WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BELI TELUR DI PASAR RAYA, HARGA JUAL DITETAPKAN KERAJAAN - KPDN SANDAKAN

19/06/2024 05:14 PM

SANDAKAN, 19 Jun (Bernama) -- Pengguna di sini disaran membeli telur ayam di pasar raya kerana telur yang dijual adalah mengikut harga ditetapkan kerajaan berbanding membeli telur sama dijual peniaga kaki lima dengan harga lebih mahal.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan Azdy Zukkry John berkata situasi itu antara lain disebabkan peniaga kali lima itu mendapatkan bekalan telur ayam sendiri antaranya daripada Tawau.

Beliau berkata sejak Isnin lepas, harga telur ayam bagi gred A, B dan C di Sandakan turun 3 sen masing-masing kini RM0.48 sen, RM0.47 sen, serta RM0.46 sen sebiji bagi harga runcit, namun peniaga tepi jalan menjual lebih mahal daripada itu.

"Kos mereka ambil bekalan itu ditanggung sendiri menyebabkan harga telur ayam yang dijual menjadi lebih mahal, berikutan itu kita akan melihat perkara ini serta kita juga bertimbang rasa, dan kita cuba cari jalan menangani isu ini agar peniaga dan pengguna dapat manfaat bersama.

"Buat masa ini saya menyarankan pengguna beli telur di pasar raya sebab pasar raya pasti akan ikut harga ditetapkan, arahan penurunan harga telur ayam telah diberikan melalui kumpulan WhatsApp serta edaran risalah," katanya kepada pemberita selepas meninjau pemeriksaan penurunan harga telur ayam di sini.

Dalam pada itu, Azdy Zukkry berkata mulai esok tindakan akan diambil kepada semua pasar raya atau peruncit yang tidak mematuhi kawalan harga telur ayam.

"Pengguna yang ada aduan mengenai peniaga tidak patuh arahan boleh menghubungi terus KPDN Sandakan, jangan ditularkan tetapi guna saluran betul, KPDN akan datang ke tempat itu, kita akan ambil tindakan," katanya lagi.

Sementara itu, peniaga bahulu Sarbiah Bakar berkata penurunan harga telur itu dapat menjimatkan kos perbelanjaan bahan sekurang-kurangnya RM10 sehari.

"Harga bahan mentah lain mahal, tetapi bila ada harga turun sekurang-kurangnya kos bahan turun sedikit. Harap tiada pihak yang mengambil kesempatan sama ada memanipulasi harga atau menyorok telur,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan