WILAYAH - SARAWAK > BERITA

IMPIAN SPEEDY TIGERS PERTAHAN GELARAN LEBUR DI TANGAN JEPUN

09/05/2024 01:09 AM

IPOH, 8 Mei (Bernama) -- Jepun meranapkan harapan pasukan hoki negara untuk mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024  selepas mencatatkan kemenangan tipis 2-1 di Stadium Hoki Azlan Shah pada malam ini.

,Keputusan itu menyaksikan skuad Speedy Tigers terlepas peluang untuk menduduki dua tempat teratas untuk layak ke final setelah meraih enam mata selepas empat perlawanan dan akan melengkapkan jadual liga sepusingan menentang Korea Selatan Jumaat ini.

Jepun pertama kali  mara ke pentas final akan mengiringi Pakistan untuk menentukan kejuaraan selepas masing-masing mengumpul 10 mata.

Pakistan akan melengkapkan jadual pusingan awal dengan menentang New Zealand manakala Jepun bertemu Kanada, Jumaat ini.

Pertemuan di antara pasukan dengan paling banyak jaringan, Malaysia dengan 16 gol dalam tiga aksi sebelum ini dan Jepun yang mempunyai pertahanan paling ampuh dengan hanya tiga bolos gol, menyaksikan skuad Samurai terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Kazumasa Matsumoto pada minit ke-24.

Bersambung separuh masa kedua, skuad Speedy Tigers pantas menyamakan kedudukan menerusi pukulan ‘reverse stick’ penyerang sensasi Faizal Saari pada minit ke-31. 

Jepun dengan pencapaian terbaik  tempat keempat pada edisi lepas kemudian mengesahkan kemenangan menerusi jaringan Taiki Takade pada minit ke-50.

Malaysia sebelum ini bangkit dari kekalahan 4-5 kepada Pakistan untuk membenam Kanada 6-2 dan New Zealand 6-4, manakala Jepun menewaskan Korea Selatan 2-1 dan New Zealand 4-1, sebelum terikat 1-1 menentang Pakistan.

Malaysia merangkul gelaran PSAS buat kali pertama pada edisi lepas (2022), selepas lima kali muncul naib juara sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1983.

Mengulas mengenai aksi tersebut, ketua jurulatih Sarjit Singh berkata skuad kendaliannya mempunyai peluang untuk meraih kemenangan sekiranya telah menyempurnakan peluang yang hadir.

"Pemain beraksi dengan baik dengan memberi tekanan pada suku ketiga perlawanan. Kami mempunyai peluang secukup untuk menang tetapi malangnya tidak melakukan jaringan. Kesilapan awal mengatur gerakan membolehkan Jepun mengambil kesempatan dan menghukum kami,”katanya.

Malaysia dijangka bertemu New Zealand pada perlawanan penentuan tempat ketiga-keempat Sabtu ini kecuali jika kalah dengan perbezaan lebih 11 gol menentang Korea Selatan pada aksi terakhir liga sepusingan.

Sementara itu, ketua jurulatih Jepun Yoshihiro Anai, yang teruja membawa Jepun ke final pertama dalam sejarah penyertaan di kejohanan jemputan itu, memuji aksi pemainnya yang kekal konsisten dan berjuang sehingga saat terakhir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan