WILAYAH - SABAH > BERITA

TIMBALAN KETUA MENTERI WANITA PERTAMA SABAH MENINGGAL DUNIA

16/06/2024 05:14 PM

KOTA KINABALU, 16 Jun (Bernama) -- Timbalan Ketua Menteri wanita pertama Sabah Datuk Ariah Tengku Ahmad meninggal dunia dengan aman dalam tidurnya di kediamannya di sini hari ini pada usia 86 tahun, kata anaknya Tengku Datuk Fuad Tengku Ahmad.

Tengku Fuad berkata kehidupan ibunya dicirikan sebagai satu kecemerlangan dan perkhidmatan.

Peguam itu berkata ibunya pernah menjadi kapten Pasukan Olahraga Jesselton, dinobatkan sebagai Miss Jesselton 1956, seorang juruhebah radio, wartawan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Menteri Perkhidmatan Sosial Sabah dan Timbalan Ketua Menteri Sabah antara lain.

“Tetapi melebihi segalanya, dia adalah seorang ibu dan nenek mengagumkan yang kami semua sayangi dan kehilangannya sangat dirasai. Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya kita kembali.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, diampuni segala dosa-dosanya dan ditempatkan di Jannatul Firdaus dalam kalangan orang-orang yang soleh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Allahyarham Ariah yang dikenali rakan rapatnya sebagai Irene Pritchard, adalah isteri kepada Allahyarham Brig Jen Tunku Ahmad Tunku Besar Burhanuddin.

Allahyarham Ariah menjadi ADUN Kawang dari 1986 hingga 1995 dan pada 1993 beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri dan juga ahli pengasas Persatuan Wanita Sabah (PEWASA).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan