WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PHB TUBUH SYARIKAT PENGURUSAN ASET, TINGKATKAN DANA AHB RM20 BILION MENJELANG 2030

08/05/2024 09:53 AM

SHAH ALAM, 7 Mei (Bernama) -- Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) menubuhkan PHB Asset Management Bhd (PHBAM), anak syarikat milik penuhnya yang akan menyediakan perkhidmatan pengurusan pakar mengenai produk pelaburan inovatif dan penyelesaian kewangan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB Mohamad Damshal Awang Damit berkata penubuhan PHBAM adalah sebahagian daripada langkah strategik kumpulan ke arah meningkatkan penyertaan dan pemilikan bumiputera dalam hartanah komersial.

“PHBAM akan menjadi wadah untuk memberi akses kepada pelabur-pelabur bumiputera melalui pengurusan berkesan dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) dan mungkin dana hartanah baharu pada masa hadapan.

"Bagi menyokong matlamat jangka panjang PHB, PHBAM bersedia meningkatkan dana AHB kepada RM20 bilion pada 2030 daripada RM5 bilion pada masa ini dengan memperkenalkan strategi pengedaran digital untuk menyediakan akses yang lebih besar kepada masyarakat Bumiputera yang kurang mendapat pendedahan berkenaan skim pelaburan AHB," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada masa ini, dana AHB diuruskan oleh Maybank Asset Management Sdn Bhd.

Mengulas lanjut mengenai penubuhan PHBAM, Mohamad Damshal berkata langkah itu akan membolehkan kumpulan mempunyai kawalan operasi yang lebih baik, memandangkan peningkatan pesat dalam pertumbuhan dana adalah kritikal kepada kumpulan itu.

“Apabila kita mengambil alih peranan ini, kita tidak mahu hanya mempunyai satu penyelesaian, tetapi pelbagai penyelesaian yang kita boleh gunakan untuk membolehkan keunikan pemegang-pemegang unit amanah AHB mendapat manfaat daripada penyelesaian lain seperti takaful, wakaf, hibah dan sebagainya pada masa hadapan, selain menerima pulangan yang stabil dan kompetitif,” katanya.

Mohamad Damshal juga berkata dengan memanfaatkan portfolio mantap 25 aset hartanah bernilai kira-kira RM10 bilion, PHB akan membawa kepakaran industri yang luas kepada PHBAM, meletakkan kedudukannya untuk terus berkembang dan berinovasi dalam pembangunan dana berlandaskan hartanah.

Mengenai bakat, Mohamad Damshal berkata PHBAM telah memilih pasukan pengasas dengan pengalaman pasaran modal yang luas, dilengkapkan oleh pasukan pengurusan utama dengan pengalaman sekitar 27 tahun.

"Saya sendiri adalah pengurus dana sebelum ini. Dan dari situ, saya dan pasukan telah memilih pasukan pengasas dengan teliti," katanya.

PHBAM telah menerima Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 22 April, 2024, untuk pengurusan dana dan urus niaga dalam sekuriti bagi unit amanah.

Sehubungan itu PHBAM kini bersedia dari segi kewangan dan pengoperasian untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan produk pelaburan serta penyelesaian kewangan kepada PHB.

PHB ditubuhkan pada Mei 2006, diberi mandat oleh kerajaan untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pemilikan aset hartanah komersial utama di Malaysia.

PHB ialah anak syarikat Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan