WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PIALA SUMBANGSIH 2024: SELANGOR FC TARIK DIRI, UTAMAKAN KESELAMATAN PASUKAN

09/05/2024 12:11 AM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Selangor FC terpaksa menarik diri daripada menyertai perlawanan Piala Sumbangsih 2024 susulan insiden jenayah serta ancaman yang berlaku membabitkan beberapa pemain dalam tempoh hanya 72 jam. 

Hantaran di laman Facebook Selangor FC menegaskan bahawa keselamatan pasukan diutamakan selain memandang serius segala bentuk ancaman dan tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan perkara itu.

“Selangor FC telah mengambil maklum keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk tetap meneruskan perlawanan Piala Sumbangsih yang dijadualkan berlangsung pada 10 Mei ini.

“Setelah penelitian dijalankan dan perbicangan terperinci dengan pelbagai pihak… pihak kelab terpaksa mengambil keputusan yang amat sukar untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang telah lama kelab ini nantikan,” menurut hantaran itu. 

Pada Ahad lepas, negara digemparkan dengan insiden pemain kebangsaan Faisal Halim yang juga pemain sayap Selangor FC disimbah asid di pusat membeli-belah di Kota Damansara, Selangor sehingga menyebabkan kelecuran tahap empat.

Insiden itu berlaku selang beberapa hari selepas seorang lagi pemain kebangsaan Muhammad Akhyar Abdul Rashid cedera di kepala serta kaki selepas diserang dan disamun oleh dua individu di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lepas.

Terbaharu, kereta pemain tengah pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim dipecah individu tidak dikenali dengan tukul besi di Jalan Sri Gelam di Johor Bahru semalam.

Piala Sumbangsih 2024 sepatutnya menyaksikan pertembungan antara Selangor FC menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Jumaat ini.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan