISTAN SERI 1-1 DENGAN JEPUN

07/05/2024 10:35 PM

IPOH, 7 Mei (Bernama) -- Jaringan sudut penalti Rana Waheed Ashraf pada minit ke-59 membantu Pakistan mengekalkan rekod tanpa kalah apabila seri 1-1 dengan Jepun pada saingan kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) ke-30 di Stadium Hoki Azlan Shah di sini hari ini.

Selepas tanpa jaringan pada babak pertama, Ken Nagayoshi menyempurnakan pukulan sudut penalti tiga minit selepas waktu rehat (minit ke-33) untuk meletakkan Jepun di depan serta memperkemaskan benteng ;pertahanan bagi menghalang serangan Pakistan.

Bagaimanapun, Pakistan memperoleh gol penyamaan selepas empat percubaan pukulan sudut penalti pada suku keempat perlawanan dengan Rana Waheed menyudahkan jaringan seminit sebelum wisel penamat sekali gus mencipta keputusan seri pertama dalam kejohanan enam negara itu.

Pakistan kekal di tangga teratas dengan kelebihan jaringan walaupun berkongsi tujuh mata dengan Jepun yang menewaskan Korea Selatan 2-1 dan New Zealand 4-1 manakala Pakistan menumpaskan Malaysia 5-4 dan Korea Selatan 4-0.

Ketua jurulatih Jepun, Yoshihiro Anai, yang merasakan pasukannya sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol untuk memastikan kemenangan, berkata: “Pakistan sangat bagus dalam pukulan sudut penalti dan bermain agresif, sementara kami bergelut selepas dilayangkan kad kuning (untuk Raiki Fujishima), dan mereka berjaya menjaringkan." 

Mengulas pertemuan dengan juara bertahan dan tuan rumah Malaysia esok, Anai berkata corak defensif adalah penting untuk berdepan Speedy Tigers yang pantas sambil  menyifatkan penyerang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal sebagai pemain lawan yang harus diberi perhatian.

Sementara itu, jurulatih Pakistan Roelant Oltmans tidak begitu gembira selepas dua pukulan penalti dibatalkan selepas rujukan video perlawanan.

Dalam pada itu, juara tiga kali Korea Selatan yang tiba dengan 13 pemain baharu berjaya meraih kemenangan pertama apabila menewaskan pasukan tercorot Kanada 1-0.

Gol kemenangan tunggal Korea Selatan disumbangkan oleh pemain berusia 28 tahun Oh Seyong pada minit ke-13 sekali gus merakamkan gol sulung dalam tiga penampilan antarabangsa bersama pasukan itu.

“Pemain muda beraksi dengan baik tetapi mereka memerlukan lebih banyak masa untuk dapat menggantikan pemain seperti pakar flik Jang Jong Hyun, yang telah memainkan peranan penting dalam pasukan selama bertahun-tahun.

“Kami mempunyai seorang pemain yang bagus dan kami akan memperkenalkannya apabila tiba masanya,” kata ketua jurulatih Min Taeseok.

“Esok Pakistan akan menentang Kanada manakala New Zealand berdepan Korea Selatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan