WILAYAH - SELATAN > BERITA

KERAJAAN NEGERI, MTA PERKENAL TEH TARIK GULA MELAKA SEMPENA TMM 2024

28/06/2024 09:57 AM

MELAKA, 28 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Melaka (MTA) memperkenalkan produk pelancongan baharu iaitu Teh Tarik Gula Melaka sebagai tanda pengenalan bagi negeri itu sempena Tahun Melawat Melaka (TMM 2024).

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan berkata produk baharu di bawah subsektor pelancongan makanan itu mula dipromosikan secara berperingkat di rangkaian premis hotel dan restoran di bawah MTA.

"Melaka sangat signifikan dengan gula Melaka… banyak produk makanan atau sektor kulinari yang menggunakan gula Melaka sebagai asas pembuatannya seperti cendol, kuih Gula Melaka atau onde-onde, kuih keria dan putu mayam.

"Jadi kita mengambil inisiatif memperkenalkan produk baharu Teh Tarik Gula Melaka yang tidak terdapat di tempat lain dan buat permulaan minuman berkenaan boleh didapati di Hotel Holiday Inn dan Bayou Lagoon Park Resort," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Makana Malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan MTA kali-41 yang turut dihadiri Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Sa'ari Basiro dan  Presiden MTA Madelina WL Kuah.

Zaidi berkata beberapa produk pelancongan baharu lain di bawah pelbagai subsektor pelancongan akan diperkenalkan sepanjang TMM 2024 sekali gus menambah lebih banyak pilihan kepada  pelancong menjelang Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025.

Beliau berkata kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan MTA dalam penganjuran program dan aktiviti pelancongan melibatkan pemain industri pelancongan pelbagai sektor dalam usaha memastikan sasaran kedatangan pelancongan sebanyak 18.7 juta orang sepanjang TMM 2024 tercapai.

"Saya difahamkan, di bawah MTA terdapat 65 ahli dalam kalangan rangkaian hotel, restoran, hospital swasta, ejen pelancongan dan pusat rekreasi yang bergiat serius memastikan TMM 2024 berjaya dilaksanakan dengan baik dan mendapat standard lebih baik dalam pelbagai aspek menjelang Persidangan Pelancongan Dunia 2025," katanya 

Sementara itu, Madelina berkata terdapat 14 subsektor pelancongan di Melaka dan sekurang-kurangnya satu program utama di bawah subsektor itu dianjurkan MTA dengan kerjasama BPP Melaka dalam usaha menggamit kedatangan pelancong.

Beliau berkata sebagai contoh, di bawah subsektor pelancongan kesihatan, empat hospital swasta di negeri itu mempromosikan produk baharu seperti penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan.

"Selain itu, kita juga ada subsektor lain seperti sejarah, kesenian dan kebudayaan dan semua ahli MTA terlibat dalam mempromosikannya menerusi program dan aktiviti pelancongan yang dianjurkan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan