WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SERAMAI 2,000 KANAK-KANAK OKU DIRAIKAN PADA PROGRAM HARI ISTIMEWA SAINS 

25/06/2024 02:59 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Seramai 2,000 kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) diraikan dalam program Hari Istimewa Sains (SSD) 2024 di Pusat Sains Negara (PSN) yang berlangsung mulai hari ini hingga esok (26 Jun). 

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata program berkonsepkan bermain sambil belajar itu adalah bagi mengalakkan penglibatan OKU dalam aktiviti pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI). 

Bertemakan Dimensi Dunia Istimewa, beliau berkata program itu menyediakan pelbagai aktiviti antaranya demonstrasi sains, persembahan anak-anak OKU, bengkel permainan sensori, aktiviti kreatif hands-on serta pameran dari agensi dan organisasi berkaitan OKU. 

“Program ini kita tidak mengehadkan kepada orang biasa sahaja malah kita juga galakan kepada golongan OKU kerana mereka berhak dapat pendedahan dan mendalami ilmu sains ini,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini. 

Beliau berkata pada hari ini juga, Pengarah PSN Mohammad Fuad Rahman telah menyerahkan kit STEM Pendidikan Khas kepada pelajar sekolah dan organisasi yang hadir serta disaksikan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

“Serahan kit ini sebagai simbolik penghargaan dan tanda kasih PSN kepada semua OKU yang hadir. Selain itu, ia menandakan pendirian dan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi terhadap hak serta peluang semua lapisan masyarakat untuk menerima pendidikan sepanjang hayat dalam bidang STI,” katanya.

Mohammad Yusof turut berharap program seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih ramai dari semua golongan. 

“Tentunya program seperti ini dapat menambah keyakinan diri mereka (OKU) dalam mendalami bidang sains...Kalau kita tidak dedahkan, mungkin mereka tidak tahu dan tidak berpeluang,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata PSN juga menawarkan kemasukan umum percuma kepada semua OKU, ibu bapa, penjaga dan pengiring termasuk kemasukan ke galeri bertema Obskura XR dan Green Guardian Centre sepanjang dua hari program itu berlangsung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan