WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA MASIH DALAM HATI - MISBUN

16/06/2024 10:46 AM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) — Pepatah hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri adalah istilah tepat menggambarkan pendirian Datuk Misbun Sidek apabila legenda badminton negara itu mahu terus menabur bakti menurunkan ilmu dalam arena badminton di Malaysia. 

Misbun berkata ini kerana hatinya belum ‘terbuka’ untuk menerima mana-mana tawaran luar negara bagi mendapatkan khidmatnya sebagai jurulatih buat masa ini namun tidak menolak kemungkinan akan berbuat demikian pada masa hadapan. 

“Saya masih buat bimbingan untuk persendirian (selain sebagai) perunding macam mana nak tingkatkan taraf daripada soal latihan untuk pembangunan (di Malaysia). 

“Tawaran (jurulatih) sentiasa ada (selain) sesi pujuk-memujuk (dari luar negara), tetapi saya ini daripada dulu macam itu. Mungkin akan datang kita tidak tahu, tetapi apa yang saya buat sekarang, jika anda mahu saya, anda nak belajar, anda datang (Malaysia), senang,” katanya kepada pemberita baru-baru ini. 

Sebelum ini kelab Nusa Mahsuri yang berpangkalan di Ampang di sini menerusi hantaran Facebooknya pernah berkongsi Misbun telah ‘melanyak' tiga pemain remaja Thailand ketika menjalani latihan intensif hampir sebulan. 

Misbun meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas badan induk itu memutuskan pada 28 Julai tahun lalu untuk menamatkan kontrak Misbun lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

Misbun yang ketika itu Pengarah Pembangunan Remaja Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM) meluahkan rasa terkilan dan kecewa kerana penamatan kontraknya dibuat tanpa persetujuan bersama. 

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bagaimanapun membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi sidang media dengan menawarkan kepada Misbun untuk menghabiskan kontrak asal bersama ABM hingga hujung tahun lepas. 

Namun Misbun menolak tawaran berkenaan  selepas kemelut membabitkan beliau dan BAM menemui jalan pendamaian. 

Selepas itu media melaporkan Misbun telah menerima sekurang-kurangnya lima tawaran dari luar negara namun enggan mendedahkan senarai negara yang cuba ‘memancingnya’. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan